Skip to main content

Singapura

Peniaga HBB Salbiah Said salah satu pemenang Program Perniagaan Mikro myimpact Maybank; terima geran S$5,000

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Cik Salbiah Said, yang telah menjual kuih-muih dan snek dari rumah di bawah jenama Sal Snacks selama 10 tahun, mempunyai impian untuk memiliki kedai sendiri.

"Cita-cita saya nak adakan kedai sendiri. Kalau tidak pun saya boleh kongsi di dalam satu kedai di satu sudut sebagai satu permulaan sebelum mendapat kedai sendiri. Saya ingin membantu para peniaga dari rumah yang lain dan buat perniagaan bersama. Jadi mereka ada pendapatan, saya pun ada pendapatan," kata Cik Salbiah.
Namun, merealisasikan impian tersebut memerlukan perancangan yang teliti, termasuk strategi pemasaran dan pengurusan kewangan yang baik.

Oleh itu, beliau tidak melepaskan peluang untuk menyertai program Perniagaan Mikro myimpact Maybank anjuran DPPMS dan Maybank Singapore bersama sepuluh peserta lain.

Masing-masing mengusahakan pelbagai perniagaan, termasuk dalam sektor F&B, pakaian, dan sistem celik kewangan.
Program itu dibiayai melalui sumbangan Zakat Perbankan Islam Maybank Singapura dan menyasarkan penerima bantuan Zakat Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), yang menunjukkan semangat keusahawanan dan tekad untuk berdikari.

Ketua Pasukan Ekonomi Halal Maybank, Encik Muhammad Azzad Ahmad berkata: "Kami adakan inisiatif ini untuk menumpukan tumpuan dalam membantu memperkasakan masyarakat dalam perniagaan mereka dan secara individu. Kita mengenal pasti para asnaf yang ingin keluar daripada kitaran di mana mereka berada sekarang dengan melakukan perniagaan."
 
Selama lima minggu, para peserta dibimbing tentang strategi perniagaan, pendigitalan, dan pengurusan kewangan yang berkesan.

"Mereka ajar kami tentang aplikasi reka bentuk grafik online, Canva. Saya tidak pernah menggunakannya. Mereka juga ajar tentang aplikasi Microsoft Excel untuk membuat perkiraan. Selalunya kami tulis saja. Ia membuat operasi perniagaan kami lebih lancar dan memberi motivasi untuk mempertingkatkan perniagaan," kongsi Cik Salbiah.

Hari ini, (Sabtu, 2 Nov) semua peserta diberikan peluang untuk membentangkan strategi dan pelan perniagaan mereka, dengan harapan meraih geran sebanyak S$5,000 untuk mengembangkan perniagaan masing-masing.

Strategi dan pelan perniagaan yang dibentangkan oleh Cik Salbiah berjaya menarik perhatian para pengadil, menjadikannya salah seorang daripada tiga pemenang.
"Saya akan daftarkan perniagaan saya. Saya juga akan manfaatkan dana ini juga untuk pemasaran saya. Saya akan mendapatkan mesin pengadun dan ketuhar yang lebih besar sikit. Sekarang ini, kalau bercakap tentang kuih tat atau kuih makmur, dengan mesin pengadun saya sekarang ini, saya hanya boleh membuat kuih untuk 70 botol. Dengan mesin pengadun lebih besar, sekali gus saya boleh membuat 120 botol," tambah Cik Salbiah.

Menurut Encik Azzad, para pengadil tertarik dengan pelan jangka panjang yang dibentangkan oleh Cik Salbiah.

"Beliau memang lebih daripada yang lain, mempunyai visi ke mana perniagaannya akan menuju dalam dua, tiga tahun. Sekiranya ada pendanaan, kita pun tahu ke mana mereka boleh mengalirkan pendanaan itu dengan peluang baik untuk berjaya," kata beliau.

Kesemua peserta akan terus mendapat akses kepada program bimbingan selama tiga bulan dan peluang untuk membina rangkaian yang akan memperkukuh keupayaan kewangan mereka.
"Mereka tahu apa yang ingin mereka lakukan, tetapi mereka tidak tahu bagaimana untuk mengekalkan perniagaan itu. Selepas tahu tentang aspek kewangan, perancangan perniagaan, mereka boleh cuba mengekalkan perniagaan mereka," kata Naib Presiden DPPMS, Dr Abdul Malik Hassan.

Pada Januari tahun depan, Maybank Singapore dan DPPMS merancang untuk mengadakan sesi kedua program itu.

Ia merancang untuk memperluas penyertaan termasuk kepada golongan ibu tunggal.
Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita