Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penjelasan banglo 31 Ridout Road disewa Dr Balakrishnan

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 28 Jun 2023 05:59PM Dikemas Kini : 28 Jun 2023 09:22PM
SINGAPURA: Dua laporan yang dikeluarkan pada Rabu (28 Jun) menjawab soalan tentang bagaimana dua menteri - Encik K Shanmugam dan Dr Vivian Balakrishnan - masing-masing boleh menyewa hartanah di Ridout Road serta ketelusan dalam memasarkan hartanah tersebut.

Estet di Ridout Road itu diletakkan di bawah pengurusan ejen pihak ketiga dan mereka menentukan bagaimana untuk memasarkan hartanah tersebut berdasarkan keadaan pasaran semasa, menurut laporan Encik Teo.
Berikut penjelasan tentang banglo di 31 Ridout Road yang disewa Dr Balakrishnan.

Isteri Dr Balakrishnan mendapat tahu tentang papan tanda "Untuk Disewa" di 31 Ridout Road. Beliau kemudian menghubungi ejen pengurusan yang dilantik SLA pada 11 September 2018 dan merundingkan harga sewa.

Hartanah seluas 9,157.36 meter persegi itu sudah kosong sejak Julai 2013. Ia disenaraikan di laman maklumat hartanah negara dan sudah kosong selama lima tahun menyusuli dua bidaan yang gagal.

Ejen pengurusan berkenaan kemudian meletakkan harga sewa sebanyak S$19,000, dan isteri Dr Balakrishnan menawarkan S$19,000 termasuk kerja-kerja baik pulih penting dan menaik taraf tandas.

Ejen berkenaan menolak kerja-kerja menaik taraf tandas kerana ia dianggap sebagai kerja-kerja baik pulih, dan isteri Dr Balakrishnan kemudian bersetuju untuk membiayai kos naik taraf tandas.

Harga sewa bagi 31 Ridout Road itu secara bebas ditentukan dan ditaksirkan oleh ejen pengurusan. Baik Dr Balakrishnan mahupun isteri beliau tidak mengetahui tentang wujudnya panduan sewa.

"Jabatan Sewa SLA kemudian menerima cadangan harga sewa itu kerana harga S$19,000 itu bukan lebih rendah daripada harga sewa berdasarkan panduan sewa sedia ada, sebanyak S$18,800," menurut CPIB.

CPIB mendapati ejen pengurusan itu bertanya kepada SLA sama ada terdapat dasar bagi orang-orang kenamaan atau VVIP. Pengurus sewa SLA membalas menerusi satu kiriman emel bahawa tiada dasar sedemikian dan "semua bakal pembeli dan penyewa dilayan sama rata".

CPIB bagaimanapun tidak mendedahkan niat di sebalik pertanyaan itu.

"Tiada layanan istimewa diberikan dalam proses urus niaga sewa," menurut CPIB.

Kos keseluruhan kerja-kerja pembaikan utama yang ditanggung oleh SLA untuk membaik pulih 31 Ridout Road itu adalah S$570,500. Dr Balakrishnan dalam temu bual dengan CPIB berkata bahawa beliau membayar lebih S$200,000 bagi kerja-kerja peningkatan tambahan kepada hartanah negara itu.

Perjanjian sewa bagi hartanah tersebut pada mulanya adalah untuk tujuh tahun, bermula dengan tempoh sewa tiga tahun, disusuli oleh dua tempoh dua tahun dan ini ditandatangani oleh isteri Dr Balakrishnan pada Oktober 2019.

Selepas tiga tahun pertama, isteri Dr Balakrishnan meminta dan diberikan pembaharuan lagi tiga tahun dan kemudian penggal dua tahun dan bukan dua tempoh dua tahun.

Sewa bagi tempoh kedua dinaikkan daripada S$19,000 kepada S$20,000 sebulan, dengan mengambil kira keadaan pasaran semasa pada 2022, menurut CPIB.
Sumber : Today/NK/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan