Skip to main content

Singapura

Penjawat awam tidak boleh sama sekali minta hadiah atau habuan: Chan Chun Sing

Anggaran Waktu Membaca:
Penjawat awam tidak boleh sama sekali minta hadiah atau habuan: Chan Chun Sing

Menteri Pendidikan merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Perkhidmatan Awam Chan Chun Sing berucap di parlimen pada 5 Feb 2024.

SINGAPURA: Para penjawat awam tidak boleh sama sekali meminta hadiah atau habuan, terutama sekali semasa mereka berada dalam kedudukan yang mampu mempengaruhi atau menjejas sebarang keputusan melibatkan parti lain.

Menteri Bertanggungjawab bagi Perkhidmatan Awam Chan Chun Sing menekankan demikian di parlimen pada Isnin (5 Feb).

Ini merupakan respons kepada pertanyaan parlimen daripada Encik Derrick Goh (PAP - Nee Soon) dan Encik Edward Chia (PAP - Holland-Bukit Timah) mengenai syarat-syarat berhubung hadiah bagi penjawat awam, salah satu daripada isu yang diketengahkan mengenai kes rasuah yang masih dibicarakan melibatkan mantan Menteri Pengangkutan S Iswaran.

Encik Chan, yang menjawab bagi pihak Perdana Menteri itu, berkata bahawa para pegawai tidak boleh sama sekali menerima sebarang hadiah yang ditawarkan kerana kedudukan atau tugas rasmi mereka.

"Naluri pertama kami ialah untuk menolak sebarang hadiah yang tidak diminta dan memulangkannya jika boleh," ujar Encik Chan, yang juga merupakan Menteri Pendidikan.

Beliau kemudian menjelaskan bahawa sekiranya tidak mungkin atau tidak praktikal untuk memulangkan hadiah itu, pegawai tersebut harus mengisytiharkannya.

Jika pegawai itu ingin menyimpan hadiah tersebut, beliau boleh berbuat demikian jika dia membiayainya. Bagi kemudahan operasi, pegawai itu boleh menyimpan hadiah bernilai kurang daripada S$50 tanpa membayarnya jika ia tidak menjejas integriti perkhidmatan awam, kata Encik Chan.

"Namun sekiranya seorang pegawai menerima beberapa hadiah bernilai S$49 secara berulang kali, saya rasa kita tahu jawapannya (berdasarkan syarat itu): Jika corak tingkah laku seperti itu diperhatikan, ia mesti berhenti."

Encik Iswaran dituduh memperoleh barangan bernilai lebih S$384,000 daripada hartawan industri perhotelan Ong Beng Seng, seperti tiket Grand Prix F1 Singapura dan perjalanan berbayar ke Doha. Sebahagian daripadanya dipercayai sebagai ganjaran untuk memajukan kepentingan perniagaan Encik Ong.

Berhubung pertanyaan daripada beberapa AP lain mengenai sama ada sistem tersebut perlu disemak semula, Encik Chan berkata syarat-syarat tersebut bertujuan mengelakkan penjawat awam daripada terjerumus.

Namun peraturannya seharusnya tidak begitu membebankan sehingga menghambat mereka daripada menjalankan tugas.

"Apabila satu insiden berlaku, kita tidak boleh (bertindak terburu-buru) dan segera mengetatkan atau menambah lebih banyak peraturan," katanya.

Untuk memahami jika sistem itu perlu dikemas kini atau diubah, seseorang itu perlu mengetahui fakta-fakta kes tersebut, yang masih dibicarakan di mahkamah, tambahnya.

Dalam menjawab pertanyaan mengenai Kod Tata Laku bagi para pegawai awam, menteri dan pemegang jawatan politik, Encik Chan menyatakan bahawa peraturan-peraturan itu disemak secara berkala. Beliau juga memberi jaminan kepada para AP bahawa identiti mereka yang melaporkan mengenai sebarang pelanggaran undang-undang akan dilindungi.

Ketua Dewan Indranee Rajah juga menyentuh mengenai elaun Anggota Parlimen (AP) Encik Iswaran - satu perkara yang dibangkitkan Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi Hazel Poa daripada Parti Kemajuan Singapura (PSP) pada September tahun lalu.

Cik Indranee telah meminta untuk menangguhkan dalam menangani pertanyaan tersebut pada ketika itu sehingga siasatan selesai dijalankan.

"Sebelum pembentangan rasmi tuduhan ke atasnya, Encik Iswaran meletak jawatan daripada Kabinet dan sebagai Anggota Parlimen. Menyusuli peletakan jawatannya, beliau turut memaklumkan Perdana Menteri akan memulangkan secara sukarela semua wang yang diterimanya melalui gaji dan elaun menteri sebagai Anggota Parlimen yang dibayar kepadanya sejak bermulanya siasatan CPIB pada Julai 2023," katanya.

"Dalam keadaan ini, isu-isu khusus mengenai Encik Iswaran yang membimbangi dewan itu telah ditangani, maka itu tidak perlu ada pertimbangan lanjut mengenai langkah-langkah yang perlu diambil terhadap Encik Iswaran oleh Dewan."

Mengenai sama ada AP yang sedang disiasat patut digantung, Cik Indranee berkata perkara itu tidak sepatutnya berlaku.

"Dengan berbuat demikian adalah dengan menghakimi Anggota Parlimen itu (sebelum penghakiman mahkamah bahawa dia) telah melakukan kesalahan itu, meskipun sebelum butiran siasatan diketahui," katanya.

"Setiap individu yang didakwa melakukan kesalahan termasuk Anggota Parlimen perlu ditangani dengan sewajarnya. "

Encik Yip Hon Weng (PAP - Yio Chu Kang) juga bertanya sama ada terdapat keperluan untuk menubuhkan sebuah Jawatankuasa Siasatan (COI) untuk menyiasat kes rasuah itu.

Cik Indranee berkata Dewan seharusnya menunggu sehingga selesai prosiding di mahkamah sebelum menentukan sama ada sebarang tindakan lain perlu dilaksanakan.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita