Skip to main content

Singapura

Peniaga kawasan kejiranan teroka cara baharu galak pelanggan tebus Baucar CDC

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 08 Jun 2025 07:43PM Dikemas Kini : 08 Jun 2025 09:55PM
SINGAPURA: Persekutuan Persatuan Pedagang Singapura (FMAS) menyatakan, para peniaga tidak meraih manfaat sama rata daripada baucar CDC.

Ini kerana para peniaga yang celik digital menarik lebih ramai pelanggan.

Pada masa yang sama, perubahan dalam tabiat berbelanja menyaksikan
sesetengah rakyat Singapura cuba mengaut keuntungan daripada baucar mereka dengan menukarnya kepada wang tunai.

Kini perniagaan-perniagaan di kawasan kejiranan sedang mencari cara-cara baharu demi memastikan para pelanggan terus kembali lagi.

Junius Chia, misalnya, berada di Fairprice bukan untuk membeli barang dapur, tetapi ingin mencari kad-kad permainan yang boleh dibayar menggunakan baucar CDC.

Pengumpul dan Pengasas bersama syarikat SCC Consignments itu berkata: "Pertama sekali, ia tidak membebankan kewangan anda dan ia juga mudah diakses. Terdapat banyak kedai di Singapura yang menjual produk ini. Dan terdapat juga kumpulan-kumpulan hobi dan platform online yang memberikan anda peluang untuk membeli, menjual dan bertukar kad. Jadi ada unsur pelaburan dalam hobi ini. Kami mempunyai pengumpul yang membeli dan menyimpan kad semata-mata dengan harapan harga kad akan meningkat pada masa akan datang, dan mereka boleh meraih keuntungan daripadanya."

Pun begitu, pulangannya tidak sentiasa terjamin.

Mediacorp difahamkan, mengaut keuntungan daripada penggunaan baucar CDC dengan menjual semula kad tidak melanggar peraturan.

Ini selagi baucar tersebut tidak ditukar kepada wang tunai atau digunakan untuk membeli barangan terkawal.

Seorang penganalisis berkata, perbelanjaan untuk barangan bukan keperluan
menggunakan baucar CDC tidak semestinya perbuatan menyalahgunakan sistem.

Tetapi ia mencerminkan perubahan besar dalam tabiat perbelanjaan pengguna.

Pensyarah Kanan Pemasaran, Sekolah Perniagaan NUS Dr Samer Elhajjar berkata: "Baucar CDC pada awalnya dilancarkan untuk membantu rakyat Singapura menangani kos sara hidup. Tetapi penggunaan baucar-baucar ini menunjukkan bagaimana keperluan asas orang ramai sedang berubah.

"Walau bagaimanapun, kita harus sedar, takrifan keperluan asas kini lebih melibatkan unsur psikologi dan lebih peribadi, terutamanya dalam masyarakat yang tertekan dan persekitaran kos yang tinggi, seperti Singapura pasca pandemik."

Lebih 23,000 kedai kejiranan menerima baucar CDC di merata Singapura.

Menurut Persekutuan Persatuan Pedagang Singapura (FMAS), kedai-kedai yang celik digital menarik lebih ramai pelanggan, manakala peniaga dan peruncit yang lebih tua sedang bergelut.

Malah ada sesetengah daripada mereka tidak menyertai skim tersebut.

"Sekitar lapan hingga 10 peratus kedai masih belum menyertai inisiatif CDC dan masih belum menerima baucar CDC. Kebanyakan daripada mereka ingin bersara. Jadi mereka tidak suka perubahan dan berasa selesa dengan kehidupan mereka sekarang. Mereka lebih gemar menggunakan wang tunai berbanding wang digital," kata Pengerusi Persatuan Peruncit Chinatown Complex, Cornelius Tan.

Untuk meraih manfaat penuh baucar CDC, FMAS menggesa para peniaga untuk menawarkan promosi bersama atau memperbaiki cara mereka menyusun barang jualan mereka.

Dengan cara ini, baucar CDC bukan sekadar apa yang boleh dibeli, tetapi juga bagaimana ia boleh membina sokongan masyarakat bagi perniagaan di kawasan kejiranan.
Sumber : CNA/NY/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita