Skip to main content

Singapura

Peniaga SG diberi notis di bawah undang-undang campur tangan asing

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 02 Feb 2024 07:56PM Dikemas Kini : 02 Feb 2024 11:37PM
SINGAPURA: Peniaga warga Singapura, Chan Man Ping Philip, diberi notis di mana pihak berkuasa akan menggelarnya sebagai "individu penting dari segi politik" di bawah satu undang-undang untuk menangani campur tangan asing.

Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada Jumaat (2 Dis) menyatakan bahawa Pendaftar
Pendedahan Asing dan Politik berhasrat untuk memberi gelaran tersebut kepada Encik Chan, seorang warga Singapura 59 tahun, di bawah Seksyen 48(1) Akta (Langkah Tindakan Balas) Campur Tangan Asing, dikenali sebagai FICA.

Undang-undang tersebut bertujuan untuk mencegah, mengesan dan membanteras penggunaan kempen maklumat bersifat bermusuhan dan proksi tempatan oleh entiti asing, yang berniat untuk campur tangan dalam politik Singapura.

Encik Chan dipercayai orang pertama diberi notis di bawah peruntukan FICA, yang berkuat kuasa pada Disember tahun lalu.

"Individu penting dari segi politik", yang juga dikenali sebagai PSP, boleh termasuk parti politik, pemegang jawatan politik, Anggota Parlimen (AP), calon pilihan raya serta ejen pilihan raya mereka.

Kes Encik Chan berada di bawah peruntukan untuk menetapkan seseorang individu sebagai PSP jika aktiviti mereka disasarkan ke arah politik, dan ia adalah demi kepentingan awam untuk pihak berkuasa menggunakan langkah tindak balas di bawah FICA.

Pendaftar itu menyampaikan notis tersebut kepada Encik Chan pada Jumaat (2 Feb), memaklumkannya tentang niat mereka, dan dia mempunyai 14 hari untuk mengemukakan perwakilannya.

MHA menyatakan bahawa pendaftar sudah menilai bahawa Encik Chan "menunjukkan kecenderungan dipengaruhi pihak asing, dan kesanggupan untuk melaksanakan kepentingan mereka". Pihak asing yang terlibat tidak didedahkan.

Pendaftar tersebut juga mendapati bahawa aktiviti Encik Chan "disasarkan ke arah politik Singapura", dan ia adalah demi kepentingan awam untuk tindak balas diambil di bawah FICA terhadapnya.

Sebagai individu politik penting, Encik Chan harus mendedahkan kepada Pendaftar dana politik tahunan melebihi S$10,000 atau lebih, yang diterimanya. Dia juga harus mendedahkan hubungan politik asing serta manfaat yang diterima ketika dia berhijrah.

Sekiranya dia digelar sebagai PSP, Encik Chan boleh mengemukakan rayuan kepada Menteri Ehwal Dalam Negeri atas keputusan tersebut.

CHAN BERHIJRAH DARI HONG KONG PADA 1990

Laman Wen Way Investments menyenaraikan Encik Chan sebagai pengarah urusan tiga syarikat, iaitu Wen Way, C&H Properties dan Mutual Benefits Realty.

Menurut laman itu, Mutual Benefits Realty "memberi tumpuan untuk melayan pelanggan bernilai tinggi dari China" yang ingin membeli atau melabur hartanah Singapura.

Wen Way Investments pula membuat pelaburan hartanah di Hong Kong, Singapura, Malaysia dan Thailand.

Encik Chan, yang berhijrah dari Hong Kong pada 1990, mengetuai Dewan Perniagaan Hong Kong di Singapura, dan menjadi presiden Kelab Kowloon sejak 2011.

Persatuan di Singapura itu membantu pendatang terutamanya dari Hong Kong, dan terdapat banyak laporan berita dalam akhbar Cina Lianhe Zaobao, tentang usaha pengumpulan dana oleh persatuan itu bagi badan-badan amal, yang menyebut Encik Chan.

Dalam satu laporan di laman berita China 52hrtt pada Jun tahun lalu, Encik Chan menyifatkan dirinya sebagai wakil luar negara di Kongres Kebangsaan Parti Komunis China.

Dalam petikan wawancaranya dengan laman tersebut, Encik Chan berkata: "Ia adalah kewajipan kami sebagai orang Cina di luar negara, untuk menceritakan kisah China dengan baik, dan menyebarkan budaya tradisional Cina yang menakjubkan ketika kami berada di luar negara.

"Sebagai anggota masyarakat Cina Singapura, saya menerbitkan laporan saya di Lianhe Zaobao, media arus perdana untuk masyarakat Cina di Singapura. Walau bagaimanapun, pengaruh saya terhad. Disebabkan kami hanya boleh menyumbang sedikit, oleh itu kami harus lebih bersatu. "

Encik Chan sudah terlibat dalam usaha akar umbi dan pengumpulan dana di Singapura selama lebih sedekad. Sebahagian daripada aktiviti itu memberinya peluang untuk bertemu anggota politik tempatan.

Dia juga merupakan penaung Jawatankuasa Perundingan Rakyat Kampong Chai Chee dan Jawatankuasa Pengurusan Kelab Masyarakat Bukit Timah.

Encik Chan sudah meletak jawatan daripada kesemua pelantikan akar umbi, dedah Persatuan Rakyat (PA) dalam satu kenyataan pada Jumaat,selepas pengumuman MHA.

PA tidak memberi respons kepada soalan Mediacorp terhadap pengaruh yang dipegang Encik Chan pada aktiviti-aktiviti akar umbi semasa pelantikannya.

Menurut laman SPD, sebuah badan amal yang berkhidmat untuk masyarakat kurang upaya, Encik Chan memegang kedua-dua jawatan tersebut sejak 2014, di mana dia merupakan ahli jawatankuasa penggemblengan sumber dan perkongsian.

SPD menyifatkan Kelab Kowloon sebagai "penyokong lama" di bawah Encik Chan, dengan kelab tersebut mengumpul dana untuk badan amal itu sejak 2011.

Kelab Kowloon juga menderma S$18,888 untuk menaik taraf Kelab Masyarakat Zhenghua pada Mac tahun lalu.

Dua pertubuhan yang sudah dilantik sebagai PSP, iaitu Think Centre, sebuah pertubuhan bukan pemerintah (NGO), yang memperjuangkan demokrasi dan hak asasi manusia, serta NGO hak asasi manusia Maruah.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita