Penjawat awam yang beli hartanah dekat stesen MRT dirancang antara isu bakal dibangkitkan di parlimen 6 Okt
Semakan pemerintah terhadap pembelian hartanah oleh para pegawai yang terlibat dalam perancangan rel akan menjadi tumpuan parlimen apabila ia bersidang pada Selasa (6 Okt), selepas satu kertas kerja menunjukkan pembelian dibuat berhampiran stesen-stesen MRT yang dirancang sebelum lokasinya diketahui umum.
Para pejalan kaki berjalan di hadapan bangunan Parlimen di Singapura pada 2 Mei 2025. (Gambar fail: AP/Vincent Thian)
- Singapore Parliament on Oct 6 will examine the PSD review of property purchases made between 2007 and 2011 by rail planning officers, after an NBER paper linked them to MRT locations that had not yet been announced.
- MPs are seeking an explanation from Prime Minister Lawrence Wong on the preliminary findings, possible wrongdoing, whether enforcement is needed, and the rules to prevent civil servants from using confidential information for personal or family gain.
- Job losses, which rose to 4,620 in the second quarter of 2026, will also be raised, with a focus on MOM support, job matching, mature workers and the re-employment rate of PMETs.
- MPs are also questioning the delay to the North-South Corridor until 2029 due to land and engineering challenges, as well as changes to Primary 1 registration that may affect competition and family preparedness.
- Parlimen Singapura pada 6 Okt akan meneliti semakan PSD terhadap pembelian hartanah 2007 hingga 2011 oleh pegawai perancangan rel, selepas kertas NBER mengaitkannya dengan lokasi MRT belum diumumkan.
- Para AP meminta penjelasan daripada PM Lawrence Wong tentang dapatan awal, kemungkinan salah laku, keperluan penguatkuasaan, serta peraturan bagi mencegah penjawat awam menggunakan maklumat sulit untuk keuntungan peribadi atau keluarga.
- Pemberhentian kerja yang meningkat kepada 4,620 pada suku kedua 2026 turut dibangkitkan, dengan tumpuan kepada sokongan MOM, pemadanan kerja, pekerja matang dan kadar kembali bekerja PMET.
- AP juga menyoal kelewatan Koridor Utara-Selatan hingga 2029 akibat cabaran tanah dan kejuruteraan, serta perubahan pendaftaran Darjah 1 yang mungkin menjejaskan persaingan dan persediaan keluarga.
Para Anggota Parlimen (AP) mengemukakan beberapa soalan berhubung kertas kerja oleh para penyelidik berhubung perkara tersebut, semakan pihak berkuasa serta langkah perlindungan bagi mencegah pegawai awam daripada menggunakan maklumat yang tidak diketahui umum untuk meraih keuntungan peribadi.
Soalan turut dikemukakan berhubung peningkatan pemberhentian kerja di Singapura, kelengahan selama dua tahun bagi pembukaan Koridor Utara-Selatan serta perubahan pada proses pendaftaran Darjah 1.
KAJIAN PEMBELIAN HARTANAH PENJAWAT AWAM
10 soalan dikemukakan oleh para AP untuk jawapan lisan berhubung kertas kerja oleh sebuah pertubuhan penyelidikan yang berpangkalan di Amerika Syarikat berhubung pembelian hartanah oleh penjawat awam. Satu lagi soalan bertulis turut menyentuh kertas kerja berkenaan.
Kertas kerja oleh Biro Penyelidikan Ekonomi Nasional (NBER) melaporkan terdapat kaitan dari segi statistik antara pembelian sedemikian dengan para individu yang diklasifikasikan oleh penulisnya sebagai penjawat awam di agensi yang ada kaitannya dengan perancangan rel.
Kertas kerja tersebut belum menjalani semakan rakan sebaya (peer review).
Divisyen Perkhidmatan Awam Singapura (PSD) pada pertengahan September menyatakan bahawa ia sedang menyemak data dan kaedah yang digunakan dalam kertas kerja tersebut.
Pada 25 September, PSD menyatakan pemerintah turut menyemak pembelian hartanah yang dibuat antara 2007 hingga 2011 oleh para pegawai yang terlibat dalam perancangan rel bagi menilai sama ada berlakunya "salah laku sebenar".
AP Joan Pereira (PAP-GRC Tanjong Pagar) bertanya kepada Perdana Menteri Lawrence Wong, yang juga Menteri Kewangan, sama ada PSD sudah menyelesaikan semakannya terhadap kertas kerja tersebut dan apakah dapatan awal atau sebarang perkara luar biasa yang dikenal pasti.
Beliau turut bertanya sama ada siasatan lanjut dan langkah penguatkuasaan diperlukan.
Beberapa AP turut mengemukakan soalan berhubung peraturan bagi para pegawai awam yang mengendalikan rancangan pembangunan.
AP He Ting Ru (WP-GRC Sengkang) bertanya kepada PM Wong sama ada penjawat awam wajib mengisytiharkan pembelian hartanah yang mungkin berkaitan dengan maklumat yang tidak diketahui umum berhubung prasarana pengangkutan masa depan, serta bagaimana pengisytiharan sedemikian disemak silang dengan akses pegawai kepada maklumat perancangan.
AP Dilantik (NMP) Terence Ho bertanya kepada PM Wong sama ada pemerintah berpendapat bahawa langkah perlindungan perlu diperkukuhkan, termasuk peraturan dan hukuman, bagi memastikan para pegawai awam tidak menggunakan maklumat istimewa untuk meraih keuntungan bagi diri sendiri atau anggota keluarga mereka.
PEMBERHENTIAN KERJA
Jumlah pemberhentian kerja di Singapura meningkat kepada 4,620 pada suku kedua 2026, paras tertinggi sejak suku keempat 2020.
Kertas aturan bagi sidang pada Selasa menunjukkan bahawa para AP mengemukakan 10 soalan berhubung pemberhentian kerja, termasuk mengenai sokongan bagi para pekerja terjejas dan usaha membantu mereka kembali ke alam pekerjaan.
AP Valerie Lee (PAP-GRC Pasir Ris-Changi) bertanya kepada Pemangku Menteri Tenaga Manusia Jasmin Lau, bagaimana kementeriannya menilai sama ada program penukaran kerjaya dapat membantu pekerja matang kekal dalam pekerjaan untuk jangka panjang.
Kementerian Tenaga Manusia (MOM) bulan lalu menekankan bahawa petunjuk pengangguran dalam kalangan pekerja yang juga merupakan penduduk lebih berusia, iaitu 50 tahun dan ke atas, perlu dipantau dengan lebih teliti. Pengangguran jangka panjang pada suku kedua meningkat sedikit dalam kalangan pekerja berusia 50-an serta mereka yang berusia 60 tahun dan ke atas.
Cik Lee turut bertanya sama ada langkah lanjut sedang dipertimbangkan bagi menyokong pekerjaan jangka panjang untuk pekerja matang dan mengurangkan risiko mereka kehilangan pekerjaan berulang kali.
AP Wan Rizal (PAP-GRC Jalan Besar) turut bertanya kepada Cik Lau bagaimana sokongan pemadanan pekerjaan dan bantuan mendapatkan pekerjaan disesuaikan bagi kumpulan pekerja yang berbeza, serta bagaimana MOM menilai sama ada usaha tersebut membantu mereka mendapatkan pekerjaan baharu.
AP Patrick Tay (PAP-Pioneer) bertanya kepada Pemangku Menteri Tenaga Manusia, sektor mana yang secara konsisten mencatat kadar kembali bekerja dalam tempoh enam bulan paling rendah bagi golongan profesional, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) penduduk yang diberhentikan kerja sepanjang 14 suku terakhir.
KELENGAHAN KORIDOR UTARA-SELATAN
Beberapa soalan juga dikemukakan berhubung kelengahan selama dua tahun bagi pembukaan Koridor Utara-Selatan.
Bahagian jejambat dari Admiralty Road West hingga Lentor Avenue di utara Singapura dijangka dibuka secara berperingkat mulai 2029, berbanding 2027 seperti yang diumumkan sebelum ini.
Pembinaan koridor tersebut dijalankan sejak 2018. Bulan lalu, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) memaklumkan bahawa projek tersebut berdepan keadaan tanah yang mencabar serta kerja-kerja kejuruteraan yang rumit. LTA menyifatkan bahagian Novena sebagai antara bahagian projek yang "paling mencabar dari segi teknikal".
AP Louis Chua (WP-GRC Sengkang) bertanya kepada Menteri Pengangkutan Jeffrey Siow sama ada siasatan tapak sebelum pembinaan sudah mengenal pasti kerumitan kejuruteraan Koridor Utara-Selatan, serta risiko geologi, air bawah tanah dan keadaan bawah permukaan yang kemudiannya dihadapi.
Beliau bertanya mengapa isu tersebut tidak ditangani dengan secukupnya dalam rancangan pembinaan sekiranya ia sudah dikenal pasti, dan sama ada LTA boleh menerbitkan maklumat keadaan tanah yang diberikan kepada pihak yang menyertai tender projek serta keadaan sebenar yang ditemui di tapak yang terjejas.
AP Lee Hui Ying (PAP-Nee Soon) dan Poh Li San (PAP-Sembawang West) mengemukakan soalan mengenai kesan kelengahan tersebut terhadap para penduduk dan perniagaan berhampiran tapak pembinaan.
Cik Lee bertanya kepada Encik Siow bagaimana penduduk dan perniagaan di Nee Soon South akan terjejas serta langkah yang akan diambil untuk mengurangkan kesannya.
Soalan Cik Poh pula tertumpu pada sokongan bagi para penduduk dan pemilik perniagaan yang terjejas di sepanjang bahagian jejambat Lentor Avenue hingga Admiralty Road West. Beliau turut bertanya bagaimana keselamatan pembinaan akan dipertingkat memandangkan keadaan tapak kini lebih mencabar daripada jangkaan.
PENDAFTARAN DARJAH 1
Para AP turut membangkitkan soalan berhubung proses pendaftaran Darjah 1 selepas beberapa perubahan diumumkan bulan lalu.
AP Elysa Chen (PAP-GRC Bishan-Toa Payoh) bertanya kepada Menteri Pendidikan Desmond Lee sama ada kementeriannya menjangkakan persaingan bagi mendapatkan tempat akan beralih ke Fasa 2A apabila sekolah-sekolah menghentikan skim sukarelawan ibu bapa di bawah Fasa 2B.
Beliau turut bertanya sama ada kriteria Fasa 2A akan disemak bersama Fasa 2B.
AP Tin Pei Ling (PAP-GRC Marine Parade-Braddell Heights) bertanya kepada Menteri Pendidikan sama ada perubahan pada Rangka Kerja Pendaftaran Darjah 1 boleh ditangguhkan selama setahun bagi memberi masa kepada keluarga untuk membuat peralihan atau penyesuaian sewajarnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.