Skip to main content

Singapura

Penipuan baru muncul sasar pelanggan bank; S$65,000 lesap setakat ini

Penjenayah penipuan yang menyasarkan pelanggan bank di sini setakat ini sudah menyebabkan mangsa-mangsa kerugian sekurang-kurangnya S$65,000, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Isnin (25 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
Penipuan baru muncul sasar pelanggan bank; S$65,000 lesap setakat ini

(Gambar: SPF)

Diterbitkan : 25 Nov 2019 10:35PM Dikemas Kini : 25 Nov 2019 10:42PM

SINGAPURA: Penjenayah penipuan yang menyasarkan pelanggan bank di sini setakat ini sudah menyebabkan mangsa-mangsa kerugian sekurang-kurangnya S$65,000, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Isnin (25 Nov).

Dalam makluman nasihatnya, pihak polis menyatakan pihaknya menerima sekurang-kurangnya 12 aduan berhubung satu jenis penipuan baru yang memperdaya pelanggan bank sejak awal bulan ini.

Para mangsa menerima pesanan SMS yang mendakwa bahawa kad ATM mereka disekat atau dimatikan, atau akaun bank mereka dikunci, menurut pihak polis.

Mesej itu mengarahkan mangsa supaya "menelefon nombor tertentu untuk menghidupkan semula kad ATM atau akaun bank mereka".

Pihak polis mendedahkan, semasa panggilan telefon tersebut, penjenayah penipuan itu akan menyabar sebagai kakitangan bank dan meminta maklumat peribadi mangsa, butiran bank Internet dan kata laluan sekali (OTP).

"Para mangsa kemudian mendapati urus niaga tanpa izin dibuat menerusi akaun bank mereka," menurut pihak polis lagi.

Dalam peringatannya kepada orang ramai, pihak polis menegaskan agar mereka berwaspada dan mengambil langkah-langkah pencegahan berikut:

  • Berwaspada terhadap mesej atau panggilan telefon tidak diduga oleh pihak menyamar sebagai kakitangan bank. Penjenayah boleh gunakan teknologi 'spoofing' untuk menyembunyikan nombor telefon sebenar dan menayangkan nombor telefon bank.
  • Jangan mendedahkan butiran perbankan internet seperti nama guna akaun, nombor PIN atau OTP menerusi telefon, emel mahupun SMS
  • Jangan layan permintaan pengesahan token digital menerusi panggilan telefon jika anda tidak membuat sebarang urus niaga bank Internet. Jangan beri kebenaran bagi sebarang permintaan pengesahan yang mencurigakan.
  • Jika anda menerima panggilan mencurigakan yang didakwa adalah dari pihak bank, tamatkan panggilan itu. Hubungi hotline rasmi yang tertera di laman web bank untuk mengesahkan panggilan tersebut. Jangan hubungi nombor yang diberikan pemanggil awal.

Sesiapa yang ingin memberikan maklumat mengenai penipuan sedemikian boleh menghubungi hotline polis di 1800-255-0000 atau serahkan laporan online di www.police.gov.sg/iwitness.

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita