Skip to main content

Singapura

Penjaja & posmen ganding bahu sokong, pantau 23,000 warga emas Ang Mo Kio

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 08 Jan 2023 09:04PM Dikemas Kini : 08 Jan 2023 09:10PM

SINGAPURA: Para penjaja dan posmen bekerjasama untuk pantau hampir 23,000 warga emas dalam kejiranan mereka di Ang Mo Kio.

Model sedemikian dijangka boleh dimanfaatkan lebih ramai orang, dengan Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berura-ura untuk meluaskan jaringan sokongan sedemikian di serata negara.

Pada siang Ahad (8 Jan), Encik Ong melawat kawasan Cheng San-Seletar sebagai sebahagian lawatan menteri yang disambung semula tahun lalu. 

Penjaja seperti Encik Lee Sian Hock bukan setakat menyediakan makanan untuk masyarakat Cheng San-Seletar.

Beliau merupakan antara 20 penjaja yang dilatih untuk memberikan amaran sekiranya ada pelanggan tetap yang lama tidak muncul, atau menampilkan tanda-tanda dalam kesusahan.

Begitu juga para posmen yang turut dilibatkan untuk menjadi pemerhati di kawasan kejiranan.

Ia merupakan antara inisiatif penjagaan bagi kejiranan yang separuh dari penghuninya berusia di atas 50 tahun.

Daya usaha tersebut kini melibatkan empat buah blok yang majoriti penduduk warga emas.

Lawatan Encing Ong ke estet tersebut adalah bagi meninjau lebih dekat inisiatif sedemikian.

Ia termasuk latihan untuk para sukarelawan mengenal pasti tanda-tanda demensia dan tekanan mental.

Menurut Encik Ong, kebajikan golongan warga emas merupakan satu keutamaan pemerintah Singapura.

Beliau berharap, jaringan masyarakat dapat meningkatkan usaha membantu warga emas yang tinggal bersendirian.   

"Kenapa kita perlu lakukan ini semua? Kerana kita tidak mahu melihat mereka hanya apabila mereka sakit atau terlantar di hospital. 

"Kita tahu jika seseorang jalani gaya hidup aktif, makan dengan betul, tidur dengan cukup, mempunyai teman-teman, akan dijaga dan disayangi. Anda boleh kekal sihat selama mana yang mungkin. Jadi saya harap ini menjadi keutamaan di semua divisyen serta kawasan undi," ujar Encik Ong. 

Tambah Encik Ong, Kementerian Kesihatan (MOH) akan memikirkan bagaimana inisiatif sedemikian dapat ditingkatkan dan diterapkan ke seluruh negara.

Perinciannya akan dikongsi semasa Belanjawan 2023 bulan depan.

Sumber : CNA/IQ/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita