Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penjualan basikal merosot sehingga 30%; trend berbasikal juga menurun

Masa yang diluangkan untuk berbasikal sudah berkurangan dan trend yang pada satu ketika mendapat perhatian ramai penduduk Singapura semasa pandemik COVID-19, kini kelihatan semakin pudar.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Masa yang diluangkan untuk berbasikal sudah berkurangan dan trend yang pada satu ketika mendapat perhatian ramai penduduk Singapura semasa pandemik COVID-19, kini kelihatan semakin pudar.

Ini setelah lebih ramai orang kembali bertugas di tempat kerja dan sebahagian besar sekatan bagi mengawal sempadan negara juga sudah dilonggarkan.

Itulah antara faktor-faktor yang menyebabkan trend berbasikal dalam kalangan penduduk Singapura semakin menurun.

 

Salah satu laluan berbasikal di Tampines, dikenal pasti pada 2009 sebagai bandar berbasikal pertama di Singapura. (Gambar: Baey Yam Keng/Facebook)

Menurut syarikat jual beli Carousell, permintaan bagi basikal merosot 20 peratus pada tahun ini berbanding tahun lalu.

Malah, penjualan basikal juga merosot sehingga 30 peratus berbanding tahun lalu, menurut perangkaan syarikat kelengkapan sukan, Decathlon.

INGIN JUAL BASIKAL TAPI TIADA PEMBELI

Muhammad Haikal Kamarul Azman mula timbul minat dan membeli basikalnya pada Januari tahun lalu semasa bekerja dari rumah masih menjadi aturan kerja yang disarankan.

"Dulu waktu bekerja dari rumah, kawan-kawan saya semua ramai yang mengajak berbasikal sebab banyak masa lapang. Saya pun dulu tidak ada basikal jadi saya belilah, jadi boleh berbasikal dengan kawan-kawan," ujar belia berusia 24 tahun.

Menurut Haikal lagi, berbasikal disifatkannya sebagai satu kegiatan riadah yang lebih menyeronokkan apabila dilakukan bersama kawan-kawannya.

Malah, dia berbasikal dua hingga tiga kali sebulan dan sanggup meluangkan masa lebih dua jam bagi setiap sesi.

Haikal memberitahu BERITAmediacorp: "Saya dan kawan-kawan selalunya berbasikal sepanjang sekitar Singapura, selalunya lebih dari 100 kilometer. Jadi boleh bayangkanlah kegiatan sebegini memerlukan teman-teman. Kalau seorang diri memang bosan."

Dengan keadaan COVID-19 semakin stabil di Singapura sejak beberapa bulan kebelakangan ini dan sempadan negara juga sudah dibuka semula, Haikal mendapati peluang untuk berbasikal bersama kawan-kawannya semakin berkurangan.

"Masa pun sudah berlalu, ramai orang pun sudah mula balik ke pejabat, sekatan-sekatan COVID-19 pun sudah berkurangan, jadi masa nak berbasikal dan minat pun lama-lama semakin kurang. Kawan-kawan pun semua sudah mula sibuk," kata Haikal.

Kali terakhir Haikal berbasikal adalah sekitar empat hingga lima bulan yang lalu.

Lantaran itu, Haikal memutuskan untuk menjual basikalnya itu yang sudah jarang digunakannya.

Sejak menyenaraikan basikalnya dalam aplikasi Carousell untuk dijual tiga bulan lalu, nasib belum menyebelahinya sehingga kini.

Haikal berkata: "Sampai sekarang, memang ada orang yang nak lihat basikal ini tetapi tidak ada orang yang benar-benar ingin membelinya."

"Dari segi permintaan untuk basikal saya rasa sudah kurang sekarang. Memang di aplikasi Carousell ramai orang mula menjual menjual basikal-basikal mereka. Bila saya beli basikal saya dulu pun, saya ingatkan kalau ingin jual pun senang tapi sampai sekarang masih belum dapat dijual," ujar Haikal.

TURUNKAN HARGA SEHINGGA 30% UNTUK TARIK PEMBELI

Haikal membeli basikalnya pada harga sekitar S$3,500 tahun lalu.

Bagi menarik pembelian, dia menjualnya 30 peratus lebih rendah berbanding harga asal waktu membeli basikalnya itu.

Namun setakat ini, Haikal baru sekadar menerima pertanyaan daripada dua pengguna Carousell sahaja tentang basikalnya.

Dia menambah: "Saya pun cuba kurangkan harga sejauh mana yang saya boleh untuk membuat basikal ini ada daya tarikannya jadi orang akan beli. Saya sudah kurangkan harga sehingga lebih S$1,000. Itu pun orang masih tak nak beli."

Kesukaran untuk menjual basikal terpakainya itu sejajar dengan permintaan yang menurun.

Menurut jurucakap syarikat Carousell, permintaan bagi basikal merosot 20 peratus pada tahun ini berbanding tahun lalu.

PENJUALAN BASIKAL MEROSOT SEHINGGA 30 PERATUS

Penjualan basikal baru juga kian berkurangan.

Syarikat sukan, Decathlon misalnya, menyaksikan penjualan basikal merosot sejak sempadan negara dibuka ke negara-negara lain.

Bahagian depan Decathlon Singapore Lab. (Gambar: Decathlon)

Ketua Sukan Komersil (Basikal), Syed Syafiq Syed Hussain berkata: "Kami melihat penjualan merosot 20 hingga 30 peratus untuk basikal-basikal kerana orang ramai sudah boleh ke luar negara. Penjualannya tidak sebaik sewaktu pandemik."

"Apabila Singapura mula melonggarkan sekatan-sekatan COVID-19, kami memerhati orang sudah mula datang ke kedai-kedai kami tetapi jumlah para pembeli sebenarnya masih berkurangan," tambah Encik Syafiq.

Sekitar setahun lalu, sebahagian besar pelanggan Decathlon membeli basikal secara berkumpulan atau bersama keluarga.

Encik Syafiq berkata: "Semasa pandemik, memang penjualan basikal meningkat, lebih-lebih lagi untuk basikal lipat. Kalau bandingkan perangkaan sebelum pandemik, penjualan kita meningkat 40 peratus."

PROJEK BARU DECATHLON BOLEHKAN PENGGUNA JUAL BASIKAL TERPAKAI

Selain menyaksikan penjualan yang berkurangan sekarang ini, Decathlon juga mendapati lebih ramai kini yang mahu menjual basikal terpakai mereka.

Ekoran itu, Decathlon melancarkan satu projek bernama "Second Life" di mana para pelanggan boleh menjual produk yang dibeli dari Decathlon, sekiranya mereka tidak ingin menggunakannya lagi.
 

Gambar fail sebuah basikal yang dikuncikan dengan mangga. (Gambar: iStock)

"Tujuan utamanya adalah dari segi kemampanan. Daripada membuang, para pelanggan boleh menjual basikal mereka kepada kami dan mendapatkan sedikit wang daripadanya. Kita pun mahukan orang yang masih ingin berbasikal untuk sekurang-kurangnya dapat sedikit wang untuk membeli basikal yang lebih baik," kata Encik Syafiq.

Projek itu dimulakan pada awal bulan ini dan baru dilaksanakan di dua cawangannya - Kallang dan Joo Koon.

Encik Syafiq berkata: "Sejauh ini, basikal-basikal yang kami terima daripada para pelanggan secara purata sekitar empat hingga lima basikal sehari untuk kedua-dua cawangan,"

Decathlon menjangkakan jumlah itu akan bertambah dalam bulan-bulan mendatang.

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan