Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Peniaga runcit tawar potongan harga sebelum kenaikan GST

Anggaran Waktu Membaca:
Peniaga runcit tawar potongan harga sebelum kenaikan GST

(Gambar fail: AFP/Roslan Rahman)

SINGAPURA: Daripada potongan harga setinggi 90 peratus hinggalah ke hadiah wang tunai. Itulah antara pelbagai langkah yang diambil para peniaga runcit untuk memikat para pembeli.

Ini sedang para pembeli menghadapi harga barangan lebih tinggi menjelang 2023, apabila Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dinaikkan dari tujuh peratus ke lapan peratus.

Bagaimanapun, tidak semua peniaga berpendapat bahawa potongan harga seumpama itu dapat bertahan.

Menjelang Tahun Baru, ada yang sudahpun membeli barangan elektrik meskipun belum berpindah ke rumah baru.

"Ramai daripada mereka membuat pembelian dengan terlebih dahulu malah sebelum mereka mendapat kunci rumah. Mereka mungkin mendapat kunci rumah pada suku kedua atau suku ketiga tetapi mereka sudahpun membuat pembelian dengan Audio House dengan lebih awal kerana mereka menjangkakan harga akan meningkat," kata Priscilla Cheong Pengurus Pemasaran Audio House.

Dengan pelaksanaan kadar GST yang lebih tinggi, peruncit ini berharap penjualan hujung tahun dapat memikat lebih ramai pembeli.

Langkah itu ternyata berhasil. Perniagaannya melonjak sekitar 60 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Bagaimanapun perniagaan lain seperti salun kecantikan rambut tidak menawarkan potongan harga.

Daripada menawarkan potongan harga, kami yakin menawarkan khidmat yang lebih baik, suasana lebih baik dan konsep baru, merupakan strategi lebih baik bagi jangka panjang. Misalnya, menerusi Chez Vous Hideway - kami menawarkan khidmat 'spa mini' percuma," kata Eugene Teo, Pengarah Jenama Chez Vous.

Dengan khidmat seumpama itu, kedai ini menyaksikan jumlah pelanggannya meningkat sepanjang minggu lalu.

Malah tempahannya penuh hingga hujung tahun ini.

Sungguhpun demikian, Encik Teo akur, para pemilik perniagaan akan tetap terjejas dengan kenaikan kadar GST.

"Kebanyakan perniagaan sebenarnya terjejas, terutama sekali SME (syarikat-syarikat kecil dan sederhana) dan ia mungkin tiada pilihan, tetapi mengalihkan kos tambahan itu kepada para pengguna. Kami sebenarnya menggalak para peruncit untuk menyerap kos tersebut.

"Jika anda tidak boleh, terangkanlah kepada pelanggan kenapa ini perlu - tolong jangan gunakan GST lebih tinggi sebagai alasan untuk meningkatkan harga," kata Linus Ng, Pengerusi, Jawatankuasa Pendidikan Pengguna CASE.

Encik Ng menambah, pada akhirnya, para pembelilah yang memutuskan, sama ada mutu produk dan khidmat yang ditawarkan layak menerima harga lebih tinggi.
Sumber : CNA/AI/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan