Skip to main content

Singapura

Penilaian mental kanak-kanak campak kucing di Boon Lay kunci bagi sebarang kes jenayah

Anggaran Waktu Membaca:
Penilaian mental kanak-kanak campak kucing di Boon Lay kunci bagi sebarang kes jenayah

(Gambar: Feline Facebook)

Diterbitkan : 19 Dec 2022 06:46PM
SINGAPURA: Menilai keadaan mental kanak-kanak lelaki, yang dirakam menerusi kamera litar tertutup, mencampak seekor kucing dari sebuah blok Lembaga Pembangunan dan Perumahan (HDB) di Boon Lay adalah kunci kepada sebarang kes jenayah yang dibuat terhadapnya, para peguam memberitahu Mediacorp pada Isnin (19 Dis).
Satu petisyen online yang menggesa pihak berkuasa "menyiasat dan membawa pesalah ke muka pengadilan" mendapat lebih 57,000 tanda tangan setakat petang Isnin (19 Dis).

Kesalahan yang dimaksudkan adalah kezaliman terhadap haiwan di bawah Seksyen 42 Akta Hidupan Liar dan Burung, kata Encik Josephus Tan dari Invictus Law Corporation.

Hukuman bagi pesalah kali pertama adalah penjara sehingga 18 bulan, denda sehingga S$15,000 atau kedua-duanya.

Melihat kepada rakaman CCTV, Encik Tan berkata tiada sebarang pertikaian terhadap kelakuan fizikal budak itu. Namun, soalan berkaitan adalah mengenai keadaan mental budak tersebut ketika itu.

"Adakah dia mempunyai kematangan yang cukup untuk memahami kelakuannya yang menyinggung perasaan? Adakah dia mempunyai kekurangan dari segi mental ketika itu?", tanya Encik Tan.

Encik Chua Hock Lu dari Kalidass Law Corporation juga berkata penilaian terhadap keadaan mental kanak-kanak itu adalah relevan walaupun kesalahan dilakukan.

Usia minimum bagi tanggungjawab jenayah di Singapura adalah 10 tahun. Ini bermakna tiada apa yang dilakukan oleh seorang kanak-kanak di bawah usia 10 tahun boleh dianggap sebagai jenayah.

Seorang kanak-kanak atau remaja antara usia 10 dengan 12 tahun, yang tidak mempunyai kematangan untuk memahami kelakuan dan akibat perbuatannya juga tidak boleh dipertanggungjawabkan.

Usia kanak-kanak tersebut belum lagi diketahui.

Encik Tan berkata tidak mungkin budak itu dijatuhi hukuman penjara atau didenda jika disabit kesalahan, keputusan yang lebih berkemungkinan diambil adalah probesen dengan syarat tertentu seperti kaunseling dan terapi.

Selain rakaman CCTV, terdapat banyak aspek insiden itu yang perlu disiasat pihak pendakwa dalam kes terhadap kanak-kanak tersebut, kata Encik Shashi Nathan dan Cik Laura Yeo dari Withers KhattarWong.

"Sebagai contoh, sama ada kanak-kanak itu mengalami sebarang gangguan emosi atau psikiatri ketika insiden berlaku," tambah mereka.

Dalam kes yang sama pada 2016, Lee Wai Leong, 41 tahun, dikenakan probesen 18 bulan kerana mencampak seekor kucing dari tingkat 13 di sebuah blok HDB di Yishun, sehingga menyebabkan kematian kucing itu.
Encik Tan, yang merupakan peguam bela dalam kes tersebut, memberitahu Mediacorp bahawa ketidakupayaan intelektual Lee menjadi pertimbangan utama mengapa lelaki itu tidak dipenjarakan.

ATASI PUNCA MASALAH

Seorang lagi peguam berkata kes Boon Lay itu "jarang berlaku" kerana ia melibatkan seorang kanak-kanak dan menambah bahawa siasatan awal akan merangkumi penilaian psikologi kanak-kanak tersebut.

"Saya rasa isu asas berkemungkinan isu psikologi atau situasi persekitaran bersama keluarga," kata sekutu kanan FC Legal Asia Goh Jia Jie, yang juga seorang peguam bela kebajikan haiwan.

Bagi pesalah muda, pemulihan adalah kunci, tambah Encik Goh, yang menekankan pentingnya untuk menangani keperluan persekitaraan psikologi kanak-kanak tersebut.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita