Penjualan rumah privet baru lonjak selepas cuti hujung tahun
Penjualan rumah privet baru meningkat bulan lalu, menandakan penjualan Januari paling kukuh sepanjang tujuh tahun lalu.

(Gambar fail: TODAY).
SINGAPURA: Penjualan rumah privet baru meningkat bulan lalu, menandakan penjualan Januari paling kukuh sepanjang tujuh tahun lalu.
Pemaju menjual 618 rumah - tidak termasuk kondominium eksekutif - bulan lalu, 14.9 peratus lebih tinggi berbanding 538 unit yang dijual bulan sebelumnya. Demikian menurut data daripada Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada Isnin (17 Feb).
Perangkaan itu juga 41.4 peratus lebih tinggi berbanding 437 unit yang dijual dalam tempoh sama tahun lalu.
Bulan lalu mencatatkan penjualan rumah privet baru tertinggi dalam Januari sepanjang tempoh tujuh tahun, menurut seorang penganalisis OrangeTee & Tie.
Sebanyak 638 unit dijual, termasuk kondominium eksekutif, iaitu lonjakan 45.7 peratus berbanding 438 unit yang dijual pada Januari 2019. Jumlah itu juga adalah kenaikan 15.8 peratus daripada 551 rumah yang dijual pada Disember lalu.
Kenaikan dalam penjualan rumah privet pada Januari dipacu oleh projek-projek di pinggir bandar atau di baki kawasan bandar (RCR) yang membentuk 41.9 peratus (259 unit) daripada jumlah penjualan tidak termasuk kondominium eksekutif. Ini menurut Ketua Kajian dan Perundingan OrangeTee & Tie, Christine Sun.
Ini diikuti dengan kawasan pinggir bandar atau di luar kawasan tengah bandar (OCR) pada 36.6 peratus (226 unit).
Perkadaran penjualan di segmen mewah atau kawasan tengah bandar (CCR) naik ke paras tertinggi sejak Januari 2019 pada 21.5 peratus (133 unit), kata Cik Sun.
Ini mungkin disebabkan oleh lebih banyak projek mewah yang diperkenalkan pada Januari, jelas beliau, termasuk The Avenir, Leedon Green dan Van Holland, yang secara keseluruhannya menjual 74 unit bulan lalu.
BILANGAN PEMBELI ASING KEKAL MANTAP DI CCR
Sekalipun iklim ekonomi tidak menentu, jumlah pembeli asing yang memasuki pasaran hartanah privet dalam segmen CCR kekal stabil, kata Ketua Pegawai Eksekutif PropNex Realty, Ismail Gafoor.
Segment tersebut menyaksikan kenaikan 32.3 peratus dari bulan ke bulan bagi pembelian rumah privet baru dalam kalangan warga asing, kata beliau, sambil menukil perangkaan daripada URA Realis.
Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, jumlah keseluruhan urus niaga CCR melonjak 60.2 peratus, tambah Encik Ismail.
Setakat ini, "tiada kesan ketara" ke atas pasaran hartanah akibat wabak COVID-19, kata Cik Sun.
Sementara itu, flat-flat BTO HDB di Sembawang dan Toa Payoh yang dilancarkan minggu lalu menerima sambutan yang amat menggalakkan.
Setakat ini, kadar permohonan keseluruhan untuk flat yang lebih besar adalah sembilan kali ganda lebih banyak dari jumlah unit yang ditawarkan.
Flat-flat jenis 3 dan 4 bilik lebih popular di dua projek Toa Payoh iaitu Kim Keat Ripples dan Toa Payoh Ridge.
Kedua-dua projek di estet matang itu menerima permohonan sebanyak lapan kali ganda.
Projek Canberra Vista di Sembawang turut mendapat permintaan hebat dengan kadar permohonan keseluruhannya mencecah lebih tujuh kali ganda dari jumlah unit ditawarkan.
Pelancaran seterusnya pada bulan Mei ini akan menawarkan hampir 4,000 flat di kawasan-kawasan Choa Chu Kang, Pasir Ris, Tampines dan Tengah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.