Skip to main content

Singapura

Peniaga makanan sesuaikan strategi, manfaatkan permintaan sahur lebih tinggi

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 25 Feb 2026 06:02PM Dikemas Kini : 15 Mar 2026 05:48PM
SINGAPURA: Sepanjang Ramadan, waktu iftar sering meraih tumpuan peniaga makanan sepanjang Ramadan.

Namun, waktu sahur juga tidak kurang pentingnya.

LANJUTKAN WAKTU OPERASI BAGI MEMENUHI PERMINTAAN SAHUR

Lantaran itu, di kala kebanyakan gerai makanan sudah menutup operasi menjelang dini hari, suasananya berbeza di kedai Burgerprek di Woodlands North Plaza.

Sepanjang Ramadan ini, kedai tersebut melanjutkan waktu operasinya khusus bagi memenuhi permintaan juadah sahur.
Related article image
(Gambar: Nurhelmy Hakim)
Pemilik kedai itu, Susan, berkata: "Kita tutup lebih lambat, biasanya 3.30 pagi, sekarang 5.15 pagi. Kalau dari 3.30 pagi kita lanjutkan, memang pesanan daripada Grab dan Foodpanda banyak, khusus untuk waktu sahur."

Kedai itu sudah beroperasi di Woodlands North Plaza sejak enam tahun lalu dan dikenali oleh para penduduk utara dengan hidangan ala Indonesia dan Barat seperti Indomie Geprek dan Burger Gurprek.

Dalam seminggu pertama Ramadan, kedai itu menyaksikan lonjakan sekitar 30 hingga 40 peratus dalam jualan pada tengah malam hingga waktu pagi, berbanding bulan-bulan biasa.

Malah, beliau menganggarkan tambahan pendapatan antara S$150 hingga S$200 dapat diraih setiap malam hasil tempahan menerusi platform penghantaran makanan.

Menurut Susan, tempahan online seperti Grab dan Food Panda membentuk sekitar 90 peratus daripada keseluruhan pesanan sahur.
Related article image
Pemilik kedai Burgerprek, Cik Susan (Gambar: Nurhelmy Hakim) 
Susan akur bahawa tambahan pendapatan itu juga hasil daripada beberapa strategi yang dilaksanakan khas semasa bulan Ramadan.

Beliau berkata: "Yang lebih popular kami jual adalah Burger Ramly. 3 keping untuk S$13 itu untuk Ramadan. Kalau bukan Ramadan, tidak ada promosi, harganya biasa saja iaitu S$5 untuk satu. Paket roti yang isinya dalam ada 16 keping roti. Waktu sahur pun banyak digunakan, anggaran, boleh habis dalam lima paket roti."
Related article image
(Gambar: Nurhelmy Hakim) 
Antara promosi lain termasuk diskaun sehingga S$5 untuk pesanan melebihi S$40 jika para pelanggan memesan menerusi aplikasi Grab.

SEDIA TAMBAH KAKITANGAN JIKA PERLU UNTUK SAHUR

Dalam pada itu, Warung Hajjah Anis Nasi Sambal Goreng turut menjadi tumpuan pelanggan yang mencari juadah sahur.

Semasa BERITA Mediacorp mengunjungi gerai tersebut selama dua jam bermula 3.00 pagi pada hujung minggu lalu, lebih 30 pelanggan hadir membeli makanan secara fizikal.
Related article image
(Gambar: Nurhelmy Hakim)
Meskipun demikian, pemiliknya, Anisah Syueb, berkata bahawa jumlah itu masih belum menunjukkan peningkatan yang ketara berbanding hari-hari biasa.

Dalam minggu pertama beroperasi pada bulan Ramadan, Cik Anisah berkata bahawa kedai beliau mampu untuk beroperasi dengan hanya dua kakitangan selepas waktu malam.

Namun, dalam pengalamannya sudah 16 tahun berniaga, beliau berkata akan menggandakan jumlah itu selepas dua minggu pertama Ramadan, apabila permintaan juadah sahur mula meningkat dengan ketara.
Related article image
Pemilik Warung Hajjah Anis Nasi Sambal Goreng, Cik Anisah Syueb (Gambar: Nurhelmy Hakim)
Beliau juga memaklumkan bahawa majoriti pelanggan sahur terdiri daripada pekerja syif malam seperti kakitangan MRT, bas dan imigresen.

“Ramai yang datang kerana di sini ramai orang kerja malam. Biasanya 60 peratus datang ke sini dan 40 peratus pesan online. Kita berusaha bantu mereka yang kerja malam dan masyarakat Melayu yang ingin sahur. Mereka tidak perlu susah, kita ada sahaja di sini,” ujarnya.

Seorang pelanggan, Faizal, berkata beliau kerap membeli sahur di situ kerana lokasinya berhampiran tempat kerja di stesen Admiralty.

“Memang dekat dengan pejabat. Kadang-kadang kawan-kawan belikan juga makanan sahur,” katanya.

Seorang lagi pelanggan, Aiman pula berkata: "Selalu juga saya datang sini. Saya tinggal pun dekat, di Marsiling. Makanan pun sedap. Beli Nasi Sambal Goreng yang ada paru, ada daging, sotong atau ayam."

Kedai Cik Anisah memang dibuka 24 jam setiap hari melainkan hari Ahad.

Pada Ramadan ini, beliau mengubah suai waktu operasi kedainya untuk tutup selepas waktu sahur dan dibuka semula pada 1.00 tengah hari bagi memulakan persiapan untuk juadah berbuka puasa pula.
Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita