Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penjawat awam diberkas di bawah OSA; bocorkan langkah bendung COVID-19 bagi sukan, kegiatan fizikal

Seorang lelaki berusia 32 tahun ditangkap di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) kerana dituduh membocorkan maklumat mengenai langkah-langkah COVID-19 bagi kegiatan sukan dan latihan jasmani di sebuah kumpulan sembang WhatsApp.

Anggaran Waktu Membaca:
Penjawat awam diberkas di bawah OSA; bocorkan langkah bendung COVID-19 bagi sukan, kegiatan fizikal

Gambar fail logo WhatsApp pada sebuah telefon bijak. (Gambar: AFP/Yasuyoshi Chiba)

Diterbitkan : 31 May 2021 08:49AM Dikemas Kini : 31 May 2021 08:50AM

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 32 tahun ditangkap di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) kerana dituduh membocorkan maklumat mengenai langkah-langkah COVID-19 bagi kegiatan sukan dan latihan jasmani di sebuah kumpulan sembang WhatsApp.

Polis menyatakan ia menerima aduan pada 18 Mei bahawa maklumat tentang penggantungan sukan, kelas kegiatan fizikal dan program bagi kanak-kanak serta remaja berusia bawah 18 tahun dari 19 Mei hingga 13 Jun dibocorkan kepada awam.

Ia berlaku sebelum maklumat itu dikeluarkan secara rasmi oleh Sport Singapore, menurut polis dalam satu kenyataan media pada Ahad (30 Mei).

"Siasatan awal mendedahkan lelaki itu, seorang penjawat awam dan penerima yang dibenarkan ke atas maklumat langkah pengurusan selamat bagi sukan serta kegiatan fizikal, didakwa mengongsikan maklumat itu menerusi WhatsApp pada 16 Mei dengan anggota-anggota kumpulan sembang privet WhatsApp yang tidak dibenarkan untuk menerima maklumat sulit itu," menurut polis.

Maklumat itu disebarkan lanjut oleh anggota lain daripada kumpulan sembang tersebut lantas menyebabkan penyebaran lebih luas maklumat sulit berkenaan sebelum ia dikeluarkan secara rasmi.

Sesiapa saja yang didapati bersalah kerana salah menyebarkan maklumat di bawah Akta Rahsia Rasmi boleh menghadapi denda sehingga S$2,000 dan dipenjara sehingga dua tahun.

Polis menyatakan penerima yang tidak dibenarkan seharusnya memadamkan dan tidak menyebarkan lanjut sebarang maklumat sulit yang diterima kerana mereka boleh dipertanggungjawabkan di bawah Akta Rahsia Rasmi. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan