Skip to main content

Singapura

Penjawat awam di Malaysia digesa pertingkat prestasi selari kenaikan gaji

Anggaran Waktu Membaca:
Penjawat awam di Malaysia digesa pertingkat prestasi selari kenaikan gaji

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim dilihat bersama para penjawat awam dari Pejabat Perdana Menteri pada 5 Ogos 2024. (Gambar: Anwar Ibrahim/Facebook)

KUALA TERENGGANU: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyeru penjawat awam supaya sentiasa memberikan komitmen tinggi dan meningkatkan prestasi kerja selari dengan kenaikan gaji.

Presidennya Adnan Mat berkata beliau percaya dengan kadar baharu gaji yang akan diumumkan perinciannya, kerajaan mahu melihat penjawat awam membuktikan kemampuan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

"Kenaikan gaji atau kadar baharu gaji ini diumumkan Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) pada 1 Mei lalu dan perinciannya akan diumumkan 16 Ogos ini, manakala pelaksanaannya pula pada Disember. Maksudnya kerajaan hendak lihat lebih awal sumbangan kita (penjawat awam) sebelum gaji dinaikkan.

"Jangan lagi ada soal integriti dan soal yang boleh dipertikai oleh netizen (masyarakat) kerana mereka ini mata dan telinga kerajaan. Kita sentiasa diperhatikan walaupun kita beri yang terbaik, sedikit kelemahan sudah pasti akan menjadi isu besar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada para wartawan selepas menyempurnakan Majlis Perhimpunan Inspirasi Gemilang Penjawat Awam Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu Bersama Presiden Cuepacs di Auditorium Hospital Sultanah Nur Zahirah pada Isnin (5 Ogos).

Bagaimanapun, Encik Adnan memberi jaminan bahawa penjawat awam sentiasa memberikan komitmen tinggi dalam menjalankan tugas dan ia dibuktikan melalui peranan penting dimainkan mereka sebagai barisan hadapan semasa penularan pandemik COVID-19 beberapa tahun lepas.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi) Mohd Shaiful Ibrahim berkata penjawat awam boleh menyemak dan mengetahui kadar baharu gaji pada minggu depan susulan pelarasan gaji menerusi Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang diperkenalkan kerajaan.

Beliau berkata perincian berkenaan mekanisme pelarasan gaji penjawat awam itu akan diumumkan Perdana Menteri semasa Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 pada 16 Ogos ini.

Pada 1 Mei lalu, Perdana Menteri itu mengumumkan skim gaji penjawat awam naik lebih 13 peratus bermula 1 Disember tahun ini.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita