Skip to main content

Singapura

Peningkatan bekalan flat HDB, ketidaktentuan global dijangka menyederhanakan kenaikan harga flat jualan semula: Penganalisis

Harga flat jualan semula Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dijangka meningkat pada rentak lebih sederhana pada 2026 disebabkan oleh bekalan flat yang semakin bertambah, menurut para penganalisis hartanah.

Anggaran Waktu Membaca:
Peningkatan bekalan flat HDB, ketidaktentuan global dijangka menyederhanakan kenaikan harga flat jualan semula: Penganalisis

Flat-flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Singapura. (Gambar fail: CNA/Jeremy Long)

Diterbitkan : 01 Apr 2026 03:36PM Dikemas Kini : 01 Apr 2026 03:54PM
SINGAPURA: Harga flat jualan semula Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dijangka meningkat pada rentak lebih sederhana pada 2026 disebabkan oleh bekalan flat yang semakin bertambah, menurut para penganalisis hartanah.

Ketidaktentuan global juga boleh menjejaskan permintaan, menurut mereka.

Ini berlaku sedang pasaran terus menunjukkan tanda-tanda penyederhanaan. Menurut anggaran awal yang dikeluarkan HDB pada Rabu (1 Apr), indeks harga flat jualan semula bagi suku pertama susut 0.1 peratus - penurunan suku tahunan pertama dalam tempoh hampir tujuh tahun.

Ini menyusuli pertumbuhan harga yang lebih perlahan atau mendatar selama lima suku berturut-turut.

Para penganalisis berkata data tersebut menunjukkan bahawa pasaran sedang beralih ke fasa yang lebih mampan, dengan pertumbuhan dianggarkan antara dua peratus hingga lima peratus.
PELANCARAN BTO

Faktor utama yang menyederhanakan pasaran flat jualan semula ialah peningkatan ketara pada bekalan perumahan awam.

Ketua Penyelidikan dan Analitik Data SRI, Mohan Sandrasegeran berkata sekalipun permintaan tetap ada disebabkan oleh pembentukan isi rumah dan keperluan gaya hidup, peningkatan bekalan flat - sama ada flat baharu atau flat jualan semula - dijangka membendung pertumbuhan harga.

“Peningkatan berterusan bekalan flat BTO (Bina Ikut Tempahan), khususnya di kawasan-kawasan matang, dijangka akan memainkan peranan penting dalam jangka panjang untuk menstabilkan harga dalam pasaran jualan semula,” kata Encik Sandrasegeran.

“Memperkenalkan projek-projek perumahan awam baharu di kawasan-kawasan sedemikian mencerminkan usaha untuk memperluaskan akses ke lokasi yang mendapat banyak permintaan, sambil menyokong hasil pasaran yang lebih seimbang.”

Pemerintah merancang untuk melancarkan sekitar 19,600 flat BTO pada 2026, termasuk lebih 4,000 unit dengan tempoh menunggu lebih singkat, iaitu kurang daripada tiga tahun.

Dalam penjualan BTO pada Jun sahaja, sekitar 6,900 flat akan ditawarkan di pelbagai bandar termasuk Ang Mo Kio, Bishan, Bukit Merah, Sembawang dan Woodlands.

“Ini akan membantu memenuhi permintaan asas bagi flat-flat HDB baharu di kawasan-kawasan tersebut,” kata Pegawai Eksekutif Utama ERA Singapore, Eugene Lim.

Projek-projek BTO akan datang di kawasan-kawasan utama seperti Upper Thomson dan Pearl’s Hill juga dijangka menarik minat tinggi serta menyediakan akses lebih mudah kepada para pembeli yang sanggup menunggu untuk mendapatkan flat di kawasan popular, tambah beliau.

Penjualan BTO tahun ini akan meningkatkan bekalan perumahan Singapura dengan ketara, mempelbagaikan pilihan dan menyokong pertumbuhan harga jualan semula yang lebih stabil, kata beliau.

Secara berasingan, memperkenalkan beberapa Jualan Baki Flat (SBF) serta ketersediaan flat dengan tempoh menunggu lebih singkat turut memperluaskan pilihan para pembeli, sekali gus mengurangkan keperluan mendesak untuk memasuki pasaran flat jualan semula, kata Encik Sandrasegeran.

Bekalan dalam segmen jualan semula juga dijangka meningkat apabila lebih banyak flat mencapai Tempoh Pendudukan Minimum (MOP) lima tahun.

Ketua Penyelidik dan Strategi di Realion (OrangeTee & ETC) Group, Christine Sun berkata sekitar 34,400 unit mencapai MOP antara 2023 hingga 2025. Berdasarkan data HDB, sekitar 53,800 flat akan mencapai MOP antara 2026 hingga 2028, peningkatan sebanyak 56.1 peratus, tambah beliau.

Dengan adanya lebih banyak flat yang mencapai MOP, ia dapat membantu mengekalkan jumlah transaksi walaupun pertumbuhan harga kekal sederhana, kata Encik Lim.

“Bekalan flat jualan semula dijangka meningkat dengan ketara pada 2026, dengan sekitar 13,480 flat mencapai MOP pada 2026, hampir dua kali ganda berbanding 6,973 unit pada 2025,” tambah beliau.

“Digabungkan dengan aliran pelancaran BTO yang berterusan, peningkatan flat MOP dijangka mengekalkan pertumbuhan harga pada kadar sederhana, sekali gus menstabilkan pasaran.”

RISIKO GLOBAL BOLEH MENJEJASKAN SENTIMEN

Ketidaktentuan yang berpunca daripada perang di Timur Tengah boleh menimbulkan risiko terhadap prospek pasaran, khususnya jika ia meningkatkan harga tenaga dan melanjutkan tekanan inflasi.

“Dalam persekitaran ini, pembeli rumah cenderung mengambil pendekatan yang lebih berhati-hati,” kata Encik Lim.

“Sesetengah pemilik flat HDB mungkin menangguhkan rancangan untuk menaik taraf, manakala mereka yang lebih fleksibel mungkin memilih flat BTO berbanding flat jualan semula kerana mereka bersedia untuk menunggu,” kata beliau.

Harga juga mungkin menghadapi tekanan jika perang semakin meruncing dan mula menjejaskan kos pinjaman, inflasi atau keadaan perniagaan serta pekerjaan.

Walaupun pasaran flat jualan semula HDB belum merasakan sepenuhnya kesan perang di Timur Tengah, ia berpotensi terjejas jika konflik bertambah buruk, kata Cik Sun.

“Naik turun harga bergantung kepada bagaimana perang di Timur Tengah akan berkembang,” kata beliau.

Dengan ketidaktentuan makroekonomi, beliau tidak menjangkakan peningkatan harga yang mendadak dalam masa terdekat.

PASARAN MASIH TIDAK SEIMBANG

Walaupun harga flat jualan semula menunjukkan penyederhanaan, para penganalisis berkata prestasi pasaran dijangka kekal tidak seimbang.

Unit-unit yang terletak di lokasi yang baik atau lebih baharu, serta flat-flat dengan ciri-ciri yang diingini, dijangka terus mendapat permintaan kukuh dan mencapai harga lebih tinggi, kata Ketua Penyelidikan dan Kandungan PropNex, Wong Siew Ying.

“Walaupun pasaran flat jualan semula HDB secara keseluruhan menunjukkan penyederhanaan, beberapa bandar dan jenis flat masih mencatat harga rekod yang tinggi dalam suku tersebut, berdasarkan data penjualan,” kata beliau.

Sembilan bandar - Bukit Batok, Bukit Merah, Clementi, Pasir Ris, Punggol, Queenstown, Sembawang, Sengkang dan Tampines - mencatat harga flat jualan semula HDB yang tertinggi dalam suku pertama 2026, menurut beliau selanjutnya.

“Selepas melaksanakan beberapa pusingan langkah untuk meredakan pasaran serta meningkatkan bekalan flat baharu sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kesan intervensi tersebut kini semakin jelas dalam pasaran,” kata Cik Wong.

“Namun, kami menjangkakan prestasi pasaran akan tetap berbeza-beza.”

Pada masa yang sama, Encik Sandrasegeran menarik perhatian kepada perubahan pada corak transaksi pembelian flat jualan semula di estet-estet matang.

Urus niaga tersebut membentuk 41.6 peratus daripada urus niaga flat jualan semula pada suku pertama 2026, merosot daripada 44.1 peratus pada suku sebelumnya.

Sementara itu, transaksi di estet belum matang meningkat kepada 58.4 peratus, naik daripada 55.9 peratus pada suku terakhir 2025.

“Peralihan ini menunjukkan lebih ramai pembeli memilih untuk membeli rumah di estet-estet belum matang yang lebih dimampui, di mana harga umumnya adalah lebih rendah,” kata Encik Mohan.

Apabila permintaan menjadi lebih seimbang merentasi lokasi yang berbeza-beza, khususnya ke arah segmen harga yang lebih rendah, ia turut menyumbang kepada penyederhanaan keseluruhan pertumbuhan harga flat jualan semula, kata beliau.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita