Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penjenamaan semula MTFA demi kekal relevan kepada keperluan semasa Muslim S'pura

Penjenamaan semula MTFA demi kekal relevan kepada keperluan semasa Muslim S'pura.

Anggaran Waktu Membaca:
Penjenamaan semula MTFA demi kekal relevan kepada keperluan semasa Muslim S'pura

Logo MTFA lama (kiri) dan baru (kanan). (Gambar: MTFA)

SINGAPURA: Persatuan Dana Amanah Muslimin (MTFA) sudah selesai menjalani penjenamaan semula untuk menyuntik kesegaran kepada khidmat-khidmat yang ditawarkannya di samping mencergaskan semula imej pertubuhan yang sejak sekian lama berdedikasi kepada penjagaan orang miskin dan golongan kurang bernasib baik.

Logo MTFA, yang sudah berusia 117 tahun, juga berwajah baru. Ia menonjolkan tulisan san serif yang kelihatan lebih teguh dan moden. Di atasnya pula, tertera bentuk kubah seperti yang terdapat pada Masjid Nabawi.

Perkataan 'EST 1904' pada bahagian bawah logo adalah tahun MTFA ditubuhkan sebagai mengiktiraf warisannya.

Huruf-huruf MTFA dan bentuk kubah pada logo itu dikekalkan untuk memberi penghargaan kepada orang-orang terdahulu pertubuhan itu.

Warna hijau segar yang juga dikekalkan adalah kerana warna itu sering dikaitkan dengan identiti Islam.

Logo MTFA lama (kiri) dan baru (kanan). (Gambar: MTFA)

Penjenamaan semula itu melambangkan ikrar MTFA untuk kekal relevan dalam persekitaran yang kian berubah-ubah dan terus menyampaikan khidmatnya untuk memastikan semangat Ihsan terus mekar serta meneguhkan lagi komitmennya untuk mencapai kemerlangan dalam kalangan kakitangannya, program-program dan juga prosesnya.

Sejak ditubuhkan pada 1904, MTFA sudah membantu lebih 1,000 anggota masyarakat Islam setiap tahun menerusi agihan zakat dan derma.

Antara sumbangannya itu adalah untuk menghulurkan bantuan kepada golongan miskin dan memerlukan, menyokong keperluan hidup dan pendidikan anak-anak yatim dan yang kehilangan tempat tinggal, dermasiswa dan biasiswa bagi para pelajar Muslim dari keluarga-keluarga berpendapatan rendah, rawatan-rawatan bagi para pesakit ginjal yang dihimpit masalah kewangan serta bantuan kewangan bagi khidmat khairat.

Pengerusi Jawatankuasa Publisiti MTFA, Ferdaus Amzah, yang menerajui inisiatif penjenamaan semula itu berkata: "Untuk satu tempoh, MTFA adalah sebuah entiti yang dominan dalam menjalankan kewajipan-kewajipan ke atas masyarakat Muslim Singapura."

Bagaimanapun, dengan adanya lebih banyak pertubuhan bukan untuk keuntungan, MTFA menjadi 'lapuk' dan akhirnya seolah-olah 'hilang'.

Logo lama MTFA yang sudah digunakan selama 117 tahun itu, meskipun legasinya dihormati, "sudah tiba masa untuk melalui perubahan", menurut Encik Ferdaus.

Selain itu, logo bagi semua jenama subsidiari di bawah 'kubah' MTFA juga melalui penjenamaan semula supaya sejajar dengan usaha-usaha pembaharuan pertubuhan itu.

Logo-logo subsidiari mengekalkan beberapa elemen daripada logo lama masing-masing, seperti 'Ihsan Crest' - iaitu dua bulatan yang saling melengkapi antara satu sama lain, dengan bahagian luarnya melambangkan Kerohanian dan bahagian dalamnya pula melambangkan kemanusiaan serta putaran transformasi yang berterusan dari lahir hingga meninggal dunia.

Bersama-sama, bulatan itu adalah simbol keseluruhan dan kesempurnaan, dengan bulatan dalam yang membawa makna sama dengan Ihsan, iaitu etos atau semangat yang generasi masa kini anggota MTFA mahu diwarisi sebagai legasi mereka.

"Sebagai Muslim, penting untuk kita tahu tiga 'I'. Iman, iaitu apa yang dirasionalkan oleh minda kita dan oleh itu, apa yang kita percaya. Islam adalah amalan yang dilakukan oleh tubuh kita ekoran daripada keimanan kita. Selain itu, Ihsan, memupuk semangat atau jiwa menerusi ibadah yang dijalankan dengan cemerlang dan ikhlas; pemahaman yang mendalam pada diri seseorang meskipun kita tidak dapat melihat Pencipta Yang Maha Esa, Dia melihat kita dan semua yang kita lakukan," jelas Pengarah Eksekutif MTFA Dr Abdul Qader Al-aidaroos.

"Bagi kami di MTFA, Ihsan adalah peringatan betapa kita mesti terus memaparkan versi terbaik diri kita dan bertekad untuk tidak sampai kepada sikap mudah berpuas hati."

MTFA AMBIL LANGKAH SETERUSNYA BAGI SOKONG, JAGA MUSLIM S'PURA

Dengan niat untuk menjadi pertubuhan tunggak untuk menjaga dan menyokong Muslim di Singapura, MTFA akan memastikan program-program dan khidmat-khidmatnya memenuhi piawai nasional, dengan pentauliahan ISO9001:2015 baru-baru ini serta dasar baru latihan kakitangan menjadi langkah pertama.

Untuk membolehkan komunikasi dan proses-proses yang lebih cekap, MTFA juga sudah memulakan pendigitalan dan automasi dalam kerja-kerjanya dan juga pendampingan dengan pihak-pihak berkepentingan yang menggunakan platform-platform online.

Ini membolehkan MTFA untuk mendekati masyarakat, menerima maklum balas dan meneroka aspek-aspek yang boleh dipertingkat dan diperluaskan.

Selain itu, MTFA juga mahu menyediakan jagaan lanjut dan sokongan menerusi subsidiari-subsidiari asasnya, iaitu Rumah Anak Yatim Darul Ihsan, Ihsan Kidney Care dan Ihsan Casket.

"Idea di sebalik penjenamaan semula itu bertujuan untuk memperkukuh rasa perpaduan dalam kalangan MTFA dan pihak-pihak berkepentingan kami. Kami juga sudah mengambil pendekatan teguh kepada jenama-jenama subsidiari kami, dengan semuanya memaparkan motif kubah dan huruf MTFA pada logo mereka.

"Tambahan lagi, kami sudah menukar jenama Pusat Dialisis MTFA kepada Ihsan Kidney Care," tambah Encik Ferdaus.

DARUL IHSAN

Darul Ihsan (DI) adalah sekumpulan rumah anak yatim yang dikendalikan MTFA yang sudah berjaya menyokong dan menyepadukan semula ramai anak yatim dan kanak-kanak yang kehilangan tempat tinggal ke dalam masyarakat.

Logo lama Darul Ihsan (kiri) dan logo baru Darul Ihsan (kanan). (Gambar: MTFA)

Logo lama Darul Ihsan (kiri) dan logo baru Darul Ihsan (kanan). (Gambar: MTFA)

Malah ramai daripada mereka membesar dan menyumbang semula sebagai anggota.

Ditubuhkan sejak 1962, DI merancang untuk memberi lebih banyak tumpuan kepada jagaan menyeluruh sepenuh masa untuk kanak-kanak itu, dengan memastikan pembangunan pendidikan akademik, emosi dan kerohanian mereka.

DI juga sudah melaksanakan kurikulum pendidikan dan kegiatan pembangunan kemahiran yang disesuaikan untuk membangunkan keperibadian serta kemahiran-kemahiran yang dapat menjana pendapatan.

DI juga akan merintis projek aturan tempat tinggal peralihan untuk penghuni yang berusia 18 tahun dan ke atas.

Pendekatan itu unik kerana ia adalah yang pertama dilaksanakan oleh sebuah pertubuhan Muslim untuk memudahkan dan menggalak anak-anak yatim atau yang kehilangan tempat tinggal berintegrasi semula dalam kalangan masyarakat dengan cara yang selamat.

IHSAN KIDNEY CARE

Dilancarkan pada 2018 oleh Presiden Halimah Yacob, Ihsan Kidney Care (IKC) adalah satu-satunya pusat dialisis yang dikendalikan Muslim di Singapura.

Logo dan penjenamaan baru dari Pusat Dialisis MTFA (kiri) kepada Ihsan Kidney Care (kanan). (Gambar: MTFA)

Logo dan penjenamaan baru dari Pusat Dialisis MTFA (kiri) kepada Ihsan Kidney Care (kanan). (Gambar: MTFA)

Ia menangani kebimbangan yang kian meningkat tentang masalah buah pinggang dalam kalangan penduduk berpendapatan rendah di Singapura.

Ia menawarkan harga subsidi bagi rawatan dan nasihat dialisis ginjal untuk masyarakat Islam dan juga bukan Islam.

Ia sudahpun berkhidmat kepada lebih 100 pesakit.

Sedang ia berkembang, IKC komited untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa kesihatan untuk menyediakan rawatan canggih untuk para pesakit menerusi teknologi-teknologi terkini, selain menyasarkan untuk memperluaskan operasinya demi menyokong lebih ramai pesakit ginjal pada masa akan datang.

IHSAN CASKET

Satu lagi subsidiari MTFA, iaitu Ihsan Casket mahu menjadi sebuah institusi yang menjadi pilihan masyarakat Muslim Singapura.

Logo Ihsan Casket. (Gambar: MTFA)

Logo Ihsan Casket. (Gambar: MTFA)

Keuntungan daripada khidmat-khidmat Ihsan Casket akan digunakan untuk menyediakan khidmat-khidmat pengebumian secara percuma bagi Muslim yang berpendapatan rendah, miskin atau tidak dituntut jenazahnya.

Ihsan Casket akan menawarkan khidmat khairat yang selayaknya sebagai Muslim.

Ini seiring dengan matlamat Ihsan Casket untuk menjadi pemacu utama dalam khidmat khairat percuma bagi anggota masyarakat Muslim yang kurang bernasib baik di Singapura. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan