Penjual ikan di semua pasar akan jalani ujian COVID-19: MOH
Penjual ikan di semua pasar akan diuji bagi COVID-19, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Sabtu (17 Jul), sehari selepas ia mengumumkan kelompok baru di Pasar & Pusat Makanan Hong Lim serta Pelabuhan Perikanan Jurong.

(Gambar: Mediacorp)
SINGAPURA: Penjual ikan di semua pasar akan diuji bagi COVID-19, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Sabtu (17 Jul), sehari selepas ia mengumumkan kelompok baru di Pasar & Pusat Makanan Hong Lim serta Pelabuhan Perikanan Jurong.
Kit ujian akan juga diagihkan kepada penjual ikan berkenaan supaya mereka boleh memantau diri sendiri, menurut MOH.
Pada Jumaat (16 Jul), MOH menyatakan ia sedang menyiasat tujuh kes COVID-19 dalam kalangan individu di Pelabuhan Perikanan Jurong, yang ditutup bagi kerja-kerja pembersihan menyeluruh selama dua minggu sehingga 31 Julai.
"Semua yang bekerja di Pelabuhan Perikanan Jurong antara 3 Julai hingga 16 Julai sudah kuarantin," menurut MOH pada Sabtu. Sesi ujian khas masih dijalankan bagi semua pengunjung ke pelabuhan itu semasa tempoh berkenaan.
"Namun, terdapat penularan dari Pelabuhan Perikanan Jurong ke Pasar Hong Lim, dan terdapat risiko penularan virus ke pasar-pasar yang lain," kata MOH.
"Sebagai langkah berjaga-jaga, MOH telah membuat aturan dengan Agensi Sekitaran Kebangsaan agar penjual ikan di semua pasar menjalani ujian COVID-19 di pusat ujian kami dan mengagihkan kit-kit Ujian Pantas Antigen kepada mereka, supaya mereka boleh terus memantau diri mereka sendiri."
Butiran lanjut aturan itu akan segera diumumkan, menurut MOH.
"Kami difahamkan bahawa ramai orang berebut untuk membeli ikan," menurut MOH. Ia menasihatkan pengunjung ke pasar-pasar basah agar berbelanja semasa waktu kurang sibuk atau di pasar raya bagi mengelakkan banjiran orang ramai.
"Harap patuhi langkah pengurusan selamat, dengan mengekalkan jarak 1 meter antara satu sama lain dan pakai pelitup dengan betul ketika berbelanja di pasar."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.