Peniaga F&B lega kenaikan GST dilaksanakan secara berperingkat dan bukan mendadak
SINGAPURA: Para peniaga makanan yang ditemui BERITAmediacorp hari ini (20 Feb) berkata mereka lega kerana kenaikan cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan secara berperingkat dan bukannya mendadak.
Menurut mereka, ini akan memberi mereka masa untuk menyesuaikan strategi perniagaan bagi tangani perbelanjaan yang meningkat.
Bagi restoran The Straits Teppanyaki misalnya, mereka bersedia untuk membuat beberapa penyesuaian agar para pelanggan tidak begitu merasa kesannya.
"Kalau perlu, mungkin kami akan menukar sebahagian daripada menu atau hidangan-hidangan kami untuk disesuaikan mengikut keinginan para pelanggan kami," kongsi Cik Intan.
Selain itu, mereka akan membuat persediaan bagi memenuhi lebih banyak pesanan melalui khidmat penghantaran.
"Mungkin pihak pelanggan akan lebih selesa untuk membeli dari kami menerusi khidmat penghantaran di rumah kerana bagi penghantaran di rumah, walaupun mereka harus membayar GST, mereka tidak perlu membayar cukai perkhidmatan," kongsi Cik Intan.
Ini menurutnya mungkin boleh membuat pelanggan berasa lebih selesa kerana kos yang lebih rendah.
Cik Intan juga berharap keadaan ekonomi akan bertambah baik dan perniagaan mereka akan kembali rancak pasca pandemik nanti.
Ini juga katanya akan dapat bantu untuk mengimbangi kesan kenaikan kadar GST.
THE BLACK HOLE GROUP PUTUSKAN UNTUK SERAP KENAIKAN KOS
Bagi The Black Hole Group pula, ia akan cuba menangani kenaikan perbelanjaan itu dengan sebaiknya.
Untuk sepuluh cawangan restoran di bawah syarikat itu, mereka menjangkakan akan menanggung kesan sehingga puluhan ribu dolar setiap bulan.
Selain kenaikan GST, mereka juga perlu mengimbangi kenaikan harga barangan mentah seperti daging yang meningkat sehingga 20 peratus.
Walau bagaimanapun, The Black Hole Group akan membuat penyesuaian secara perlahan-lahan sehingga tidak menjejas pelanggan mereka.
"Kami akan cuba sedaya upaya untuk menyerap kenaikan kos sebanyak mungkin yang kami mampu," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mustaffa Kamal.
Sebenarnya, pengumuman kenaikan GST ini bukan sesuatu yang mengejutkan bagi Encik Mustaffa.
Ini kerana beliau dan pasukannya memang sudah giat melakarkan strategi dan persediaan untuk menangani kenaikan kos itu.
KENAIKAN HARGA MAKANAN BOLEH UBAH TABIAT PELANGGAN
Namun, beliau tetap berharap agar pihak pemerintah akan terus menghulurkan bantuan lebih-lebih lagi bagi perniagaan yang akan terjejas teruk dek kenaikan GST ini.
"Saya rasa kalau perniagaan besar, kesannya tidak seberapa sebab kosnya boleh diserap oleh syarikat itu," ujar Encik Mustaffa.
"Tetapi kalau syarikat itu kecil, saya rasa kesannya lebih jelas kerana mereka mungkin tiada pilihan dan terpaksa mengalihkan beban kos itu kepada pelanggan," tambah beliau.
Menurutnya lagi, kenaikan harga makanan di restoran juga boleh menjejas dan merubah tabiat pelanggan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.