Penilaian kesihatan Haji 2027 lebih menyeluruh, uji kecergasan fizikal dan kognitif bakal jemaah
Muhamad Azhar Abu Bakar, 52 tahun bersama isterinya, Zubaidah Tahir ketika menjalani Penilaian Kesihatan Haji (HMA) yang dipertingkatkan bagi para jemaah haji 2027. (Gambar: Nurfazirah Azman)
SINGAPURA: Apabila mendapat tahu perlu berjalan tanpa henti selama enam minit bagi ujian kecergasan fizikal, Muhamad Azhar Abu Bakar, 52 tahun, tidak menyangka pemeriksaan kesihatan bagi jemaah haji 2027 itu agak mencabar.
Pemeriksaan itu merupakan sebahagian daripada Penilaian Kesihatan Haji (HMA) yang dipertingkatkan bagi para jemaah haji 2027.
Meskipun proses pemeriksaan kesihatan itu berjalan lancar, beliau akui ujian berjalan dan penilaian kognitif antara yang menguji keupayaannya.
Bagi Encik Azhar, pemeriksaan tersebut mengingatkannya bahawa persediaan kesihatan perlu diberikan perhatian.
Ini lebih-lebih lagi apabila ibadah haji memerlukan ketahanan fizikal untuk melakukan pelbagai aktiviti dalam tempoh yang panjang.
"Untuk persiapan kesihatan, saya rasa haruslah kita semua lakukan. Tapi untuk persiapan haji ini mungkin kami harus pertingkat lagi lebih jadi kita akan bersiap sedia," kata Encik Azhar.
Beliau turut mengakui ujian yang dijalani mempunyai kaitan langsung dengan keperluan fizikal sepanjang berada di Tanah Suci.
"Sebab tu ujian tadi yang saya lalui tu penting untuk pengurusan haji nanti. Seperti biasa, senaman dan berjalan. Tidur yang cukup dan makan gaya makan yang sihat juga penting," katanya.
Beliau juga menggalakkan bakal jemaah supaya tidak berasa takut untuk menjalani pemeriksaan kesihatan yang dipertingkatkan itu.
"Bagi saya zaman sekarang orang lebih sedar tentang kesihatan, jadi mereka pun sudah bersedia. Saya rasa jangan takutlah untuk pergi pemeriksaan ini kerana ia akan buat kami lebih bersedia dan buat banyak persediaan," kata Encik Azhar.
PENILAIAN KESIHATAN YANG LEBIH MENYELURUH
Menurut Timbalan Pengarah, Projek Khas SATA CommHealth, Siti Zubaidah Yusoff, penilaian tersebut memastikan bakal jemaah mempunyai tahap kesihatan yang sesuai untuk menunaikan ibadah haji.
"Ia adalah salah satu keperluan daripada Kementerian Kesihatan Haji dan Umrah, bukan sahaja kesihatan keseluruhannya tetapi juga kecergasan minda dan status fizikal seseorang. Ini penting untuk mengenal pasti bahawa jemaah itu boleh membuat ataupun menunaikan haji dengan sempurna dan selamat," kata Cik Zubaidah.
Antara pemeriksaan yang diberi perhatian ialah ujian Six-Minute Walk Test dan Timed Up and Go (TUG), yang bertujuan menilai tahap kecergasan serta keupayaan pergerakan bakal jemaah.
"Six-Minute Walk Test itu melihat tempoh kecergasan seseorang, berapa pantas dia berjalan. Dia harus berjalan selama enam minit dan dalam tempoh itu berapa jauh dan berapa cepat.
"Ini kerana semasa kami membuat ibadah haji ada sai, tawaf dan pergerakan ataupun perjalanan haji itu agak payah dan lama," kongsi Cik Zubaidah.
Sementara itu, ujian Timed Up and Go menilai keupayaan fizikal, keseimbangan serta kelancaran pergerakan seseorang.
"Pemeriksaan ini merangkumi berat badan dan juga berapa pantas mereka berdiri dan duduk di satu kerusi dan berjalan sejauh 3 meter dan pusing kembali. Ujian ini dapat memeriksa berapa lama ataupun berapa kuat daya tahan fizikal mereka," kongsi Cik Zubaidah.
TIGA KATEGORI KEPUTUSAN PENILAIAN
Cik Zubaidah menjelaskan bahawa keputusan penilaian kesihatan dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu A, B dan C, berdasarkan hasil pemeriksaan kesihatan dan tahap kecergasan jemaah.
Namun, beliau menegaskan bahawa keputusan kategori C bukan bermaksud seseorang itu tidak berpeluang menunaikan haji selama-lamanya.
Sebaliknya, penangguhan tersebut memberi ruang kepada jemaah untuk mendapatkan rawatan dan memperbaiki tahap kesihatan sebelum mencuba semula pada masa akan datang.
Beliau bekongsi antara keadaan kesihatan yang boleh menyebabkan seseorang diletakkan dalam kategori C.
"Mereka yang disahkan menghidap barah dan sedang menjalani rawatan kemoterapi, dan juga mereka dengan kencing manis yang tidak terkawal.
"Jemaah kemudian akan diberikan masa untuk mengawal kencing manis itu dan juga penyakit-penyakit kronik yang lain atau tidak mereka ketahui yang dikesan semasa pemeriksaan.
"Daripada situ para jemaah boleh ketahui cara-cara untuk mengawal atau mendapat perubatan yang sesuai," kongsi Cik Zubaidah.
REAKSI JEMAAH TERHADAP PEMERIKSAAN KESIHATAN YANG DIPERTINGKAT
Selain menjalani ujian fizikal dan kognitif, bakal jemaah juga perlu memastikan maklumat mengenai sejarah kesihatan dan penyakit sedia ada disampaikan dengan tepat kepada doktor.
Cik Zubaidah berkata maklumat yang diberikan oleh jemaah akan disahkan oleh doktor sebelum disalurkan kepada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.
Beliau turut berkongsi bahawa reaksi jemaah terhadap pemeriksaan yang dipertingkatkan itu berbeza-beza. Namun, rata-rata jemaah menyambut baik langkah tersebut.
"Ada yang bahagia kerana dapat dipilih untuk diperiksa untuk sesuai ke tidak ke haji. Ada yang kata kenapa perlu peperiksaan ini, dulu tidak ada dan mereka banyak soalan kerana ada jemaah yang telah membuat kajian pemeriksaan kesihatan tahun lepas tapi tidak dapat visa.
"Jadi, mereka harus membuat pemeriksaan tahun ini dan mereka membandingkan kenapa tahun ini berbeza daripada tahun yang lalu dimana tahun ini ada lebih pemeriksaan untuk fizikal dan juga kecergasan mental," kata Cik Zubaidah.
Namun, menurutnya, kebanyakan jemaah menerima perubahan tersebut kerana memahami matlamat utama pemeriksaan adalah untuk memastikan keselamatan mereka ketika menunaikan ibadah haji.
KLINIK DILANTIK MUIS PERMUDAH URUSAN PENILAIAN KESIHATAN BAKAL JEMAAH HAJI
Bagi musim Haji 2027, MUIS telah melantik dua penyedia khidmat perubatan, iaitu SATA CommHealth dan HMI Medical Centres, untuk menjalankan penilaian kesihatan bakal jemaah haji.
Menurut Cik Zubaidah, pendekatan itu dapat mengurangkan keperluan jemaah untuk mendapatkan pemeriksaan di beberapa tempat berbeza, sekali gus memudahkan urusan membuat janji temu.
"Melantik SATA Commhealth agak senang untuk para jemaah kerana semua pemeriksaan adalah di satu lokasi dan yang kedua ianya memberikan penyelarasan proses pemeriksaan yang sama secara ringkas kepada jemaah dan jadi mereka tidak usah ke tempat yang berlainan," kata Cik Zubaidah.
MUIS menyatakan bahawa bakal jemaah yang disahkan sihat akan menerima Surat Tawaran Rasmi (LOO) mulai 16 November.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.