Skip to main content

Singapura

Penipu makin kerap guna akaun Carousell yang disahkan Singpass: MHA

Platform beli-belah online Carousell akan melaksanakan lebih banyak langkah keselamatan yang disasarkan untuk mencegah penyalahgunaan akaun yang disahkan bagi tujuan penipuan menjelang 31 Januari tahun depan, menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada Jumaat (21 Nov).
Anggaran Waktu Membaca:
Penipu makin kerap guna akaun Carousell yang disahkan Singpass: MHA
Gambar aplikasi Carousell. 
Diterbitkan : 21 Nov 2025 04:30PM Dikemas Kini : 21 Nov 2025 04:49PM
SINGAPURA: Platform beli-belah online Carousell akan melaksanakan lebih banyak langkah keselamatan yang disasarkan untuk mencegah penyalahgunaan akaun yang disahkan bagi tujuan penipuan menjelang 31 Januari tahun depan, menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada Jumaat (21 Nov).

Siasatan oleh Pasukan Polis Singapura (SPF) mendapati akaun-akaun Carousell disahkan oleh Singpass para semakin digunakan oleh untuk melakukan penipuan.

Mereka berbuat demikian dengan memancing butiran log masuk untuk mengambil alih akaun-akaun sah, membayar para pengguna supaya menyerahkan akaun mereka, atau menggunakan butiran Singpass yang dicuri atau dibeli bagi mengesahkan akaun-akaun baharu.

Bagi menangani isu itu, MHA menyatakan Carousell komited untuk memperkukuh proses pengesahan bagi mencegah pengambilalihan akaun secara berniat jahat, seperti menawarkan pilihan log masuk lebih selamat seperti penggunaan kunci laluan dan log masuk biometrk.

Ia juga komited untuk menggantung akaun-akaun yang dikesan diserahkan kepada para penipu dan menyenaraihitamkan butiran Singpas yang sebelum ini digunakan untuk mengesahkan akaun-akaun penipuan daripada digunakan untuk mengesahkan akaun-akaun baharu.

Ini selepas Carousell selesai merintis pengesahan pengguna daripada Julai 2024 hingga Jun 2025.

Di bawah Kod E-dagang Akta Bahaya Jenayah Online (OCHA), Carousell perlu mengesahkan para pengguna yang mengiklankan atau memuat naik sebarang catatan tentang penjualan barangan atau perkhidmatan berdasarkan rekod dikeluarkan pemerintah.

Platform itu menjalankan pengesahan dipertingkatkan terhadap penjual dan pengiklan tertentu yang berisiko tinggi antara 1 Julai dengan 31 Disember tahun lalu.

Pada 10 Mac 2025, MHA melanjutkan tempoh penilaian rintisan pengesahan pengguna Carousell selama enam bulan sehingga 30 Jun.

"MHA juga menggariskan jika jumlah skim penipuan e-dagang di Carousell tidak merosot dengan ketara sepanjang tempoh rintisan itu, MHA memerlukan Carousell mengesahkan identiti semua penjualnya," ia menambah.

Antara April hingga Jun 2025, jumlah skim penipuan e-dagang di Carousell meningkat kepada 513 kes daripada 470 kes untuk tempoh yang sama pada 2024.

Namun terdapat penurunan 36 peratus dalam keseluruhan jumlah kes penipuan yang dilaporkan di platform itu, daripada 1,125 kes pada April hingga Jun 2024 kepada 720 kes pada April hingga Jun 2025.

"MHA akan terus memantau keberkesanan langkah-langkah Carousell dalam mengurangkan jumlah skim penipuan e-dagang dan mengarahkan Carousell supaya melaksanakan langkah-langkah tambahan, jika perlu," menurut kementerian itu.

"MHA memandang serius penyalahgunaan akaun-akaun Singpass. Polis akan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap keldai wang Singpass jika mereka didapati menyalahgunakan butiran Singpass mereka bagi memudahkan skim penipuan."

MHA menambah ia menimbangkan untuk menggubal undang-undang kesalahan baharu untuk bertindak lebih baik terhadap pengguna yang secara sukarela menyerahkan akaun online disahkan Singpass bagi tujuan jenayah.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita