Skip to main content

Singapura

Penjaga sementara kucing dibenar pelihara 6 kucing dalam flat HDB, 10 bagi rumah privet

Anggaran Waktu Membaca:
Penjaga sementara kucing dibenar pelihara 6 kucing dalam flat HDB, 10 bagi rumah privet

Gambar fail kucing. (Gambar: iStock)

Diterbitkan : 18 Jul 2026 07:05PM

SINGAPURA: Individu yang diiktiraf sebagai penjaga sementara (fosterer) kucing akan dibenarkan mendapatkan lesen dan memelihara sehingga enam ekor kucing dalam flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) tiga bilik atau lebih besar serta sehingga 10 ekor kucing bagi kediaman privet mulai 3 Ogos, di bawah satu skim perintis yang diumumkan Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS).

Skim selama dua tahun itu akan dijalankan sehingga 31 Julai 2028.

Skim perintis tersebut diperkenalkan selepas AVS berunding dengan pelbagai pihak berkepentingan dan mengambil kira pandangan pelbagai lapisan masyarakat, termasuk maklum balas daripada HDB bagi isi rumah pemilik kucing yang menetap di perumahan awam.

"AVS mengiktiraf peranan penting yang dimainkan oleh penjaga sementara dalam pengurusan kucing dengan menyediakan tempat perlindungan yang selamat bagi kucing yang memerlukan bantuan sedemikian," menurut pihak berkuasa dalam kenyataan media pada Sabtu (18 Jul).

"Penjaga sementara membantu mengurangkan bilangan kucing yang berkeliaran dalam masyarakat serta gangguan yang boleh ditimbulkannya," jelasnya.

Buat masa ini, sehingga dua ekor kucing dibenarkan dipelihara dalam setiap unit HDB, menurut laman web AVS.

Bagi kediaman privet pula, maksimum tiga ekor kucing atau anjing, atau gabungan kedua-dua haiwan tersebut dibenarkan.

Had baharu itu merangkumi semua kucing peliharaan dan kucing jagaan sementara dalam sesebuah isi rumah.

Sebagai contoh, seorang penjaga sementara yang diiktiraf dan mempunyai dua ekor kucing peliharaan sedia ada dibenarkan memelihara sehingga empat ekor kucing jagaan sementara jika menetap di flat HDB, atau sehingga lapan ekor jika tinggal di kediaman privet.

Penjaga sementara yang diiktiraf juga diwajibkan mengembiri semua kucing dalam rumah mereka.

Menurut AVS, langkah itu bertujuan untuk mencegah pembiakan tidak dirancang yang boleh menyebabkan lebihan populasi kucing serta menjejas kebajikan haiwan berkenaan.

Selain itu, AVS akan mengecualikan bayaran lesen bagi kucing yang dijaga oleh penjaga sementara yang diiktiraf sepanjang tempoh skim perintis selama dua tahun itu.

Bagi kucing jagaan sementara yang belum dikembiri, lesen selama setahun akan dikeluarkan tanpa dikenakan bayaran.

Lesen tersebut tidak boleh diperbaharui jika kucing berkenaan masih belum dikembiri apabila tempohnya tamat.

Selepas skim perintis itu berakhir, pihak berkuasa akan menilai sama ada ia memenuhi keperluan penjaga sementara dan mendapatkan maklum balas daripada masyarakat.

Hasil penilaian itu akan digunakan bagi menentukan pendekatan jangka panjang terhadap pengiktirafan penjaga sementara, termasuk had bilangan kucing yang dibenarkan.

Mereka yang berminat boleh memohon untuk diluluskan sebagai penjaga sementara menerusi borang online mulai 3 Ogos.

AVS menyatakan pihaknya sudah mendapatkan maklum balas sejak 2023 mengenai cara-cara terbaik bagi menyokong penjaga sementara di bawah Rangka Kerja Pengurusan Kucing yang diperkenalkan pada 1 September 2024.

Usaha itu termasuk tinjauan awam yang melibatkan penjaga sementara, penduduk, pemilik kucing dan mereka yang tidak memelihara kucing, selain perbincangan dengan rakan-rakan kerjasama dalam program 'Trap-Neuter-Rehome/Release-Manage'.

AVS turut menjalankan tinjauan terhadap penjaga sementara dari Disember 2025 hingga Januari 2026 bagi "memahami dengan lebih mendalam landskap penjaga sementara kucing di Singapura serta cabaran yang dihadapi".

Syarat kelayakan untuk diiktiraf dan diluluskan sebagai penjaga sementara:

- Mempunyai pengalaman menjaga kucing peliharaan atau kucing jagaan sementara

- Mempunyai sumber kewangan dan masa yang mencukupi untuk menjaga kucing jagaan sementara, selain kucing peliharaan sedia ada

- Menetap di kediaman privet atau flat HDB tiga bilik atau lebih besar

- Semua kucing yang dipelihara atau dijaga ketika permohonan dibuat telah dikembiri dan dipasang mikrocip

- Tiada maklum balas negatif berkaitan haiwan peliharaan atau gangguan di premis dalam tempoh dua tahun sebelum permohonan

- Tidak melakukan kesalahan berkaitan kebajikan haiwan atau pelesenan haiwan peliharaan di bawah Akta Haiwan dan Burung dalam tempoh dua tahun sebelum permohonan.

Pemohon yang berminat boleh memohon pengiktirafan sebagai penjaga sementara kucing yang bertanggungjawab menerusi borang online mulai 3 Ogos 2026.

PEMILIK MESTI DAPATKAN LESEN KUCING JELANG AKHIR OGOS

AVS turut mengingatkan pemilik kucing supaya memasang mikrocip dan mendapatkan lesen untuk kucing mereka selewat-lewatnya pada 31 Ogos.

Mulai 1 September, ia menjadi satu kesalahan di bawah Akta Haiwan dan Burung untuk memelihara kucing tanpa lesen.

AVS menyatakan pihaknya akan menyiasat aduan yang diterima dan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pemilik yang gagal mematuhi peraturan tersebut.

Pemilik yang gagal mematuhi syarat pemeliharaan kucing dan syarat lesen boleh dikenakan denda sehingga S$5,000 mulai 1 September 2026.

Bagi pemilik yang sudah memiliki bilangan kucing melebihi had yang dibenarkan sebelum 1 September 2024, mereka masih dibenarkan untuk terus memelihara semua kucing tersebut sebagai sebahagian daripada aturan peralihan, dengan syarat mereka sudah mendapatkan lesen bagi semua kucing dalam tempoh peralihan tersebut.

Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita