Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penipu berpura jadi pembeli di Carousell; S$335,000 lesap sejak Nov

Anggaran Waktu Membaca:
Penipu berpura jadi pembeli di Carousell; S$335,000 lesap sejak Nov

(Gambar: Raj Nadarajan/TODAY)

Diterbitkan : 02 Dec 2022 10:54PM Dikemas Kini : 02 Dec 2022 10:55PM
SINGAPURA: Polis pada Jumaat (2 Dis) memberi amaran bahawa pihaknya menyaksikan peningkatan dalam sejenis kes penipuan pancingan data yang melibatkan para pembeli palsu di platform e-dagang, Carousell.

Menurut polis, kes penipuan tersebut membabitkan kerugian berjumlah sekurang-kurangnya S$335,000 dalam kalangan mangsa.

Para penipu, yang berpura-pura menjadi pembeli yang berminat di platform e-dagang itu, akan menghubungi penjual dan meminta mereka untuk memasukkan butiran perbankan mereka di lelaman palsu, kononnya bagi memudahkan pembayaran produk ataupun untuk caj penghantaran.

Mangsa-mangsa tersebut hanya akan menyedari mereka sudahpun diperdaya apabila mereka mendapati terdapat urus niaga yang tidak dibenarkan yang dilakukan menggunakan akaun bank mereka.

Sekurang-kurangnya 352 individu menjadi mangsa penipuan-penipuan seumpama itu sejak November tahun ini.

Dalam jenis penipuan itu, polis memberi amaran bahawa penipu akan menghubungi mangsa-mangsa di Carousell dan menyatakan minat mereka bagi barangan-barangan jualan yang disenaraikan di platform tersebut.

Setelah bersetuju dengan penjualan barangan berkenaan, penipu kemudian akan meminta butiran untuk menghubungi mangsa supaya mereka dapat menerima pautan, kononnya bagi memudahkan pembayaran atau untuk caj penghantaran barangan tersebut.

Bergantung kepada butiran kontak yang dikongsikan kepada penipu, mangsa kemudian akan menerima e-mel, SMS atau pesanan WhatsApp daripada penipu dengan pautan URL atau kod QR yang mencurigakan.

Sejurus selepas mangsa menekan pautan atau mengimbas kod QR itu, mangsa akan dibawa ke laman palsu untuk memasukkan butiran log masuk perbankan internet, butiran kad bank mereka atau kata laluan sekali sahaja (OTP).

Dalam pada itu, polis mengingati orang ramai supaya sentiasa mengesahkan profil pembeli di pasaran online ketika melakukan sebarang urus niaga.

Orang ramai juga perlu mengesahkan sebarang pautan URL dan tidak menekan pautan yang mencurigakan.

"Carousell tidak menghantar pautan menerusi SMS dan akan hanya menghantarkan OTP menerusi SMS. OTP ini perlu dimasukkan ke dalam aplikasi Carousell atau laman web," jelas pihak polis.

Orang ramai turut dinasihati untuk supaya mengesahkan ketulenan sebarang maklumat dengan platform e-dagang secara langsung dan jangan sesekali mendedahkan butiran peribadi mahupun perbankan internet serta OTP mereka kepada sesiapa.

Mereka juga perlu melaporkan sebarang urus niaga pemindahan wang yang mencurigakan kepada bank dengan serta-merta dan membuat aduan tentang mana-mana pengguna yang mencurigakan di pasaran online kepada platform e-dagang tersebut.

Pihak polis turut memberi amaran kepada para pengguna Carousell supaya berjaga-jaga terhadap para pembeli yang meminta alamat e-mel atau nombor telefon mereka "atas alasan bahawa butiran tersebut diperlukan oleh para pembeli untuk membuat pesanan menerusi 'Carousell Protection'”.

"Carousell tidak meminta pembayaran, pengesahan pesanan atau butiran kad menerusi laman luar atau e-mel," tekan pihak polis.

Bagi sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai jenayah sedemikian, sila hubungi polis di talian 1800-255-0000 atau serahkan maklumat itu secara online.
Sumber : Today/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan