Peniaga kongsi minat sertai bazar Raya dengan jangkaan skala lebih gah
Para penganjur dan pengendali Bazar Raya Geylang ingin memastikan harga sewa dan produk dijual tahun ini dalam kemampaun ramai.
Bazar Geylang Serai (Gambar fail: Izzah Imran/BERITAmediacorp)
BERITAmediacorp: Para penganjur dan pengendali Bazar Raya Geylang ingin memastikan harga sewa dan produk dijual tahun ini dalam kemampaun ramai.
Jaminan mereka itu amat dialu-alukan para peniaga yang dihubungi BERITAmediacorp pada Khamis (26 Jan).
Ramai yang mengatakan minat mereka untuk membuka gerai di kawasan Geylang semasa bulan Ramadan nanti.
Dengan skala bazar yang lebih besar, mereka menjangkakan suasana perniagaan akan kembali rancak seperti keadaan sebelum pandemik.
Namun, kos sewa tetap dianggap sebagai "mahal", meskipun pihak penganjur memberi jaminan harga sewa gerai di Bazar Raya Geylang kali ini tidak akan melebihi S$19,000 iaitu S$2,000 lebih murah berbanding tahun lalu.
Menurut pemilik Bakes By NY, Encik Khairul Anwar, beliau khuatir hasil keuntungan yang boleh diraih kali ini.
Mentelah lagi, kadar penjualan di kedainya pada tahun lalu adalah sekitar 15 peratus berbanding sebelum COVID-19.
"Walaupun harga sewa yang ditetapkan ialah S$10,000, ia belum belum masuk kos bahan mentah dan alat-alat lain," kata Encik Khairul.
Namun tambahnya, beliau, akan cuba mendapatkan gerai di bazar Geylang disebabkan aliran pengunjung yang membanjiri kawasan itu.
Beliau turut berkongsi bahawa Bakes by NY mula berniaga di acara-acara dan pasar malam.
Justeru, Encik Khairul menganggap perniagaan di Bazar Raya Geylang sebagai pendapatan tambahan untuk syarikat tersebut.
ADA PILIH STRATEGI BERBEZA; IKUT MAKLUM BALAS PELANGGAN
Terdapat juga peniaga yang memilih untuk tidak membuat penampilan di bazar raya, selepas mengambil kira maklum balas pelanggan yang ingin berbelanja dalam suasana lebih selesa dan santai, tanpa perlu bersesak-sesak dan bertolak-tolak.
"Tahun lepas kami ada juga menyewa unit di Geylang dan maklum balas dari pelanggan kami bahawa mereka lebih selesa berbelanja di tempat yang berhawa dingin," ujar pemilik syarikat busana Adrianna Yariqa,
Cik Nurlida Yusof.
Justeru, strateginya kali ini ialah untuk lebih menumpukan perhatian kepada kedai fizikalnya di Jalan Pisang, selain membuat persiapan awal.
Ini termasuk memperluas koleksi busananya dan membolehkan pelanggan membuat tempahan awal.
Tambah Cik Nurlida langkah itu membantunya lebih memahami tabiat perbelanjaan pelanggan, serta dapat mengelakkan daripada mengeluarkan kos tambahan menghasilkan bekalan berlebihan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.