Skip to main content

Singapura

Penjaja jalanan di Waterloo mesti bayar sewa mulai 2021

SLA akan menjalankan "kerja-kerja persediaan di lapangan" secara berperingkat antara 15 Disember hingga 12 Januari.

Anggaran Waktu Membaca:
Penjaja jalanan di Waterloo mesti bayar sewa mulai 2021

Orang ramai di sekitar kawasan Waterloo. (Gambar: Jeremy Long)

Diterbitkan : 08 Dec 2020 06:27PM Dikemas Kini : 08 Dec 2020 06:30PM

SINGAPURA: Peruncit jalanan di Waterloo Street bakal perlu membayar sewa bulanan untuk mendapatkan tapak khusus menjaja.

Langkah itu diambil ketika Pemerintah berusaha menangani risiko kesihatan awam di tengah-tengah COVID-19, menurut Penguasa Tanah Singapura (SLA) hari ini (8 Dis).

SLA menyatakan kawasan itu semakin sesak sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan gerai-gerai berkongsi ruang dan kotak tidak digunakan menghalang laluan sekaligus menimbulkan risiko kesihatan dan kebakaran.

Rancangan baru di kawasan Waterloo Mall itu juga akan memastikan ada sekurang-kurangnya ruang seluas enam meter untuk memudahkan akses kereta bomba.

Gerai-gerai itu juga diasingkan dengan sekurang-kurangnya satu meter antara satu sama lain sebagai sebahagian daripada langkah jarak selamat.

Penjaja jalanan yang berminat perlu mengundi pada 14 Disember untuk mendapatkan tapak jualan dan berpindah ke tapak yang dikhususkan itu mulai 4 Januari tahun depan.

SLA memutuskan untuk memperuntukkan tapak jualan dengan cara sedemikian bagi memastikan proses yang "adil dan telus", menurut badan itu dalam satu kenyataan media.

Namun begitu, peruncit menjual bunga akan diberikan tapak di luar Kuil Kwan Im Thong Hood Cho memandangkan ramai penganut membeli bunga daripada mereka.

Terdapat 41 penjaja jalanan sekarang, menurut perangkaan SLA. Mereka perlu membayar S$48.15 setiap bulan iaitu sekitar S$1.60 sehari bagi lesen penempatan sementara tiga tahun untuk tapak seluas tiga meter persegi.

Buat masa ini, mereka tidak perlu membayar yuran bagi ruang berjualan walaupun penjaja bunga membayar S$120 setahun bagi lesen penjaja jalanan daripada Agensi Makanan Singapura.

Bagi membantu penjaja jalanan dalam tempoh pandemik COVID-19, SLA menyatakan pihaknya akan hanya mula mengambil yuran lesen itu mulai 1 Jun tahun depan.

Para penjaja yang berdepan dengan kesukaran kewangan boleh menghubungi agensi itu untuk mendapatkan bantuan.

SLA akan menjalankan "kerja-kerja persediaan di lapangan" secara berperingkat antara 15 Disember hingga 12 Januari.

Agensi itu menambah bahawa tidak akan ada gangguan kepada perniagaan kerana para penjaja boleh beralih ke tapak lain sementara tapak khusus mereka itu sedang disiapkan. 

Sumber : CNA/RU/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita