Peniaga yang 'labur' S$360,000 untuk jadi rakyat SG, dipenjara kerana buat pengisytiharan palsu

(Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY)
SINGAPURA: Seorang peniaga asing membuat pengisytiharan palsu kepada Kementerian Tenaga Manusia (MOM), dengan mengatakan dia akan bekerja untuk sebuah syarikat tempatan, demi mendapatkan pas kerja.
Pada hakikatnya, dia tidak berniat untuk bekerja dengan syarikat tersebut.
Sebaliknya, pas itu diraih untuk membenarkannya menetap di Singapura, yang bertujuan untuk mendapat status penduduk tetap jangka panjang dan menjadikannya rakyat Singapura.
Peniaga tersebut berharap hasratnya tercapai dengan "pelaburan" S$360,000 kepada syarikat itu.
Zhang Qingqiao, seorang rakyat China 37 tahun, dijatuhi hukuman penjara empat minggu pada Isnin (9 Okt) atas satu dakwaan membuat pengisytiharan palsu kepada Pengawal Pas Kerja.
Dia cuba membantah pertuduhan tersebut namun didapati bersalah pada akhir perbicaraan.
Mahkamah diberitahu bahawa Zhang merupakan seorang peniaga yang sudah lama melabur sejak 2012, ketika dia masih di China.
Tujuan jangka panjangnya adalah untuk membawa seluruh keluarganya ke Singapura untuk menetap di sini, dan akhirnya mendapatkan status penduduk tetap tetap dan menjadi rakyat Singapura.
Pada sekitar Julai 2019, Zhang mengenali seorang wanita bernama Wang Jue, atau Jess, sedang dia cuba untuk menjadi Penduduk Tetap (PR) dan kerakyatan Singapura.
Menurut hujah Zhang, Wang mengendalikan skim pelaburan palsu.
Selepas bertemu Wang, Zhang memutuskan untuk "melabur" S$360,000 dalam sebuah syarikat MW Dynamics. Ini selepas dia menolak rancangan pelaburan bernilai S$2 juta, di mana dia boleh mendapatkan status PR dalam tiga tahun.
Sebagai sebahagian daripada rancangan itu, dia akan menjadi pemegang pas pekerja syarikat tersebut, di mana dia akan mendapat gaji S$10,000 sebulan.
Zhang menandatangani dan menyerahkan surat pengisytiharan bagi pas pekerja kepada Penguasa pas pekerja pada September 2019.
Dalam surat tersebut, dia mengisytiharkan dia akan diambil kerja oleh MW Dynamics sebagai pengarah pembangunan perniagaan dengan gaji S$10,000 sebulan.
Permohonannya diluluskan.
Pada sesi perbicaraan, pasukan pembelaan Zhang menyalahi Wang, dan berkata bahawa Zhang adalah mangsa yang ditipu oleh Wang.
Hakim bagaimanapun tidak "terpedaya oleh percubaan pasukan pembela untuk menyalahkan Wang sepenuhnya".
Menurut alasan hakim untuk menjatuhkan hukuman ke atas Zhang, Wang mungkin berdepan prosiding jenayah kerana membantu Zhang dalam permohonan pas kerjanya.
Atas kesalahan membuat pengisytiharan palsu dalam surat permohonannya untuk mendapatkan pas kerja, Zhang boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, didenda sehingg S$20,000, atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.