Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Peniaga kejiranan jangka pendapatan naik hingga 50% susuli agihan terbaharu baucar CDC

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 04 Jan 2024 08:31PM Dikemas Kini : 04 Jan 2024 09:05PM
SINGAPURA: Para peniaga di estet-estet kejiranan berharap pendapatan mereka akan naik sekitar 50 peratus ekoran pengagihan terbaharu baucar CDC.

Mentelah lagi, musim Tahun Baharu Cina akan muncul tidak lama lagi.

Namun, ada juga yang tidak bersependapat.

Gerai makanan Turki yang menjual pelbagai sajian seperti Balklava dan kebab, misalnya, seperti mendapat durian runtuh sejak beberapa bulan lalu.

Semua itu ekoran penangan Baucar CDC tahun lalu.

"Bulan lalu, saya lihat sesuatu yang cukup menarik berlaku kerana baucar-baucar (CDC) hampir lupus. Jadi mereka yang datang cuba menghabiskan baucar itu. Kalau mereka masih ada $15, $16, mereka akan beli dua atau kadangkala tiga barang kerana mereka hanya ingin menghabiskan baucar mereka," kata Encik Gurujeet Singh, pemilik bersama, Bosphorus Turkish Kebab.

Hasilnya, pendapatan kedai tersebut bertambah 10 peratus.

Menurut Encik Singh, ini dapat menampung kos bahan mentah buat satu setengah minggu.

Sementara itu, kedai seperti Mr Baguette pula menawarkan diskaun buat pelanggan yang ingin membayar menggunakan baucar itu.

Menurutnya, ini dijangka meningkatkan penjualan sebanyak 50 peratus, terutama sekali dalam musim Tahun Baharu Cina ini.

Namun, sedang ramai peniaga meraih faedahnya, ada yang tidak dapat meraih manfaatnya.

Encik Yeo Hiang Meng, Presiden, Persekutuan Persatuan Pedagang SG berkata: "Sesetengah mereka lebih tua dan mereka tidak pandai menggunakan teknologi, dan pada masa yang sama mereka tidak fasih dalam bahasa Inggeris dan semua perkara ini. Jadi itulah sebabnya sebahagian daripada mereka tidak ikut serta. Selain itu, sebilangan penjaja, seperti di pasar, yang menjual ikan dan daging, mereka mendapati sukar untuk mengeluarkan telefon bimbit bagi mengimbas salinan digital pelanggan."

Bagaimanapun usaha sedang dijalankan untuk memastikan bahawa peniaga sebegini tidak ketinggalan.

"Kami akan memudahkan mereka. Kami akan kerahkan lebih ramai duta CDC. Kami juga ada ramai duta digital yang akan membantu mereka dan membuatnya lebih mudah juga. Mereka boleh mendekati sesiapa sahaja, termasuk jawatankuasa, pengerusi persatuan penjaja mereka sendiri dan sebagainya," jelas Cik Denise Phua, Datuk Bandar CDC Tengah.

Lebih sepertiga daripada 1.27 juta isi rumah yang layak menerima Baucar CDC itu, sudahpun mengambil baucar mereka sejak Rabu (3 Jan).
Sumber : CNA/IQ/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan