Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penjara seumur hidup, sebatan rotan bagi lelaki bunuh orang tidak dikenali di Punggol Field Road

Seorang lelaki yang menikam seorang tidak dikenali sehingga mati semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19 pada 2020, apabila kedua-duanya sedang berlari-lari anak, dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan 15 kali sebatan rotan.

Anggaran Waktu Membaca:
Penjara seumur hidup, sebatan rotan bagi lelaki bunuh orang tidak dikenali di Punggol Field Road

Kawasan di Punggol Field yang dikepung polis pada 11 Mei 2020 sedang polis menyiasat pembunuhan seorang lelaki yang berlari-lari anak di sana. (Gambar: Ian Cheng)

SINGAPURA: Seorang lelaki yang menikam seorang tidak dikenali sehingga mati semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19 pada 2020, apabila kedua-duanya sedang berlari-lari anak, dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan 15 kali sebatan rotan.

Surajsrikan Diwakar Mani Tripathi, 22 tahun, mengaku bersalah pada Khamis (15 Sep) atas satu tuduhan membunuh Tay Rui Hao, 38 tahun.

Mahkamah diberitahu Surajsrikan menganggur ketika itu. Dia dan Encik Tay tinggal di Punggol namun kedua-duanya tidak mengenali satu sama lain.

Sekitar pukul 10.00 malam pada tanggal 10 Mei 2020, kedua-dua lelaki itu meninggalkan rumah masing-masing untuk berlari-lari anak. Ini sewaktu tempoh pemutus rantaian jangkitan apabila orang ramai tidak dibenarkan untuk meninggalkan rumah bagi kegiatan tidak penting tetapi bersenam dibenarkan.

Mahkamah diberitahu 10 Mei adalah tanggal penting bagi Surajsrikan kerana itulah tarikah ayahnya mengabaikan keluarganya. Tarikh yang sama juga adalah tarikh pendaftarannya untuk menjalani Perkhidmatan Negara (NS). Memori yang terkait dengan tarikh itu mencetuskan rasa kecewa dan marah dalam dirinya.

Apabila Surajsrikan meninggalkan rumahnya, dia membawa bersamanya pisau lipat Swiss - diberikan oleh Angkatan Bersenjata Singaapura (SAF) - dengan bilahnya berukuran sembilan sentimeter dan bergerigi pada satu bahagian hujungnya serta satu paket tisu basah.

Ketika sedang berlari, Surajsrikan tersandung lalu terjatuh berhampiran sebuah perhentian bas di Punggol Field Road. Dia kemudian bermundar-mandir sekitar lima hingga 10 minit untuk meredakan rasa amarahnya.

Encik Tay kemudian melalui kawasan tersebut sekitar pukul 11.10 malam ketika beliau berlari-lari anak. Surajsrikan mengeluarkan pisaunya, mengejar Encik Tay dan menikamnya dengan kuat di bahagian belakang mangsa.

Surajsrikan kemudian menikam dan mengelar lengan mangsa serta bahagian perutnya apabila mangsa cuba duduk.

Surajsrikan mengelap kesan darah pada pisau itu dan menyimpannya sebelum membersihkan kedua-dua tangannya sedang dia berjalan pulang menghala ke arah sebuah blok. Dia tidak menghubungi polis mahupun ambulans.

Surajsrikan berlegar-legar di sekitar kawasan kejiranan itu selama satu setengah jam sebelum membuang tisu basah tersebut dan pulang ke rumah kira-kira pukul 12.30 pagi.

Dia memberitahu keluarganya dia pulang lewat kerana terjatuh ketika berlari-lari anak dan menyimpan pisaunya itu di dalam almari.

Sementara itu, mangsa menghubungi 995. Anggota paramedik menemui beliau berlumuran darah di kawasan rumput. Mangsa pada awalnya dalam keadaan sedar namun menjadi tidak sedar selepas itu. Beliau meninggal dunia pada pagi berikutnya.

Surajsrikan dikenal pasti oleh polis melalui kamera polis yang menunjukkan kelibatnya berlegar-legar di sekitar kawasan kejiranan dengan sebilah pisau. Dia ditangkap dan pisau itu ditemui.

Bedah siasat ke atas mangsa mendapati 10 kecederaan luaran yang termasuk luka terhiris, melecet dan luka ternganga yang dalam pada ototnya. Punca kematian ditentukan sebagai luka terhiris pada urat nadi bahagian kanan dan paru-paru.

GANGGUAN MENTAL

Surajsrikan diperiksa dan didapati mengalami gangguan keresahan sosial yang teruk dan gangguan obsesif kompulsif (OCD). Ini mempunyai kesan hebat dalam hidupnya, membawa kepada kesedihan dan kemarahan tetapi keadaannya tidak dinilai sebagai mengalami gangguan kemurungan.

Dia sebelum ini didapati mempunyai daya kecerdasan tahap pertengahan hingga rendah tetapi tidak didapati kurang upaya dari segi intelektual serta tidak mengalami sebarang gangguan psikotik. Mahkamah diberitahu tarikh pembunuhan itu memburukkan lagi kemarahannya yang kronik.

Bagaimanapun, tindakannya tidak secara langsung disebabkan oleh gangguan yang dialaminya dan dia bukannya dalam keadaan tidak waras ketika melakukan kesalahan tersebut.
Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan