Penjual selar iklan AI Shopee, TikTok; tuduh kelirukan pembeli
Petikan gambar daripada video janaan AI di Shopee (kiri), Tiktok (kanan). Sebahagian pembeli mengatakan ia mengelirukan. (Gambar: Xie Shi Min, Koh Wan Yi)
- Penulis Xie Shi Min dan pemilik Helumi, Koh Wan Yi, mendapati video promosi AI di Shopee dan TikTok memaparkan produk mereka secara tidak tepat tanpa kebenaran.
- Penerbit Epigram Books menerima aduan daripada beberapa penulis mengenai video AI yang mengelirukan, namun usaha melaporkan isu kepada platform kurang berhasil.
- Penjual bimbang reputasi jenama terjejas kerana video AI menampilkan maklumat dan visual yang salah, serta sukar dikawal atau dipadamkan.
- Shopee dan TikTok memperkenalkan ciri video AI untuk bantu promosi, tetapi penjual berharap dasar lebih baik dan kawalan lebih besar terhadap kandungan produk mereka.
Gambar pedang simbolik watak utamanya pada muka depan buku diubah menjadi sebatang kayu. Avatar AI yang mempromosikan novel itu pula mendakwa beliau boleh "mencium bau durian" dari halaman buku berkenaan. Lebih teruk lagi, kisah remaja yang mengupas isu trauma generasi dan penganiayaan itu diubah menjadi sebuah cerita "gembira" dan "kembara mesra keluarga" untuk kanak-kanak.
"Usaha yang dicurahkan oleh pereka muka depan saya untuk menghasilkan seni yang unik supaya ia kelihatan menonjol di kedai buku amat bermakna, dan melihat ia dirosakkan sedemikian rupa adalah sesuatu yang menyedihkan," kata penulis pemenang anugerah itu kepada Mediacorp pada Jumaat (21 Ogos) mengenai rasa terkejutnya apabila pertama kali melihat iklan tanpa kebenaran itu.
"Tindakan memprosesnya menerusi AI secara melampau adalah satu penghinaan."
Cik Xie adalah antara pencipta kandungan dan penjual yang semakin meningkat yang berasa kecewa kerana tidak mempunyai kawalan ke atas video janaan AI yang mempromosikan produk mereka di Shopee dan TikTok sejak hujung tahun lalu.
Shopee memperkenalkan ciri video pada lewat 2025 bagi memberi maklumat tambahan mengenai sesuatu produk kepada pembeli untuk membantu mereka membuat keputusan pembelian yang lebih berhemah.
TikTok Shop pula baru-baru ini mengemas kini alatan pembuat videonya, membolehkan pencipta menghasilkan video AI secara automatik yang disertakan dengan pautan produk.
Namun, mereka yang ditemui Mediacorp menyatakan bahawa video-video berkenaan menyajikan maklumat yang tidak tepat tentang apa yang mereka jual.
Bagi kes Cik Xie, keanehan pada video itu berkemungkinan besar berpunca daripada halusinasi AI. Menurut Cik Xie, buah durian hanya disebut dalam satu baris sahaja di dalam buku berkenaan dan langsung tiada kaitan dengan plot utama.
Perkara yang lebih membimbangkan beliau adalah bagaimana video itu menggambarkan bukunya yang berunsur seram bagi golongan remaja sebagai sebuah cerita "gembira", yang menurutnya boleh memberi kesan buruk kepada khalayak pembacanya.
"Untuk Shopee mempersembahkannya sebagai sebuah novel kembara kanak-kanak, seperti 'oh Geylang adalah tempat permainan kita, kita bermain di sana dan bertarung dengan hantu', ia adalah sesuatu yang sangat salah."
SUKAR UNTUK MELAPORKAN VIDEO
Cik Xie dengan serta-merta memberi amaran kepada penerbitnya, Epigram Books, berhubung video tersebut, yang kemudiannya melaporkan perkara itu kepada Shopee. Pihak penerbit turut menyarankan agar beliau sendiri membuat aduan kepada platform berkenaan.
Ketika bercakap dengan Mediacorp, Pengurus Jualan Online dan Pemasaran Epigram Books, Chloe Chee, berkata sekitar lima hingga enam penulis telah menghubungi mereka dengan kebimbangan yang sama. Penerbit bebas itu turut menasihati mereka supaya melaporkan produk-produk berkenaan.
Syarikat itu melaporkan kira-kira 10 senarai produk yang terjejas sejak Mac, walaupun Cik Chee berkata beliau tidak pasti sama ada video-video tersebut telah dipadamkan atau belum.
Beliau menambah bahawa beliau telah menghubungi Shopee beberapa kali melalui mesej dan sudahpun mengetengahkan isu tersebut di platform penjualnya, tetapi tidak dapat memastikan sama ada beliau sedang berinteraksi dengan manusia atau bot sembang (chatbot).
"Di pihak kami, pada bahagian sistem, terdapat ciri untuk mematikan imej janaan AI, tetapi bukan untuk video," katanya.
Malah apabila ciri tersebut dimatikan, perubahan yang dibuat tidak dipaparkan secara serta-merta pada platform.
"Saya tidak pasti sama ada ia benar-benar dapat menyelesaikan masalah ini. Namun nampaknya ia masih belum selesai; video-video itu masih ada di sana," kata Cik Chee.
Apabila Cik Xie menyemak semula senarai bukunya pada 20 Ogos, beliau menyedari kemunculan video janaan AI yang berbeza pula kali ini.
"Ia seperti Hydra, apabila anda memadamkan satu video, satu lagi akan muncul," katanya, merujuk kepada raksasa berupa ular berkepala banyak dalam mitologi purba Greek.
Cik Koh Wan Yi, pemilik tunggal Helumi -sebuah studio reka bentuk yang menjual barangan kertas seperti perancang harian dan jurnal - turut berdepan video janaan AI yang serupa, bermula di TikTok dan kemudiannya di Shopee.
Pada separuh kedua tahun lalu, beliau menyedari bahawa pencipta gabungan di TikTok - yang mendapat komisen daripada usaha mempromosikan produk di platform berkenaan - telah memuat naik video individu janaan AI yang menunjukkan produk-produk beliau.
"Ia mungkin tidak menggunakan Bahasa Inggeris. Ia boleh jadi dalam Bahasa Sepanyol. Saya pernah mengalaminya juga. Saya tidak pasti mengapa, (perniagaan ini) hanya ada di TikTok Shop di Singapura, tetapi entah bagaimana video-video tersebut dihasilkan dalam pelbagai bahasa," kata Cik Koh, 33 tahun.
Produk yang dipaparkan dalam video-video berkenaan juga tidak tepat.
"Salah satu video yang saya lihat tahun lalu menunjukkan kalendar tahunan saya, dan saiz kalendar itu berbanding individu yang memegangnya adalah salah sama sekali - ia kelihatan terlalu besar," kata Cik Koh.
Dalam video lain pula, pelekat yang dijual oleh Helumi di TikTok kelihatan bersaiz terlalu besar atau dipaparkan dalam warna yang salah.
"Sebab itulah saya agak bimbang kerana jika pelanggan melihatnya, mereka mungkin mendapat gambaran yang salah tentang produk tersebut, dan apabila mereka menerimanya, mereka akan berfikir 'oh, kalendar ini rupanya lebih kecil daripada yang saya sangkakan'."
Cik Koh pernah bertanya pengurus akaun TikTok Shop sama ada beliau boleh menyekat pencipta gabungan khusus berkenaan, tetapi diberitahu bahawa beliau tidak boleh berbuat demikian. Sebaliknya, beliau disyorkan untuk mematikan pilihan "kerjasama terbuka" yang membenarkan pencipta berkongsi dan mempromosikan produknya.
Pada masa itu, Cik Koh tidak berbuat demikian dan memilih untuk menghubungi pencipta berkenaan secara langsung bagi melihat sama ada mereka mahu menurunkan video tersebut. "Sesetengah daripada mereka berbuat demikian. Ada juga yang bertindak kasar ... bagi mereka, mereka berhak menghasilkan apa sahaja video yang mereka mahu kerana ia dimuat naik ke profil mereka sendiri, walaupun ia mempunyai pautan ke produk saya," katanya lagi.
Walaupun beliau membiarkan perkara itu pada ketika itu, beliau baru-baru ini memutuskan untuk mematikan pilihan tersebut semasa membuat persiapan bagi pelancaran koleksi baharunya.
"(Tindakan ini) agak merugikan, kerana terdapat beberapa pencipta gabungan yang saya gemar bekerjasama, atau mereka merupakan pengguna sebenar produk saya. Namun kini, ia tidak lagi mudah untuk bekerjasama dengan mereka."
Cik Koh hanya menyedari video janaan AI yang serupa di Shopee baru-baru ini, kerana beliau lebih memberi tumpuan kepada TikTok di mana penjualan bukunya adalah lebih baik.
Menjawab pertanyaan Mediacorp pada Sabtu, seorang jurucakap Shopee berkata pihaknya telah menghubungi penjual yang terjejas untuk memberikan bantuan lanjut berhubung perkara ini.
Mengenai ciri video berkenaan, jurucakap itu berkata: "Video produk di Shopee juga boleh merangkumi kandungan yang disumbangkan oleh pengguna, dan ini mungkin termasuk kandungan janaan AI."
Platform tersebut mempunyai langkah perlindungan untuk mengesan dan menangani kandungan video yang mungkin tidak selamat atau melanggar dasar, dan penjual yang mempunyai keprihatinan berhubung video pada senarai produk mereka digalakkan untuk melaporkannya bagi tujuan semakan, kata jurucakap itu.
"Kami memandang serius terhadap maklum balas daripada masyarakat penjual kami dan akan terus menambah baik proses kami bagi memastikan video produk kekal berguna kepada pembeli sambil mewakili penjual dan produk mereka dengan tepat."
Shopee bagaimanapun tidak menjawab pertanyaan Mediacorp mengenai sama ada penjual dimaklumkan tentang video janaan AI, mahupun menangani kebimbangan penjual yang tidak mempunyai pilihan untuk memadamkan video tersebut atau menggantikannya dengan video mereka sendiri.
Mediacorp juga sudah menghubungi TikTok berhubung video pemasaran AI mereka.
"ROSAKKAN REPUTASI KAMI"
Penggunaan AI generatif dalam video pengiklanan semakin mendapat sambutan di Singapura, seperti yang dilaporkan oleh Mediacorp pada Isnin.
Walaupun sesetengah penjual mahu melihat diri mereka berada di hadapan dalam penggunaan AI, kandungan AI yang dihasilkan dengan mutu yang rendah, lebih berkemungkinan menjauhkan pengguna. Berhubung perkara ini, Penguasa Piawaian Pengiklanan Singapura (ASAS) mengesan bahawa pengguna bimbang tentang jenama yang menggunakan AI generatif untuk menghasilkan iklan yang mengelirukan.
Pihak penjual turut bimbang reputasi jenama mereka terjejas disebabkan video janaan AI yang dihasilkan tanpa kebenaran mereka, menurut mereka kepada Mediacorp.
Cik Chee daripada Epigram Books berkata para penulis menghubungi pihak penerbit selepas melihat video janaan AI mengenai buku-buku mereka untuk meluahkan rasa kecewa kerana menyangka penerbit yang membiayai klip-klip berkenaan.
"Mereka menghubungi kami seperti 'hei, mengapa anda tergamak buat begini?'. Bagi mereka, seolah-olah kami yang melakukannya, padahal tidak. Kami tidak boleh mengawalnya," tambah beliau.
Pihak penerbit menggunakan platform Instagram minggu lalu untuk menjelaskan bahawa mereka tidak terlibat di sebalik penghasilan video janaan AI pada senarai produk mereka.
Muka depan buku yang terpesong dalam video AI menyebabkan hasil kerja penerbit kelihatan tidak bermutu, kata Cik Chee.
"Ia akan mencemarkan jenama kami apabila pada masa hadapan penulis lain mendekati kami, dan jika mereka tidak menyedarinya atau menganggap video itu dihasilkan oleh kami ... ia pasti akan merosakkan reputasi kami."
Bagi kes Cik Koh, beliau juga percaya video-video tersebut telah menjejas reputasi jenama Helumi, kerana beliau mempunyai piawaian estetika dan mesej jenama tertentu yang mahu disampaikan kepada pelanggannya.
"Namun sebaik sahaja anda masuk ke profil dan melihat video janaan AI ini muncul, ia merosakkan terus kredibiliti yang telah kami bina. Ini bukanlah apa yang kami mahu pelanggan rasakan apabila mereka melihat jenama kami," kata Cik Koh.
Beliau berharap platform berkenaan dapat menyediakan dasar yang lebih baik berhubung video janaan AI dan memberikan penjual lebih kawalan ke atas apa yang dipaparkan pada profil mereka.
"Ia amat mengecewakan sebagai pemilik jenama dan pereka yang mencurahkan banyak usaha kepada jenama dan produk kami."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.