Skip to main content

Singapura

Penjualan rumah privet baru melonjak 80% pada April meski kadar ABSD naik

Penjualan rumah privet baru di Singapura melonjak 80 peratus pada April ke paras tertinggi tujuh bulan, didorong oleh pelancaran dua projek berprofil tinggi - Blossoms by the Park dekat one-north dan Tembusu Grand di Katong.

Anggaran Waktu Membaca:
Penjualan rumah privet baru melonjak 80% pada April meski kadar ABSD naik

Perumahan HDB dan privet di S'pura (Gambar fail: TODAY)

SINGAPURA: Penjualan rumah privet baru di Singapura melonjak 80 peratus pada April ke paras tertinggi tujuh bulan, didorong oleh pelancaran dua projek berprofil tinggi - Blossoms by the Park dekat one-north dan Tembusu Grand di Katong.

Tidak termasuk kondominium eksekutif (EC), firma pemaju menjual sebanyak 887 unit pada April, berbanding 492 unit pada Mac.

Berbanding tempoh yang sama tahun lalu, penjualan meningkat sebanyak 34 peratus, menurut perangkaan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada Isnin (15 Mei).

Sebanyak 779 unit dilancarkan pada April, 36 peratus lebih tinggi berbanding Mac dan 96 peratus lebih tinggi berbanding setahun lalu.

Angka jualan April yang kukuh menunjukkan bahawa langkah meredakan pasaran hartanah baru-baru ini memberi kesan kecil kepada pembeli Singapura, kata penganalisis.

Menurut data dari OrangeTee & Tie, rakyat Singapura membentuk kira-kira 84 peratus pembeli Blossoms by the Park, yang dilancarkan sejurus selepas langkah penyejukan baru bermula pada 27 Apr.

Sementara itu, 90 peratus pembeli Tembusu Grand adalah warga Singapura. Projek itu dilancarkan lebih awal pada bulan April.

"Penjualan memberangsangkan di Blossoms by the Park adalah satu kejutan, kerana hampir 75 peratus daripada projek itu dijual dalam bulan pelancarannya walaupun terdapat langkah meredakan pasaran hartanah yang baru," kata Cik Christine Sun, naib presiden kanan penyelidikan dan analisis OrangeTee & Tie.

"Langkah itu tidak menghalang pembeli tempatan, terutamanya pembeli kali pertama yang tidak terjejas oleh peningkatan ABSD," tambahnya.

"Sesetengah pembeli menjangkakan harga akan terus meningkat memandangkan lebih ramai pembeli mungkin memasuki pasaran apabila kadar faedah menjadi sederhana dan kebanyakan rakyat Singapura bekerja. Selain itu, harga rumah terus meningkat walaupun selepas setiap pusingan penyesuaian ABSD."

PERMINTAAN ASING

Singapura mengenakan sekatan hartanah baru pada 27 Apr, menggandakan cukai setem pembeli tambahan (ABSD) kepada 60 peratus bagi warga asing yang membeli hartanah kediaman.

Rakyat Singapura yang membeli hartanah kediaman kedua pula akan membayar kadar ABSD sebanyak 20 peratus, naik daripada 17 peratus, manakala mereka yang membeli hartanah kediaman ketiga dan seterusnya perlu membayar 30 peratus, naik daripada 25 peratus.

Kadar 30 peratus itu juga dikenakan kepada penduduk tetap (PR) yang membeli hartanah kediaman kedua mereka. PR yang membeli hartanah kediaman ketiga dan seterusnya akan membayar ABSD sebanyak 35 peratus, meningkat daripada 30 peratus.

ABSD lebih tinggi itu nampaknya memberi kesan kepada pembeli asing, kata ketua penyelidikan dan kandungan PropNex Wong Siew Ying.

"Maklum balas daripada pasukan jualan rumah mewah kami menunjukkan bahawa walaupun bilangan orang yang datang ke pameran projek dalam kalangan warga asing secara amnya kekal stabil, pelabur sedemikian kurang berminat untuk membeli sekarang, terutamanya untuk rumah lebih besar, berikutan kenaikan ABSD," katanya.

"Ia masih awal lagi, tetapi kami berpendapat kenaikan kadar ABSD nampaknya sudah menunjukkan kesan dengan menyekat permintaan pelaburan asing."

Bagaimanapun, disebabkan tadbir urus Singapura yang stabil dan mata wang yang kukuh, sesetengah pembeli China "mungkin masih" melabur dalam hartanah di sini, kata Encik Lim dari ERA.

Cik Tricia Song, ketua penyelidikan CBRE bagi Asia Tenggara, menjangkakan pembelian asing akan menjadi sederhana pada 2023.

"Walau bagaimanapun, kami menjangkakan permintaan berterusan daripada rakyat Amerika yang dikecualikan daripada membayar ABSD bagi pembelian hartanah kediaman pertama di Singapura disebabkan oleh perjanjian perdagangan bebas," tambahnya.

"Dengan permintaan asing yang perlahan, jumlah keseluruhan untuk pembelian rumah dijangka menyusut pada 2023, dan pemaju mungkin menunda beberapa pelancaran kepada separuh kedua tahun ini, terutamanya yang terletak di kawasan utama."
Sumber : CNA/SU/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita