Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penjualan kotak TV Android masih rancak walaupun kes berkaitan sedang dibicarakan di mahkamah

Para penjual kotak televisyen Android sedang memantau dengan dekat kes pendakwaan ke atas dua penjual kotak TV sedemikian.

Anggaran Waktu Membaca:
Penjualan kotak TV Android masih rancak walaupun kes berkaitan sedang dibicarakan di mahkamah

Kedai di Sim Lim Square. (Gambar: Wong Pei Ting/TODAY)

Diterbitkan : 14 Jan 2018 11:47PM Dikemas Kini : 14 Jan 2018 11:48PM

SINGAPURA: Para penjual kotak televisyen Android sedang memantau dengan dekat kes pendakwaan ke atas dua penjual kotak TV sedemikian.

Namun demikian, mereka tidak berhasrat menghentikan penjualan peranti-peranti sedemikian buat masa ini.

Semasa pihak Mediacorp mengunjungi Sim Lim Square semalam (13 Jan) penjualan kotak televisyen Android masih terus laris.

Para peruncit di sana mendakwa produk mereka - yang dilengkapi dengan pelbagai aplikasi yang membolehkan para pengguna menstrim kandungan hak cipta - berbeza daripada yang dibicarakan dalam kes undang-undang tersebut. Ini memandangkan ia bukan "direka dan diadaptasikan secara khusus" untuk membuat salinan kandungan hak cipta.

"Kami hanya melakukan penstriman," kata seorang jurujual di Amconics Technology yang enggan namanya didedahkan.

Pada hari Jumaat (12 Jan), empat pemilik hak - iaitu telko StarHub, Singtel, gergasi hiburan Fox dan badan pertubuhan Liga Perdana England (EPL) - memfailkan dakwaan ke atas Sunnex Trading dan An-Nahl atas kesalahan yang didakwa sebagai "sengaja mencabuli hak cipta".

Encik Joe Huo Jun, 30 tahun, seorang penjual kotak televisyen di MT, yang terletak di tingkat tiga Sim Lim Square berkata kotak televisyen yang dijual di kedai hanyalah wadah bagi orang ramai mendapatkan lebih banyak kandungan untuk televisyen mereka dan "terpulang kepada mereka bagaimana untuk menggunakannya".

Meskipun kotak-kotak televisyen itu sudah dilengkapi dengan pelbagai aplikasi yang boleh digunakan untuk mendapatkan kandungan secara tidak sah, Encik Guo yang datang dari Shandong berkata sofwe yang dipasang adalah dari pengilang di Shenzhen, China dan bukan MT ataupun kakitangannya.

Encik Guo menekankan beliau sering menjelaskan kepada pelanggan bahawa "ia adalah salah dari sisi undang-undang" untuk mengakses lelaman dan kandungan secara tidak sah menerusi peralatan tersebut.

Seorang penjual berusia 73 tahun yang hanya ingin dikenali sebagai Encik Tan berkata: "Kami memberitahu pelanggan supaya jangan memuat turun. Jika kedai-kedai di sini membantu pelanggan memuat turun, itulah yang menyebabkan mereka berdepan bahaya."

Sebagai bukti, Encik Tan menunjukkan resit-resit yang tertera klausa yang berbunyi: "Jangan muat turun filem/drama" dan "muat turun adalah satu kesalahan di bawah undang-undang hak cipta".

Beliau menambah: "Kami akan melakukan penstriman menerusi apikasi yang boleh dimuat naik ke dalam telefon Android. Jika penjual kotak televisyen dilihat sebagai tidak sah, adakah pihak berkuasa akan memburu para penjual telefon dan komputer?"

Seperti kebanyakan penjual, Encik Tan yang merupakan bekas guru matematik, sedang memantau perkembangan kes tersebut.

"Jika kes itu tidak menyebelahi (pihak kami), saya akan tutup sahaja perniagaan ini (dan bersara)," tambah Encik Tan.

Seorang jurucakap CH2 Technologies - syarikat induk beberapa jenama kotak televisyen yang dijual di Sim Lim Square dan pameran-pameran IT - memberitahu Mediacorp bahawa ia tidak menyediakan langganan saluran atau khidmat video mengikut permintaan (video-on-demand).

"Kami hanya membantu pelanggan yang mahu menonton YouTube, filem atau drama," kata beliau.

Namun, seorang ahli perniagaan dari Israel, Lior Nabat, 47 tahun yang sedang membelek-belek kotak set atas di pusat beli belah barangan elektronik itu, berkata terdapat para penjual yang cuba menyaingi penjual lain dengan menawarkan beberapa aplikasi penstriman secara tidak sah.

Sebelum ini, kotak-kotak set atas - yang digunakan untuk menonton filem, rancangan televisyen atau sukan - sudah menghapuskan kod penyiaran sulit yang ditawarkan oleh StarHub.

Penjualan dan pengedaran alat penghapus kod itu tidak sah di bawah Akta Penyiaran.

Sekalipun begitu, dalam tempoh tiga hingga lima tahun kebelakangan ini, teknologi-teknologi baru membolehkan golongan cetak rompak memintas undang-undang dan kotak-kotak set atas sekarang yang digunakan untuk menstrim kandungan tidak mempunyai alat menghapuskan kod dan dianggap sah.

Pada bulan lalu, Perikatan Membanteras Cetak Rompak - yang anggotanya termasuk syarikat-syarikat utama hiburan - menyatakan alat itu memudahkan kegiatan cetak rompak "berleluasa" di Singapura.

Dalam kes yang sedang dibicarakan di mahkamah di sini, Synnex dan pengarahnya, Jia Xiofeng, dikenakan empat pertuduhan setiap satu.

Syarikat An-Nahl, yang juga membawa kotak set atas, dan pengarahnya Abdul Nagib Abdul Aziz, juga dikenakan dua tuduhan.

Sumber : Today/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan