Peniaga masih optimis tentang manfaat HSR apabila disambung semula
Kesan penangguhan projek Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Singapura HSR menjejas semua segmen perniagaan termasuk percutian, di sepanjang laluan tersebut.
BERITAmediacorp: Kesan penangguhan projek Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Singapura HSR menjejas semua segmen perniagaan termasuk percutian, di sepanjang laluan tersebut.
Namun, beberapa peniaga yang dihubungi wartawan, Taufiq Hussein Zalizan, berkata mereka optimis akan peluang dan manfaat yang dapat diraih apabila projek itu disambung semula.
Ketika projek HSR pertama kali diumumkan pada 2013, Pengarah Urusan Muo Boutique Hotels, Max Chia, melihatnya sebagai peluang keemasan untuk meluaskan lagi perniagaan beliau.
Mentelah lagi, Encik Chia yang sudah mempunyai dua hotel di Muar memang ada rancangan untuk membangunkan hotel di sepanjang laluan HSR.
"Sebab Muar pun tidak ada lapangan terbang. Jadi ini akan banyak jimatkan kos perniagaan dan juga kos masa. Kita sedang sediakan lebih bilik untuk para tetamu dari tempat yang lain dari Seremban, dari Kuala Lumpur, atau dari Singapura. Kami jangka dari semua tempat akan ada banyak pelancong datang," kata beliau.
Namun, pembanjiran pelancong ini mungkin tergenjot sedikit dengan pengumuman penangguhan pembinaan HSR sehingga Mei 2020.
Bandar Muar merupakan antara tujuh stesen di Malaysia yang dicadangkan bagi perkhidmatan HSR.
Enam lagi termasuk Bandar Malaysia, Bangi-Putrajaya, Seremban, Melaka, Batu Pahat dan Iskandar Puteri sebelum berakhir di Jurong East, Singapura.
Majoriti rakyat Malaysia dan Singapura saling turun naik atas tuntutan pekerjaan.
Sekitar 4 juta orang pergi balik antara KL dengan Singapura menerusi perjalanan udara setiap tahun.
Namun perkhidmatan HSR dijangka memendekkan masa perjalanan mereka kepada hanya 90 minit.
Penduduk kini perlu tunggu empat tahun lagi sehingga Januari 2031 berbanding tarikh asal 31 Disember 2026 untuk menikmati perkhidmatan HSR.
Namun, bagi peniaga seperti Encik Chia, beliau akan meneruskan rancangan untuk mengembangkan perniagaannya kerana optimis dapat meraih manfaat apabila HSR dimulakan nanti.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.