Skip to main content

Singapura

Penjaga gol negara Hassan Sunny jaguh dua "gelanggang" - di padang bola sepak dan dapur

Anggaran Waktu Membaca:
Penjaga gol negara Hassan Sunny jaguh dua "gelanggang" - di padang bola sepak dan dapur

(Gambar: Haney Khairunnisa)

SINGAPURA: Sejak kecil lagi, impian untuk membuka sebuah kedai makan sudah ada dalam diri penjaga gawang skuad negara, Hassan Sunny.

Ibarat genggam bara api biar sampai jadi arang, impiannya itu kini menjadi nyata dengan wujudnya gerai 'Dapur Hassan'.

"Makcik dan pakcik saya mempunyai beberapa kedai sendiri dan pada usia empat tahun lagi saya sudah mempunyai impian membuka kedai sendiri apabila melihat mereka," kongsi Encik Hassan kepada BERITA Mediacorp.

Dapur Hassan yang terletak di Blok 144 Tampines Street 12 menjual pelbagai juadah Melayu.

"Saya membuka kedai kedua di Tampines juga selepas dinasihati oleh makcik pakcik saya, dan senang untuk saya ulang-alik antara kedua kedai ini jika perlu," seloroh Encik Hassan.

Selain lauk-lauk Melayu, kedai terbaharu di Blok 144 itu juga menjual hidangan sarapan Melayu seperti Mi Rebus, Nasi Lemak dan Lontong.

(Gambar: Haney Khairunnisa)

Setelah beroperasi di kedai baharunya, Encik Hassan mengambil keputusan untuk menutup gerai Nasi Padang di Blok 872C yang baru sahaja ditutup pada Jumaat (6 Okt).

Encik Hassan berharap pelanggan setianya di sana akan turun pula ke blok 144.

"Ramai kaum lain yang datang ke kedai di Blok 144, terutamanya kaum Cina yang saya fikir mereka suka makanan berkuah dan tidak pedas jadi Mi Rebus memang sesuai bagi mereka.

"Sebelum kedai dibuka sudah ramai yang datang untuk memesan Mi Rebus," kata Encik Hassan.

Selain daripada Mi Rebus, menu yang amat popular dalam kalangan penduduk di sana ialah Nasi Sambal Goreng.

CABARAN URUS PERNIAGAAN & IMBANGI MASA LATIHAN BOLA SEPAK

Kalau beliau sudah handal di padang bola, bukan mudah bagi Encik Hassan apabila baru 'bertatih' membuka gerai makanannya sendiri.

Tidak lari daripada mengharungi cabaran tersendiri, Encik Hassan menceritakan bahawa saat-saat paling mencabar adalah tiga bulan pertama kedai Dapur Hassan dibuka.

"Tiga bulan pertama amat perit bagi saya, kerana saya tidak mempunyai cukup tenaga kerja.

"Ada satu ketika saya ada latihan pada waktu petang dan bekerja di kedai pada waktu pagi dan hanya mampu berehat selama 20 minit sahaja," luah Encik Hassan.

Meskipun begitu, beliau akui banyak yang sudah dipelajari dan semangat makin berkobar-kobar untuk teruskan perniagaan ini.

(Gambar: Haney Khairunnisa)

Beliau juga cuba belajar memasak dan menulis resipi-resipi ibu mertuanya.

"Saya masak itu pernah tapi masak untuk kedai lain. Saya cuba belajar, tulis resipi tapi rasanya lain. Ikut air tangan masing-masing," kata Encik Hassan.

Buat masa ini, beliau masih giat dalam kerjayanya sebagai penjaga gawang kelab Liga Negara Albirex Niigata.

Sebelum ini, beliau pernah dinobatkan sebagai antara penjaga gawang terbaik dunia.

Setelah tiga tahun melakukan kedua-dua bidang itu, beliau semakin bijak mengimbangi masa antara pergi ke latihan, pergi ke perlawanan di luar negara dan juga menguruskan kedai Dapur Hassan.

Kedai Dapur Hassan terletak di Blok 144 Tampines dan dibuka setiap hari Selasa hingga Ahad.
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita