Penipuan baru libatkan laman e-dompet palsu sasar penjual akaun permainan
Para individu yang mahu menjual akaun permainan mereka di wadah media sosial harus berhati-hati terhadap sejenis penipuan baru melibatkan laman e-dompet palsu.

Petikan skrin perbualan WhatsApp antara mangsa dengan 'pegawai khidmat pelanggan' sbeuah laman e-dompet palsu. (Gambar: SPF)
SINGAPURA: Para individu yang mahu menjual akaun permainan mereka di wadah media sosial harus berhati-hati terhadap sejenis penipuan baru melibatkan laman e-dompet palsu.
Para penipu akan menyamar sebagai pembeli yang berminat untuk membeli akaun permainan mangsa.
Mereka kemudian akan meminta mangsa mengakses pautan tertentu untuk membuka e-dompet bagi menerima pembayaran, menurut polis hari ini (28 Sep).
Pautan-pautan tersebut adalah laman palsu dengan nama domain seperti baowushouyou.com, bianjieshouyou.com, 85shouyou.com dan xinyushouyou.com.
Ketika memohon bagi akaun e-dompet mereka, mangsa akan dibawa ke sebuah laman "terma dan syarat-syarat" yang menyatakan bahawa mereka akan dikenakan yuran sekiranya terdapat sebarang kesilapan dalam borang permohonan mereka.
Setelah menubuhkan e-dompet itu, penjual akan menerima panggilan atau mesej WhatsApp, biasanya daripada nombor bermula dengan kod panggilan +6011, menurut polis.
Pemanggil di talian, biasanya bertutur dalam bahasa Mandarin, akan mendakwa dirinya seorang pegawai perkhidmatan pelanggan daripada syarikat e-dompet.
Pemanggil akan memberitahu mangsa akaun e-dompet mereka sudahpun dibekukan disebabkan oleh kesilapan dalam permohonan akaun mereka.
"Mangsa kemudian diarahkan untuk membuat pemindahan wang ke akaun bank yang disediakan untuk melepaskan akaun e-dompet mereka daripada dibekukan bagi mengeluarkan wang," menurut polis.
"Mangsa diperdaya untuk mempercayai bahawa mereka sememangnya membuat satu kesilapan dalam permohonan akaun mereka dan lantas, menurut arahan untuk membuat pembayaran ke akaun bank perseorangan bagi melepaskan akaun mereka daripada dibekukan."
Dalam sesetengah kes, mangsa bahkan diberitahu untuk memindahkan lebih banyak wang kerana jumlah yang dipindahkan tidak betul.
Mangsa hanya menyedari mereka ditipu apabila mereka tidak dapat mengeluarkan wang daripada e-dompet dan calon pembeli pula tidak dapat dihubungi.
Polis mengingatkan orang awam supaya berhati-hati dengan laman mencurigakan yang mendakwa menyediakan perkhidmatan e-dompet dan meminta untuk memindahkan wang ke akaun bank individu yang belum pernah mereka jumpa.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.