Skip to main content

Singapura

Penjaga lebah SG galak memindahkan lebah daripada menghapuskannya

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Seorang bekas guru sains, John Chong, tidak menyangka dia akan menjadi penjaga lebah.

Apabila berpeluang untuk membawa anak-anak muridnya ke sebuah ladang lebah di Malaysia hampir 10 tahun lalu, beliau menentangnya. Encik Chong merupakan ketua pegawai keselamatan bagi lawatan itu dan menganggapnya sebagai aktiviti berbahaya.

Namun pemilik ladang lebah terbabit memberikannya jaminan bahawa lebah-lebah tersebut tidak menyengat. Akhirnya mereka melawat ladang lebah tersebut, dan sejak hari itu, Encik Chong tidak berhenti memikirkan tentang lebah.

Minatnya terhadap serangga itu membawanya ke Australia, di mana beliau membantu memindahkan lebah dan akhirnya mempelajari bidang penternakan lebah selepas hampir 40 tahun mengajar di sekolah.

Pengasas Bee Amazed Garden itu yang mengendalikan kelas-kelas pada hujung minggu tentang penjagan lebah ingin memperluaskan lagi ilmunya.

Lelaki 64 tahun itu sedang bekerjasama dengan Universiti Sains Sosial Singapura (SUSS) untuk menghasilkan kursus Pendidikan dan Latihan Berterusan (CET) mengenai penjagaan lebah.

Kursus itu akan dilancarkan menjelang November dan akan termasuk pembelajaran tentang cara memindahkan sarang lebah.

KEMAHIRAN DIPERLUKAN UNTUK MEMINDAHKAN SARANG LEBAH

Ramai orang menghubungi syarikat pembasmi serangga apabila berdepan masalah sarang lebah, namun syarikat-syarikat tersebut seringkali menggajikan pihak ketiga kerana kemahiran yang diperlukan jauh berbeza daripada langkah menghapuskan serangga.

"Kebanyakan pemilik rumah, apabila menemui sarang lebah di rumah, mereka ingin menghapuskannya. Mereka tidak
kisah jika ia diselamatkan atau dimusnahkan. Saya akan kata keutamaan mereka adalah isu kos, mereka hanya ingin membayar kadar pasaran kira-kira S$100 untuk memusnahkannya," kata seorang penjaga lebah, Clarence Chua.

Sebaliknya, khidmat memindahkan sarang lebah berharga lebih tinggi, sehingga S$450 kerana risiko dan alat-alat yang terbabit.

Encik Chong yang juga menawarkan khidmat pemindahan lebah berkata prosesnya "bukan begitu mudah".

PEMINDAHAN SEBAGAI PILIHAN PERTAMA

Encik Chua, yang juga pengasas The Sundowner, sebuah pusat pengalaman berasaskan alam semula jadi, berkata dia dua kali lebih sibuk beberapa bulan kebelakangan ini, yang dianggapnya sebagai petanda yang baik.

Ia bermakna lebih ramai pelanggan kini berfikir dua kali tentang tindakan menghapuskan sarang lebah, katanya.

Mereka dalam industri itu berkata penglibatan lebih ramai yang mahir dalam bidang tersebut boleh membantu masalah kekurangan kakitangan yang mahir.

Seperti Encik Chong, Encik Chua juga menggunakan kotak-kotak menyimpan lebah miliknya untuk mendidik orang ramai tentang lebah.

Namun, dia berkata untuk melanjutkan lagi usaha pemuliharaan lebah, pihak berkuasa harus terlibat.

Daripada menghapuskan lebah sebagai tindakan pertama, beliau berharap mereka dapat cuba memilih cara pemindahan.

"Ia akan menjadi kejayaan besar jika pemilik tanah terbesar seperti SLA (Penguasa Tanah Singapura), NParks, majlis bandaran sekurang-kurangnya mempertimbangkan pilihan ini,' kata Encik Chua.

Beliau menambah dengan melindungi lebah tempatan, ia akan memperkukuhkan ekosistem yang bergantung kepada serangga tersebut.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita