Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penny University, ASAP & Co pindah ke lokasi baru demi 'ruang lebih besar, faktor sewa'

Anggaran Waktu Membaca:
Penny University, ASAP & Co pindah ke lokasi baru demi 'ruang lebih besar, faktor sewa'

(Gambar-gambar: Instagram/ Penny University/ASAP & Co)

BERITAmediacorp: Dua kafe halal yang cukup dekat di hati anak-anak muda kini bakal mengorak langkah baru dalam perniagaan mereka, dengan berpindah ke lokasi "lebih besar" tidak lama lagi.

Kafe Penny University yang sebelum ini berada di 402 East Coast Road selama 10 tahun lamanya, akan berpindah ke kawasan Kampong Gelam di 17 Jalan Klapa.

Cawangannya di East Coast sudahpun ditutup pada 9 Oktober lalu, namun tarikh pembukaan bagi cawangan baru belum didedahkan pihak kafe.

Kafe yang terkenal dengan hidangan steak ASAP & Co pula akan beralih dari 774 North Bridge Road ke 70 Telok Ayer Street, hanya selepas dua tahun beroperasi di tapak itu.

ASAP & CO akan terus beroperasi di North Bridge Road sehingga 30 Oktober ini dan dijangka membuka pintunya di Telok Ayer kepada orang ramai bermula 15 November.

FAKTOR KENAIKAN HARGA SEWA MAINKAN PERANAN

Pemilik ASAP & Co Encik Isrudy Shaik berkongsi dengan BERITAmediacorp bahawa kenaikan harga sewa sebanyak 40 peratus merupakan antara pendorong utama untuk berpindah ke lokasi lain, selain mencari ruang yang lebih besar bagi para pelanggannya.

"Tempoh sewa kami selama dua tahun sudahpun berakhir. Namun sewanya akan meningkat dengan banyak, jika kami mahu memperbaharui tempoh sewa tersebut.

"Dengan kenaikan itu, kami berhasrat berpindah ke unit lebih besar dengan kenaikan harga serupa, tetapi di lokasi yang lebih baik," jelas beliau.

Berkongsi sentimen serupa, pengasas Penny University, yang lebih dikenali sebagai Mouss Kamal, turut menyatakan bahawa faktor harga sewa menjadi salah satu pendorong untuk kafe itu berpindah.

"Hakikatnya hari ini, seperti semua perkara juga, kami perlu berkembang maju. Kami memerlukan ruang lebih besar.

"Secara ekonomi pula, wujud juga faktor sewa," tulisnya di laman Instagram Penny University.

SASARKAN KUMPULAN PELANGGAN BARU

Kawasan Telok Ayer turut disifatkan sebagai lokasi "lebih baik" bagi Encik Isrudy kerana ia memberi peluang kepada mereka memikat kumpulan pelanggan yang baru.

"Telok Ayer mempunyai kumpulan pelanggan korporat.

"Saya juga berhasrat merubah dan meningkatkan pengalaman makan pada masa akan datang.

asap n co
(Gambar: Isrudy Shaik)

"Lokasi baru membolehkan saya mempunyai meja cef dan bilik pemprosesan di mana kami boleh memotong daging itu sebelum membakarnya. Ia (pengalaman) penuh persembahan," kongsi Encik Isrudy.

Malah, kenaikan harga sewa bagi pemilik ASAP & Co itu juga dianggap sebagai rahmat baginya.

"Sudah tiba masanya saya berpindah dari situ. Saya menjual hidangan steak Jepun dan steak 'dry age'.

"Steak sedemikian layak dinikmati di lokasi dan sekitaran lebih baik," tambah Encik Isrudy.

BUKA LEMBARAN BARU

Bagi Penny University pula, yang bermula secara cukup sederhana 10 tahun lalu - dengan hanya hidangan kopi serta beberapa meja dan kerusi sahaja, keputusan untuk berpindah dari East Coast mencetus pelbagai reaksi dalam kalangan penggemarnya.

Encik Mouss menulis: "Apabila kami buka di East Coast buat kali pertama, ramai yang bertanya kenapa - 'Ada budaya kopi di sana?' 'Sukar diakses', 'Tiada ruang meletak kereta!' dan 'Terlalu senyap jalan raya di situ'.

"Namun sekarang selepas 10 tahun dan kami berpindah, ramai yang bertanya sebaliknya tentang mengapa kami berpindah - 'East Coast sangat meriah', 'Ia lokasi popular bagi budaya kopi', 'Tempat paling mengikut trend bagi golongan hipster', tetapi tetap kekurangan tempat meletak kereta juga."

"Ini bukan tanda selamat tinggal, ini hanyalah permulaan bagi lembaran baru kami dan teruslah menyokong kami," tambah Encik Mouss lagi di Instagram.

Yang pasti, perniagaan-perniagaan tempatan juga terus giat berusaha mencari peluang untuk memperbaharui pelan perniagaan mereka demi memenuhi keperluan dan memikat pelanggan baru dan sedia ada.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan