Skip to main content

Singapura

Penjual bunga diperdaya tempahan palsu, beberapa hari selepas insiden serupa libatkan peniaga beriani

Anggaran Waktu Membaca:
Penjual bunga diperdaya tempahan palsu, beberapa hari selepas insiden serupa libatkan peniaga beriani

Kiki Florist terima tempahan untuk 150 gubahan kecil dan empat gubahan besar. (Gambar: Kiki Florist)

Diterbitkan : 13 Sep 2025 02:15PM Dikemas Kini : 13 Sep 2025 02:20PM
SINGAPURA: Seorang peniaga bunga berkata beliau mengalami kerugian lebih S$1,000 selepas menyediakan bunga untuk apa yang dipercayai sebagai tempahan palsu.

Ini kali kedua dalam tempoh beberapa hari insiden seumpama itu berlaku, melibatkan perniagaan kecil tempatan.

Dalam catatan blog di lamannya, Kiki Florist, yang terletak di KAP Mall di Bukit Timah Road, menceritakan tentang kedainya menerima tempahan yang luar biasa banyak pada Isnin (8 Sep).

Seorang lelaki menempah 150 jambak kecil dan empat jambak besar untuk disediakan dalam tempoh 48 jam, sambil mendakwa ia "tempahan korporat di bawah (badan) pemerintah".

Penyamar itu juga mendakwa dirinya dari Kem Tentera Bedok.

Catatan blog itu, yang bertajuk "150 jambak bunga, tiada bayaran pendahuluan, dan satu pengajaran yang sangat besar" dan bertarikh 10 September, menyatakan lelaki itu pada mulanya bersetuju untuk membayar S$2,200 secara tunai semasa mengambil tempahannya tetapi enggan membuat sebarang deposit.

Penjual bunga dan pembeli akhirnya bersetuju dengan urus niaga 50 jambak bunga, bernilai kira-kira S$1,100.

Cik Joselyn Lie, 21 tahun, yang berkongsi bahawa beliau memiliki perniagaan itu bersama kakaknya, memberitahu Mediacorp pada Jumaat bahawa pembeli itu kedengaran "sangat ikhlas" pada mulanya, malah menukil kejadian sebelumnya di mana beliau dakwa sudah bayar vendor, namun tempahannya tidak diterima.

Beliau turut berkongsi petikan skrin WhatsApp mereka, yang memaparkan gambar profil seorang lelaki berpakaian seragam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).

Pada 10 September, pelanggan terbabit beri jaminan kepada Kiki Florist bahawa "kakitangannya" akan turun untuk ambil bunga-bunga itu.

Selepas tiada seorang pun yang muncul, beliau menelefon beberapa jam kemudian dan memberitahu bahawa dia hanya akan mengambil tempahan yang dibuat jika kesemua 150 jambak bunga sudah siap.

Tidak lama selepas itu, dia berhenti membalas panggilan.

Cik Lie menambah meskipun insiden itu menyebabkan perniagaannya kerugian sekitar S$1,100 dan menyebabkan mereka menolak tempahan pelanggan-pelanggan lain, mereka akhirnya berjaya menjual gubahan yang sudah disediakan.

Cik Lie memberitahu Mediacorp bahawa beliau tidak pasti sama ada insiden itu boleh dikategorikan sebagai penipuan dan ia merupakan kali pertama perniagaan itu berdepan situasi sedemikian.

Kes itu berlaku pada minggu yang sama, di mana sebuah gerai penjaja di Pasar Tiong Bahru berkata beliau ditipu oleh seseorang yang mendakwa dirinya daripada SAF.
Peniaga gerai itu menyediakan 150 bungkus briyani ayam dan kambing, dan kemudian menyedari bahawa tempahan itu hanyalah palsu semata-mata.

Apabila ditanya tentang kes kedai bunga berkenaan, Kementerian Pertahanan (MINDEF) mengarahkan Mediacorp ke catatan Facebook pada 10 September mengenai insiden pembelian beriani berkenaan.

MINDEF menyatakan siasatan menemui "tiada bukti bahawa individu terbabit ada kaitan dengan SAF" dan menggesa orang ramai supaya terus berwaspada dan melaporkan perbuatan yang mencurigakan kepada polis.
Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita