Skip to main content

Singapura

Penipuan e-dagang Carousell lonjak 136% separuh pertama 2018: Polis

Jumlah penipuan e-dagang menerusi aplikasi jual beli barang dalam talian Carousell melonjak 136 peratus pada separuh pertama tahun ini, menurut pihak polis pada Khamis (23 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Penipuan e-dagang Carousell lonjak 136% separuh pertama 2018: Polis

Gambar fail seorang menggunakan telefon bimbit. (Gambar: Xabryna Kek)

Diterbitkan : 23 Aug 2018 01:29PM Dikemas Kini : 23 Aug 2018 01:35PM

SINGAPURA: Jumlah penipuan e-dagang menerusi aplikasi jual beli barang dalam talian Carousell melonjak 136 peratus pada separuh pertama tahun ini, menurut pihak polis pada Khamis (23 Ogos).

Sebanyak 1,020 kes penipuan di Carousell dilaporkan antara Januari dan Jun, lonjakan 432 kes berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

80 peratus daripada kesemua penipuan e-dagang dilaporkan berlaku di Carousell, lazimnya melibatkan urus niaga barangan elektronik serta tiket ke acara dan tempat daya tarikan, terutamanya Universal Studios Singapore.

Secara keseluruhan, kes-kes penipuan e-dagang melonjak 58 peratus daripada 808 kes pada tahun lalu menjadi 1,277 kes pada separuh pertama tahun ini.

Jumlah wang yang ditipu secara keseluruhan juga melonjak 43.1 peratus, daripada S$650,000 kepada S$930,000. Jumlah terbesar yang ditipu dalam satu-satu kes ialah kira-kira S$50,000.

JUMLAH KESELURUHAN KES JENAYAH MENINGKAT

Kes jenayah secara keseluruhannya naik 3.2 peratus dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini ekoran peningkatan kes e-dagang sedemikian serta kes penipuan melibatkan pinjaman dan menyamar sebagai pegawai China, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF).

Bilangan kes jenayah keseluruhan meningkat kepada 16,460 daripada 15,949. Dalam tempoh ini, bilangan kes penipuan e-dagang, pinjaman dan perbuatan menyamar sebagai pegawai China juga melonjak 72.8 peratus, daripada 1,055 kepada 1,823 kes.

Menurut SPF peningkatan kes jenayah dalam talian disebabkan oleh penggunaan Internet dan telefon bijak yang meluas di kalangan rakyat Singapura.

Menurut polis lagi, pihaknya akan terus mendidik orang ramai tentang penipuan sedemikian dengan tumpuan khusus diberikan kepada masyarakat online.

SPF juga menyatakan bahawa ia "mengalu-alukan" langkah Carousell memperkenalkan sistem pembayaran escrow, CarouPay, pada Jun tahun ini.

"Pembeli yang menggunakan CarouPay dilindungi daripada penipuan e-dagang kerana pembayaran itu hanya akan dipiindahkan kepada penjual selepas pembeli berpuas hati dengan barangan yang diterima," menurut kenyataaan SPF, yang juga menambah bahawa para pelanggan digalakkan untuk menggunakan sistem sedemikian ketika mereka berurusan dalam talian.

KES TIPU CINTA INTERNET MEROSOT PERTAMA KALI DALAM 5 TAHUN

Buat pertama kalinya dalam tempoh lima tahun, jumlah kes penipuan cinta di Internet merosot, mencatatkan penurunan 18.6 peratus daripada 344 kepada 280 kes.

Jumlah wang yang ditipu menjunam kepada sekitar S$12 juta, berbanding S$22 juta pada tempoh yang sama tahun lepas.

Menurut SPF, kemerosotan itu mungkin disebabkan oleh pembentukan pasukan petugas khas untuk menyiasat penipuan yang melibatkan sindiket jenayah asing.

"Sejak pembentukannya pada 1 Oktober 2017, Pasukan Petugas Jenayah Komersil Rentas Sempadan merampas lebih daripada S$1.1 juta dan menutup lebih daripada 400 akaun bank milik keldai wang yang terlibat dalam penipuan cinta Internet," menurut SPF.

Pihak polis juga menyatakan mereka bekerjasama dengan agensi pengiriman wang dan bank untuk melatih kakitangan barisan hadapan mereka untuk mengesan pelanggan yang mungkin menjadi mangsa penipuan.

"Kesedaran dan kewaspadaan yang tinggi di kalangan kakitangan terlatih menghasilkan kejayaan dalam pencegahan," menurut SPF lagi. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita