Penjara bagi bekas polis tambahan yang lepaskan das tembakan ke arah meja kaunter
Seorang anggota polis tambahan dijatuhi hukuman penjara selama dua bulan pada Isnin (7 Jul) setelah melepaskan tembakan secara cuai ke arah meja kaunter dalam bilik senjata di Terminal Kargo Udara Singapura.
Muhammad Mukhlis Kamis tiba di Mahkamah Negara pada 7 Julai, 2025. (Gambar: CNA/Lim Li Ting)
Muhammad Mukhlis Kamis, 39 tahun, mengaku bersalah atas satu pertuduhan melakukan perbuatan cuai yang membahayakan keselamatan peribadi seorang anggota bawahannya, dengan melepaskan tembakan dari sepucuk pistol kaliber 0.38 jenis Taurus.
Mahkamah diberitahu bahawa Mukhlis sudah berkhidmat sebagai seorang anggota polis tambahan Khidmat Keselamatan Perkhidmatan Terminal Lapangan Terbang Singapura (SATS) selama 11 tahun.
Mukhlis menyandang pangkat Sarjan dan dikerah sebagai penjaga senjata selama lima tahun sebelum kejadian itu berlaku. Menurut peguam belanya, Mukhlis dinaikkan pangkat sebagai ketua keseluruhan bilik senjata.
Mahkamah turut diberitahu bahawa Mukhlis berada di Bilik Senjata Polis Bantuan SATS di Bangunan Teras C, Terminal Kargo Udara Singapura ketika kejadian berlaku.
Sekitar pukul 7.40 pagi, seorang lagi pegawai, Koperal Zulkarnaen Ramli pergi ke bilik senjata untuk mengambil kelengkapan dan senjata sebelum syifnya bermula, ditemani seorang pegawai keselamatan.
Mukhlis ketika itu sedang mendengar muzik yang sedang bermain di speaker.
Dia mengeluarkan sembilan butir peluru kaliber 0.38mm bersama sepucuk pistol Taurus kepada Koperal Zulkarnaen. Namun, koperal Zulkarnaen menyedari terdapat satu peluru yang hilang dan memberitahunya.
Mukhlis kemudian mengeluarkan sebutir peluru dari laci peluru di bawah meja kaunter.
Pihak pendakwa berkata “dia melambung peluru tersebut ke udara dan menangkapnya semula dengan tangan kiri”.
“Dia kemudian memasukkan peluru itu ke dalam pistol, memutarkan silinder dan menutupnya.”
Mukhlis memegang senjata itu dengan tangan kanannya, menghala ke bawah ke arah kaunter.
Tindakan itu menyebabkan Koperal Zulkarnaen berundur ke belakang dalam ketakutan.
Secara tiba-tiba, Mukhlis meletakkan jarinya pada picu dan menariknya, melepaskan tembakan yang terkena permukaan kaunter bilik senjata.
Menurut pihak pendakwa, keseluruhan kejadian itu terjadi dalam masa sekitar lima saat.
Setelah kejadian itu, Mukhlis memanggil penyelianya dan menceritakan apa yang terjadi. Peluru ditemui terbenam pada permukaan meja kaunter bilik senjata.
Tiada kecederaan dilaporkan dan tiada kos pembaikan dikenakan.
Bilik kawalan SATS melaporkan kepada pihak polis mengenai kejadian itu pada pagi yang sama, dan Mukhlis ditahan. Senjata pistol serta peluru dirampas oleh pihak berkuasa sebagai bahan bukti.
Menurut peguam bela Mukhlis, Encik Azri Imran Tan dari IRB Law, anak guamnya sudah diberhentikan kerja oleh SATS selepas insiden berkenaan.
Beliau memohon hukuman penjara tidak lebih dari antara satu hingga dua bulan, manakala pihak pendakwa pula mencadangkan hukuman penjara antara tiga hingga empat bulan.
TIADA PENJELASAN DISEBALIK KEJADIAN TERSEBUT: PEMBELAAN
Encik Tan berkata anak guamnya sudah bekerja sebagai penjaga senjata selama lebih lima tahun tanpa sebarang insiden.
Mukhlis berkhidmat bersama SATS selama 11 tahun sejurus selepas dia menamatkan khidmat negara, dan menerima pujian atas prestasi kerjanya.
Selepas dinaikkan pangkat ke sarjan, Mukhlis dilantik sebagai pegawai yang bertanggungjawab sepenuhnya ke atas bilik senjata oleh pegawai pemerintahnya ketika itu, kata Encik Tan.
"Sehingga ke hari ini, anak guam kami tidak dapat menjelaskan apa yang mendorongnya untuk - tanpa berfikir - memuatkan pistol tersebut," tambah peguam itu.
"Apa pun alasan di sebalik tindakannya yang tidak wajar itu, dia sedar ia tidak dapat dimaafkan dan dalam apa jua keadaan sekalipun, dia tidak sepatutnya memuatkan pistol dengan peluru hidup, apatah lagi bermain-main dengannya."
Beliau menambah bahawa Mukhlis secara sukarela menghubungi penyelianya dan mendedahkan apa yang berlaku, serta memberikan kerjasama penuh dalam siasatan.
Mukhlis juga memberitahu pihak berkuasa bahawa beliau sedang mendengar muzik semasa bekerja dan bahawa beliau melambung peluru ke udara dan menangkapnya dengan tangan kiri, kata peguam itu.
Pihak pendakwa pula menyatakan bahawa Mukhlis “semestinya sedar akan akibat serius memuatkan peluru hidup ke dalam pistol”, memandangkan beliau adalah seorang pegawai stor senjata bertauliah.
“Terdapat unsur bermain-main dalam tindakannya, apabila dia melambung peluru ke udara dan menangkapnya dengan tangan,” kata pendakwa.
Atas kesalahan melakukan perbuatan cuai yang membahayakan keselamatan orang lain, Mukhlis boleh dihukum penjara sehingga enam bulan, didenda sehingga S$2,500, atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.