Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Peniaga F&B siap atur strategi sedang S'pura masuk Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat)

Para peniaga makanan dan minuman (F&B) siap membuat penyesuaian tidak menerima lagi pelanggan di premis mereka sedang Singapura memasuki Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) membendung COVID-19 bermula hari ini (16 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Para peniaga makanan dan minuman (F&B) siap membuat penyesuaian tidak menerima lagi pelanggan di premis mereka sedang Singapura memasuki Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) membendung COVID-19 bermula hari ini (16 Mei).

Berpandukan pengalaman sewaktu langkah pemutus rantaian jangkitan (circuit breaker) tahun lalu, peniaga di Geylang Serai dan Kampong Gelam, yang ditemui BERITAmediacorp berkongsi strategi mereka termasuk membaiki wadah tempahan online, meski sekatan diumumkan secara mendadak.

AKUR PERLU LANGKAH-LANGKAH WASPADA

Para pemilik kedai makanan dan minuman di Pusat Makanan Geylang Serai sudah bersedia untuk tidak menerima pelanggan makan di situ. Tanda-tanda dilekatkan di tempat duduk dan orang ramai hanya boleh beli untuk dibawa balik di bawah langkah lebih tegas bagi kekang COVID-19.

Meskipun demikian, para pembeli yang kami temui tetap bersyukur kerana masih dapat menikmati juadah dan makanan kegemaran mereka meski harus dibungkus untuk
bawa pulang.

Surirumah Cik Zaharah Yusope, menyambut baik langkah-langkah tersebut. Katanya: "(Ia) Langkah yang bagus sebab bila COVID-19 sudah menular pertama kali, kami rasa harus kita elakkan dari makan luar selalu sebab kita banyak berinteraksi dengan orang."

Encik Mohamed Indra Zainul yang ke Pasar Geylang hampir setiap minggu bagaimanapun berpendapat langkah-langkah itu terlalu mendadak.

"Memang patut Pemerintah lakukan sedemikian tetapi terlalu mendadak. Kalau kita tinggal jauh macam mana kan keadaan makanan yang dibungkus itu?" tanya beliau.

SAMBUTAN MENGECEWAKAN

Boleh dikatakan sekatan baru itu jelas menjejaskan perniagaan kedai makan.

Misalnya Gerai Nenek Obek memberitahu BERITAmediacorp bahawa perniagaannya kurang separuh walaupun peraturan lebih ketat baru bermula hari ini.

"Kami terjejas dengan tiadanya orang datang untuk membeli, untuk makan di sini. Semuanya kena beli bungkuskan. Jadi sekurang-kurang 50 peratus mesti terjejas," kongsi pemilik gerai, Cik Juhana Johan.

Gerai Nenek Obek yang popular dengan hidangan nasi rawon adalah antara 25 daripada 63 gerai makanan dan minuman yang sudah dibuka semula selepas cuti Aidilfitri.

Bagi penjual minuman pula, sambutan yang diterima sejauh ini 'mengecewakan'.

"Orang boleh bawa balik makanan. Kalau minuman mesti ada di rumah. Sebagai penjual air, perniagaan kami akan merosot kerana orang tidak duduk, jadi minum kurang," kata Encik Abdul Majeed Abdul Karim yang merupakan pembantu kedai minuman, Al Karim Teh Tarik Corner.

TEMPAT MAKAN DI KAMPONG GELAM BUAT PERSEDIAAN AWAL

Bagi peniaga di Kampong Gelam, meskipun akur sekatan itu akan menjejas jualan, mereka juga faham perlunya mengurangkan kes jangkitan.

Semasa kunjungan BERITAmediacorp sekitar 2 petang tadi ke restoran Tabbouleh misalnya, kami diberitahu tiga pesanan sudah diterima untuk dibawa pulang atau penghantaran ke rumah sejak ia dibuka pada 11 pagi.

Menurut salah seorang kakitangan restoran makanan Lubnan itu, Encik Smit Soni, ia sudah membuat persiapan untuk meningkatkan lagi penjualan online selepas mempelajari pengalaman sewaktu tempoh pemutus rantaian jangkitan tahun lalu.

Bahkan, berpandukan pengalaman restoran Zam Zam, pembelian makanan bungkus dan pandu lalu terbukti satu strategi yang telah lama dilaksanakan dan terbukti berjaya membantunya mengatasi cabaran sekatan COVID-19.

Pemerintah mengumumkan peniaga yang terjejas akan diberi sokongan menerusi Skim Bantuan Pekerjaan yang dipertingkat termasuk pelepasan sewa selama sebulan.

HAD 1 JAM DI PERPUSTAKAAN AWAM

Antara tempat awam lain dengan langkah-langkah yang diperketatkan ialah perpustakaan awam.

Buat masa ini, kapasiti pengunjung ke perpustakaan dikurangkan daripada 50 peratus kepada 25 peratus sahaja.

Masa yang diberikan untuk setiap pengunjung dihadkan kepada satu jam dan mereka diberi pelekat berwarna yang perlu dilekatkan pada pakaian.

Ia supaya kakitangan perpustakaan dapat mengenalpasti mereka sekiranya mereka terlebih masa.

Muzium juga mengehadkan jumlah pengunjungnya kepada 25 peratus pada satu-satu masa.

Selaras dengan langkah-langkah terbaru, pengunjung juga harus bergerak secara berpasangan.

Lebih menarik lagi, Muzium Negara juga sedang mengadakan sebuah pameran yang menyingkap detik-detik semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan, tahun lalu. 

Sumber : BERITA Mediacorp/sy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan