Peniaga Pasar Geylang Serai sibuk habiskan stok dalam minggu terakhir sebelum penutupan sementara 3 bulan
SINGAPURA: Menjelang penutupan sementara Pasar Geylang Serai pada Isnin (29 Jul) untuk kerja-kerja naik taraf, para peniaga di sana sibuk menghabiskan stok jualan.
Menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), pasar itu akan ditutup buat tiga bulan dan akan dibuka semula pada 1 November 2024.
Semasa kunjungan BERITA Mediacorp ke pasar itu pada pagi Khamis (23 Jul), keadaan sibuk dengan ramai pelanggan yang mahu membeli sebanyak mungkin barangan dapur sebelum pasar itu tutup.
Ada peniaga pula berkongsi dengan wartawan Nazirah Jumari bahawa mereka cuba menghabiskan stok.
Ia termasuk gerai Pustaka Mu’az yang menjual pelbagai bahan-bahan kering untuk masakan.
Oleh kerana dimaklumkan lebih awal iaitu tahun lalu tentang penutupan sementara Pasar Geylang Serai, ia lebih mudah untuk para pegerai untuk membuat persiapan.
"Kita menghabiskan stok yang mana tarikh luputnya sudah dekat, dan kita tidak menempah banyak (untuknya) tetapi untuk (barangan) dengan tarikh luputnya yang masih jauh, kita masih menempahnya dan ia boleh disimpan," kongsi pemilik 'Pustaka Mu'az', Mu’azullah Mazlan Abdullah kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
Dalam pada itu, Encik Mu’azullah juga mendapati sambutan yang lebih memberangsangkan daripada pelanggannya beberapa minggu menjelang penutupan sementara Pasar Geylang Serai.
PENJUALAN NAIK SEHINGGA 40% JELANG PENUTUPAN SEMENTARA PASAR GEYLANG SERAI
Menurut beberapa pemilik kedai, perniagaan mereka naik sehingga 40 peratus minggu lalu, berbanding minggu-minggu sebelumnya.
"Alhamdulillah naik sekitar 30 hingga 40 peratus sebab mereka beli banyak, di mana semua menyimpan stok juga," ujar Encik Mu’azullah.
"Ramai semua dah ingat kita sudah ingin tutup jadi mereka membeli untuk menyimpan dan mereka pun beli banyak setiap seorang, ada beli lima atau 10 barang-barang untuk menyimpan stok," tambahnya lagi.
Seperti Encik Mu’azullah, peniaga ayam, Encik Hashim Abbas turut mendapati sambutan yang menggalakkan baru-baru ini.
"Bila Pasar Geylang akan ditutup untuk renovasi, pelanggan mula berpusu-pusu datang ke Geylang untuk belanja apa yang patut," kongsi Encik Hashim.
"Kita perlu habiskan segala-galanya (stok) sebab kita tidak ingin ada baki. Hari Ahad ini penghabisan jadi kita jual apa yang kita boleh habiskan dan kita juga tidak ingin menyimpan stok dan tidak mengambil banyak barang baharu," tambah beliau.
PENIAGA AMBIL KESEMPATAN UNTUK BEREHAT
Selain itu, menyusuli penutupan tiga bulan mulai Isnin (29 Jul), para pemilik gerai yang ditemui BERITA Mediacorp turut berkongsi bahawa mereka ingin mengambil masa itu untuk "berehat".
Antaranya pemilik gerai Biryani Express Singapore, Mohammad Omar yang akan berehat sepanjang tempoh itu dan hanya akan melangsungkan semula perniagaannya bila pasar itu dibuka semula.
"Tiga bulan untuk saya berpindah ke tempat lain macam leceh. Kalau setahun (pasar tutup) mungkin ya tetapi tiga bulan tidak oleh kerana tempoh itu sangat singkat," menurut Encik Mohammad.
"Kalau (beroperasi) online pun, anda masih perlu ada dapur dan saya tidak ada dapur kerana rumah saya sangat kecil dan kita juga tidak dibenarkan untuk beroperasi dari rumah," tambah beliau.
PENGUNJUNG 'SEDIH', CARI ALTERNATIF LAIN UNTUK BELI BARANG DAPUR
Dengan berita tentang penutupan Pasar Geylang Serai untuk tiga bulan itu, para pengunjung yang ditemui BERITA Mediacorp rata-rata melahirkan rasa sedih kerana sudah biasa berbelanja di situ.
Ia termasuk Cik Mustika Embun, 58 tahun, yang datang ke pasar Geylang Serai dua kali sebulan untuk berbelanja.
"(Saya) macam terperanjat apabila kawan saya memberitahu saya bahawa ia akan ditutup, sebab dia tahu saya memang selalu pergi Geylang," kongsi Cik Mustika kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
"Di sini semua barang-barang ada dan cukup jadi senang ingin mencari dalam satu tempat dan tidak perlu lari sana sini. Semua lengkap jadi itulah kadang-kadang saya membeli terutama sekali barang basah seperti ikan, udang, sotong dan apa-apa makanan laut yang ada di sini. Jadi saya (memang) beli banyak kadangkala (bernilai) sampai sebulan atau setengah bulan tetapi sebab pasar ingin tutup jadi saya mungkin membeli banyak lagi iaitu seganda atau tiga kali ganda," tambahnya.
Dengan penutupan Pasar Geylang Serai itu, satu alternatif bagi Cik Mustika ialah untuk berbelanja di pasar raya berdekatan daerah rumahnya di Hougang.
"Dekat dengan daerah rumah saya pun ada juga pasar-pasar tetapi saya tidak akan beliau banyak-banyak. Beli sedikit-sedikit sahaja kerana saya ingin tunggu Geylang buka juga selepas tiga bulan ini," tambahnya.
SUDAH JADI KEBIASAAN DATANG KE PASAR GEYLANG SERAI SEJAK KECIL LAGI
Bagi Encik Mohamad Jumat Sulaiman, 61 tahun pula, beliau sanggup datang dari kawasan Havelock untuk ke Pasar Geylang Serai setiap minggu untuk membeli barangan dapur serta untuk makan di tingkat dua.
"Memang sudah menjadi kesukaan dan kebiasaan daripada dahulu walaupun saya (pernah) tinggal di Hougang dan Sembawang. Memang kita datang ke sini juga daripada kecil lagi, daripada Geylang lama sehingga Geylang sekarang ini," ujar Encik Jumat.
"Tempat yang kita selalu datang ini tempat orang-orang kita, iaitu orang Melayu kita, jadi kadangkala berkunjung di sini pun boleh terjumpa saudara-mara dan sahabat handai yang sudah lama kita tidak jumpakan?" tambahnya.
Antara kerja-kerja naik taraf yang akan dijalankan termasuk menggantikan meja dan kerusi, menggantikan jubin, mengecat semula Pasar Geylang Serai dan kerja-kerja ubah elok terhadap tandas di situ.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.