Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penjana senarai nombor IC 'membimbangkan' kata pakar keselamatan siber

Baru-baru ini, Pemerintah mengeluarkan garis panduan baru terhadap tindakan mengumpul butir kad pengenalan, NRIC secara sembarangan. 

Anggaran Waktu Membaca:
Penjana senarai nombor IC 'membimbangkan' kata pakar keselamatan siber

Petikan gambar salah satu sistem penjana nombor IC.

Diterbitkan : 09 Sep 2018 09:42PM Dikemas Kini : 09 Sep 2018 09:49PM

SINGAPURA: Baru-baru ini, Pemerintah mengeluarkan garis panduan baru terhadap tindakan mengumpul butir kad pengenalan, NRIC secara sembarangan. 

Sungguhpun demikian para pakar keselamatan siber menarik perhatian terhadap satu ancaman data peribadi yang berlainan iaitu satu sistem penjana NRIC secara rambang.

Satu pencarian online oleh Mediacorp mendapati sekurang-kurangnya dua penjana NRIC yang boleh mengeluarkan nombor-nombor NRIC "sah" yang "disahkan menerusi lojik pemeriksaan yang diterbitkan".

Kedua-duanya hanya memerlukan pengguna meletakkan abjad pertama nombor NRIC dan tempoh tahun kelahiran sebelum nombor-nombor tertera.

Encik Jonathan Phua, pengasas bersama syarikat keselamatan siber InsiderSecurity, berkata bahawa ia menimbulkan "satu risiko siber besar" memandangkan ramai menggunakan nombor IC mereka sebagai nama pengguna bagi laman-laman online.

"Lazimnya, ramai menggunakan kata laluan yang mudah untuk diingati," katanya.

"Jadi jika saya hasilkan senarai nombor-nombor NRIC yang kelihatan sah, saya boleh mencuba nasib untuk mengakses laman-laman online dengan nombor-nombor IC itu serta kata laluan yang sering digunakan.

Petikan gambar satu lagi sistem serupa. 

"Saya berharap, laman-laman online melaksanakan langkah-langkah yang dapat mencegah serangan siber. Tetapi penggodam mungkin bernasib baik dan boleh mencerobohi satu sistem yang tidak dilindungi dengan baik."

PERLUKAH ANDA BERASA BIMBANG?

Belum lagi dapat dipastikan sama ada kaedah tersebut boleh digunakan bagi kegiatan jenayah, namun para pakar menegaskan bahawa langkah-langkah pencegahan perlu diambil.

Misalnya, syarikat-syarikat boleh meminta maklumat tambahan untuk mengesahkan identiti para pengguna, kata Pegawai Eksekutif Teknologi AntiHack.me, Encik Dexter Ng. 

"Oleh kerana ada cara-cara mengesahkan nombor-nombor ini, sukar untuk menggunakan nombor yang dikeluarkan sistem ini untuk kegiatan-kegiatan haram," kata Cik Joanne Wong, seorang pengarah syarikat perisikan keselamatan.

Maka itu, Encik Ng berkata bahawa orang awam "tidak perlu terlalu bimbang" tetapi menasihati mereka agar "lebih berwaspada dan prihatin dengan pencerobohan daripada syarikat-syarikat yang menyimpan data mereka atau syarikat-syarikat yang menjual data mereka untuk mendapatkan wang".

Jadi, apakah sebenarnya tujuan penjana senarai nombor IC online?

Cik Wong berkata ia boleh digunakan untuk peraduan, pembahagian hadiah dan pendaftaran. Namun, nombor-nombor itu tidak semestinya milik orang sebenar. 

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan