Peniaga roti 'hotdog' dari luar tingkap rumah Tampines diarah turunkan sepanduk, hilang pelanggan
Malangnya, tidak lama selepas perniagaan dari rumah itu mendapat sorotan di media sosial, rumah mereka disinggahi pihak berkuasa.
"Saya dari kedai nak beli roti 'hotdog' apa semua. Jadi bila saya sampai kat sini, eh ada ramai orang. Ada dalam 5 atau 6 badan berasingan yang datang dan mungkin kerana video dah jadi viral," cerita pemilik 'Window Bites', Encik Mohamed Rafeek Abdul Sukkur.
"Mereka nasihatkan supaya dibuka semua sepanduk yang telah dibuat kerana publisiti tidak dibenarkan untuk perniagaan dari rumah. Yang dibenarkan hanya dari media sosial," tambah beliau.
Mujur Encik Rafeek dan isteri masih boleh terus menjual 'hotdog' dan 'nachos' dari tingkap rumah mereka di Blok 834 Tampines St 82.
Menurut Agensi Makanan Singapura (SFA) di lamannya, pengendali perniagaan makanan dari rumah tidak perlu mendapatkan lesen untuk beroperasi.
Peniaga bagaimanapun perlu mematuhi beberapa keperluan tertentu demi menjamin makanan yang dijual selamat dimakan. Ini termasuk hanya mendapatkan bahan-bahan daripada pembekal dan pengilang berlesen.
"Perniagaan dari rumah tidak perlu ada lesen tapi mereka, mungkin dari SFA kalau tak silap saya, yang akan buat lawatan kejutan. Mereka nak pastikan (bahan-bahan) datang dari sumber yang betullah," kata Encik Rafeek.
TITIK PERMULAAN 'WINDOW BITES'
Encik Rafeek, 50 tahun, memutuskan untuk menjual 'hotdog' dan 'nachos' dari tingkap rumah selepas beliau hilang sumber pendapatan dan sukar mendapat pekerjaan tetap selepas itu.
"Sebelum ini saya adalah pengarah acara. Kemudian COVID-19 melanda. Semua bentuk pendapatan berhenti. Saya mengalami kemurungan tetapi tiada sesiapa yang tahu," kongsi Encik Rafeek yang mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam bidang acara.
"Dari September lalu hingga sekarang, saya masih menghantar resume. Mungkin kerana umur dan juga dari dari segi gaji, orang susah untuk ambil bekerja," ujarnya lagi.
Selepas berbincang bersama keluarga, Encik Rafeek mendapat idea untuk berniaga dari rumah.
"Saya ini memang minat dalam segi makanan. 'Hotdog' adalah satu yang saya minat sekali dan teringat pula bila di New York ada orang yang jual hotdog di tepi jalan. Jadi dari situ terfikir ini konsep macam trak makanan. Kita punya rumah pun di 'ground floor' kan? Jadi boleh cuba kan?," kata Encik Rafeek kepada BERITAMediacorp.
KESAN TURUNKAN 'BANNER'
Menurut Encik Rafeek, 'Window Bites' menerima sambutan menggalakkan sejak ia mula dibuka. Antara makanan yang laris dijual termasuk 'Chili Beef Hotdog' dan 'Nachos Chilli Beef'.
Lebih daripada itu, perniagaan yang dimulakan juga membuatnya lebih akrab dengan para penduduk di kawasan kejiranan sama.
"Saya berjumpa ramai jiran-jiran yang saya tidak pernah nampak. Mereka datang dan duduk untuk bercerita. Ada yang tidak pesan makanan, tetapi datang dan duduk sahaja," katanya.
Malangnya, arahan menurunkan sepanduk di luar rumahnya meninggalkan kesan negatif ke atas penjualan makanan.
Bapa kepada empat orang anak itu bagaimanapun enggan menyerah dan gigih cuba meningkatkan penjualan menerusi media sosial.
"Meskipun saya mempunyai pengalaman sebagai pengacara, membuat sesi 'live' adalah satu perkara yang berbeza," katanya.
Encik Rafeek juga percaya 'hotdog' dan 'nachos' yang dijual juga akan terus mendapat sambutan, apatah lagi daripada para pelajar yang sekolahnya terletak tidak jauh dari rumahnya.
"(Rumah dekat dengan) Sekolah Menengah dan Sekolah Rendah St Hilda. Jadi mungkin dari situ, yelah memang 'hotdog' ni memang tarikan, yang paling pertama adalah budak-budak," ujarnya.
"Sebenarnya ia juga untuk semua lapisan usia. Baik yang muda, yang tua, yang ada gigi, tak ada gigi. Semua suka juga kan?," selorohnya lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.