Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penjual flat jualan semula HDB tidak mungkin naikkan harga bagi pembeli kali pertama

Anggaran Waktu Membaca:
Penjual flat jualan semula HDB tidak mungkin naikkan harga bagi pembeli kali pertama

Flat HDB di Singapura. (Gambar: CNA/Calvin Oh)

Diterbitkan : 20 Feb 2023 07:53AM Dikemas Kini : 20 Feb 2023 07:59AM
SINGAPURA: Pembeli flat jualan semula Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) kali pertama akan menerima geran perumahan tambahan, dalam langkah yang diambil Pemerintah untuk menyokong aspirasi perumahan bagi golongan muda Singapura.

Bagi keluarga yang layak dan ingin membeli flat jualan semula 4 bilik atau yang lebih kecil, Geran Perumahan CPF akan dipertingkatkan kepada S$30,000.

Bagi keluarga yang layak dan ingin membeli flat jualan semula 5 bilik atau lebih besar, Geran Perumahan CPF akan dipertingkatkan kepada S$10,000.

Geran Perumahan CPF Dipertingkat (EHG) itu akan berkuat kuasa serta-merta dan jumlah geran tambahan akan dimasukkan ke dalam akaun Tabung Simpanan Pekerja (CPF) mereka mulai April 2023.

Beberapa ejen hartanah berkata mereka tidak menyaksikan penjual menaikkan harga flat mereka untuk mengambil kesempatan selepas pengumuman Belanjawan 2023 itu.

Mereka juga tidak menjangkakan penjual akan berbuat demikian kerana ia akan mengurangkan peluang mendapatkan pembeli.

NAIKKAN HARGA FLAT MUNGKIN HALANG PEMBELI

Ejen PropNex Shiddique Asyraaf dan Fahmi Hassan berkata mereka tidak menyaksikan penjual flat menaikkan harga mereka sejak pengumuman Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong. Namun demikian, mereka yakin ada dalam kalangan penjual yang akan berbuat demikian pada masa depan.

Encik Fahmi berkata adalah "terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan" tentang kesan ekoran langkah baru itu terhadap harga pasaran, sambil menambah bahawa ia mungkin akan mengambil masa sekitar dua hingga tiga bulan.

"Pada pendapat saya, saya tidak rasa harga akan langsung naik kerana jika ia dinaikkan, pembeli kali pertama mungkin tidak akan mampu membelinya. Pasti akan ada penjual yang akan cuba menaikkan harga namun ia tidak akan menyebabkan kenaikan mendadak dalam pasaran secara keseluruhan," kata Encik Shiddique.

Ejen PropNex Wayne Teo juga bersetuju dengan berkata penjual yang memilih untuk mengambil kesempatan daripada geran tambahan berisiko tidak dapat menjual flat mereka, terutama sekali kepada pembeli kali pertama.

KEUTAMAAN PEMBELI KALI PERTAMA

Walaupun orang ramai mengalu-alukan geran tambahan yang diumumkan Pemerintah, pembeli kali pertama memberitahu Mediacorp bahawa mereka masih memberi keutamaan dari segi kemampuan, dan tidak akan membeli flat yang harganya melebihi nilai harga yang tinggi.

Salah satu daripada mereka ialah Encik Iqbal Mohamed yang sudah mengkaji harga flat jualan semula selama hampir dua tahun.

Beliau berjaya membeli flat dua bilik di Punggol sekitar tiga minggu lalu pada harga sekitar S$310,000 tanpa perlu bayar tunai melebihi penilaian (COV).

Pengurus komersil berusia 38 tahun itu berkata: “Geran tambahan diumumkan tepat pada masanya. Saya sudah bersetuju dengan harga yang ditetapkan penjual sebelum pengumuman tersebut, jadi saya tidak bimbang penjual akan naikkan harga. Geran tambahan akan membantu dalam mengurangkan bayaran balik setiap bulan.”
Sumber : Today/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan