Penjualan rumah privet baru melonjak 69.8% bulan lalu; prestasi terbaik bulan November dalam 10 tahun
Penjualan rumah privet baru di Singapura melonjak 69.8 peratus pada November berbanding bulan sebelumnya.

Gambar fail kondominium di Singapura. (Gambar: Eileen Poh)
SINGAPURA: Penjualan rumah privet baru di Singapura melonjak 69.8 peratus pada November berbanding bulan sebelumnya.
Tidak termasuk Kondominium Eksekutif (EC), pemaju hartanah menjual 1,547 unit bulan lalu, naik berbanding 911 pada Oktober, menurut data yang dikeluarkan Penguasa Pembangunan Semula Bandar pada Rabu (15 Dis).
Jumlah tersebut adalah yang tertinggi dicatatkan sejak Julai apabila 1,602 unit bertukar tangan.
Ia juga prestasi penjualan bulan November terbaik dalam 10 tahun, kata Naib Presiden Kanan Bahagian Kajian dan Analitik OrangTee & Tie, Christine Sun.
Jika dimasukkan EC, penjualan rumah privet baru meningkat 53.8 peratus, dengan 1,610 unit dijual pada November.
Berbanding setahun lalu, penjualan baru tidak termasuk EC, melonjak 99.9 peratus.
Syarikat pemaju hartanah melancarkan 1,283 unit pada November - meningkat 94 peratus berbanding 661 unit yang dilancarkan pada Oktober.
EMPAT PROJEK PALING LARIS
Empat projek perumahan dilancarkan bulan lalu - CanningHill Piers, Cairnhill 16, The Carrara dan juga The Commodore.
"CanningHill Piers merupakan projek yang paling banyak dijual di Kawasan Pusat Bandar pada 2021. Pembeli tidak sabar untuk mendapatkan unit di projek tertinggi di tepi Sungai Singapura," kata Pengarah Kanan Kajian di Huttons Asia Lee Sze Teck.
Disebabkan sambutan bagi CanningHill Piers yang amat baik, Baki Kawasan Bandar (RCR) mencatat urusan jual beli tertinggi bulan lalu, iaitu membentuk 58.8 peratus keseluruhan jumlah penjualan, kata Encik Sun.
Kawasan Luar Pusat Bandar (OCR) membentuk 29.7 peratus, manakala Kawasan Tengah Bandar (CCR) menyumbang 11.5 peratus.
Antara Januari dengan November, sekitar 12,460 rumah privet baru sudah bertukar tangan, hampir 42 peratus lebih tinggi berbanding tahun lalu, kata Pengarah Kanan bagi Kajian dan Runding Cara JLL Ong Teck Hui.
Encik Ong juga berkata besar kemungkinan lebih daripada 13,000 unit baru akan dijual tahun ini, iaitu prestasi terbaik dalam lapan tahun.
Pasaran hartanah mewah mungkin mendapat suntikan apabila lebih banyak Laluan Perjalanan Penumpang Sudah Divaksin (VTL) disediakan, membolehkan lebih warga asing untuk datang ke Singapura, kata Encik Lee.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.