Penjaja & anak lelaki didenda S$3,000, herdik duta jarak selamat setelah ditegur
Seorang penjaja dan anak lelakinya masing-masing didenda S$3,000 kerana mengherdik para pegawai yang melaksanakan langkah-langkah jarak selamat setelah dia didapati duduk di bangku yang sudah ditandakan di depan gerainya dan tidak memakai pelitup dengan betul.
SINGAPURA: Seorang penjaja dan anak lelakinya masing-masing didenda S$3,000 kerana mengherdik para pegawai yang melaksanakan langkah-langkah jarak selamat setelah dia didapati duduk di bangku yang sudah ditandakan di depan gerainya dan tidak memakai pelitup dengan betul.
Seah Kian Huat, 64 tahun dan anak lelakinya Roger Seah Hong, 40 tahun, hari ini (22 Nov)
dikenakan denda.
Mereka mengaku bersalah atas satu tuduhan setiap satu di bawah Akta Perlindungan daripada Gangguan (POHA) kerana menggunakan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai awam, dengan satu lagi tuduhan berkaitan diambil kira dalam menentukan hukuman.
Mahkamah diberitahu bahawa Seah merupakan pemilik gerai makanan di Pusat Makanan & Pasar Yuhua Village di Jurong East. Anak lelakinya, Roger sedang menolong di gerai tersebut pada hari kejadian.
Pada 21 Ogos lalu, mangsa yang merupakan seorang pegawai penguatkuasaan bersama Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) sedang menjalankan tugas untuk memeriksa langkah-langkah jarak selamat di kawasan itu dengan seorang rakan sekerjanya.
Mereka melihat Seah berada di hadapan gerainya, sedang duduk bersama seorang lagi lelaki. Terdapat secawan kopi di atas meja namun kedua-dua lelaki itu tidak kelihatan sedang minum daripada cawan itu. Kedua-duanya juga meletakkan pelitup di bawah dagu sehingga kelihatan seluruh wajah mereka.
Setelah memerhatikan kedua-dua individu itu, mangsa dan rakan sekerjanya menghampiri Seah dan temannya lalu menyuruh mereka supaya memakai pelitup dengan betul. Mereka juga menyuruh Seah supaya tidak duduk di tempat duduk yang sudah ditandakan.
Kedua-dua lelaki itu mematuhi arahan yang diberikan namun Seah tidak berasa puas hati lalu dia meninggikan suara sambil bertegas bahawa dia sedang menunggu makanannya untuk tiba dan dia akan minum kopi tersebut.
Dia juga melemparkan kata-kata kesat dalam dialek Hokkien ke arah kedua-dua pegawai itu. Apabila anak lelaki Seah terdengar kekecohan di luar gerai, dia menghampiri tempat kejadian lalu bertanya apa yang berlaku.
Apabila mangsa dan rakan sekerjanya menjelaskan keadaan, Roger mula bertekak dengan mereka. Apabila diingatkan tentang langkah jarak selamat, dia berasa tidak puas hati lalu menyuruh mangsa supaya pergi dari situ. Dia juga memberitahu kedua-dua pegawai itu bahawa dia "akan menyukarkan kehidupan mereka".
Mangsa kemudian menghubungi polis.
Pihak pendakwa meminta agar dikenakan denda antara S$3,000 dengan S$4,000 setiap satu bagi Seah dan anak lelakinya.
Dalam rayuannya, Seah mohon diberikan hukuman ringan kerana dia akan mula menjalani rawatan dialisis dan dia perlu membelanjakan banyak wang untuk rawatan tersebut.
"Disebabkan keadaan saya, saya tidak boleh bekerja sekarang," katanya menerusi seorang penterjemah bahasa Mandarin. "Apabila polis tiba, saya serta-merta akur bahawa ia silap saya untuk katakan semua itu."
Anak lelakinya juga meminta denda dikurangkan kerana perniagaannya tidak begitu baik sejak kebelakangan ini dan dia tidak meraih banyak pendapatan.
Atas kesalahan mengherdik seorang pegawai awam, mereka boleh dihukum penjara sehingga setahun, didenda sehingga S$5,000 atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.