Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Peniaga durian agih hidangan percuma kepada warga M'sia, pemandu teksi di S'pura

Dengan musim durian sampai ke kemuncaknya sejak beberapa minggu lalu, Louis Lee bersyukur dengan jumlah durian yang dapat dijual.

Anggaran Waktu Membaca:
Peniaga durian agih hidangan percuma kepada warga M'sia, pemandu teksi di S'pura

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 03 Jul 2021 11:40AM Dikemas Kini : 03 Jul 2021 11:48AM

SINGAPURA: Dengan musim durian sampai ke kemuncaknya sejak beberapa minggu lalu, Louis Lee bersyukur dengan jumlah durian yang dapat dijual.

Warga Malaysia berusia 31 tahun itu, yang memiliki dan mengendalikan sebuah kedai durian di Owen Road, menyaksikan penjualan dan keuntungan yang meningkat hasil durian yang luar biasa banyaknya yang dibawa masuk dari Johor dan Pahang

Berpuas hati dengan pendapatan tambahan yang diperolehi, Encik Lee memutuskan untuk menolong kumpulan individu yang terjejas teruk dengan pandemik COVID-19.

Ketika ditemui kedainya pada Selasa (29 Jun), Encik Lee berkata beliau bertuah kerana meskipun sedang pandemik, beliau masih memperoleh pendapatan yang lumayan.

"Saya rasa ia penting untuk menyumbang kembali kepada mereka yang kurang bernasib baik. Sumbangan ini adalah tanda muhibah kecil - hanya sekadar memberi makanan percuma sahaja," kata Encik Lee.

Sepanjang hujung minggu pada 19 dan 20 Jun, Encik Lee mengagihkan 250 bungkus nasi lemak kepada warga Malaysia yang berada di Singapura. Pada hari Sabtu berikutnya (26 Jun), beliau mengagihkan 100 bungkus nasi ayam Hainan kepada para pemandu teksi.

(Gambar-gambar: Louis Lee)

Beliau mengumumkan hasratnya itu di Facebook bagi sesiapa yang berminat untuk mengambil makanan dari kedainya dan ia mendapat sambutan hangat.

Apabila ditanya mengapa beliau memilih untuk mengagihkan makanan secara percuma kepada golongan tertentu, Encik Lee berkata beliau berasa empati dengan kesusahan yang mereka dihadapi kerana kebanyakan mereka terpaksa berjauhan daripada keluarga.

Ramai di antara mereka juga tidak memperoleh pendapatan yang lumayan dan perlu berjimat cermat untuk membayar sewa dan makanan, kata Encik Lee.

"Saya boleh berasa empati dengan kesukaran yang mereka hadapi. Tidak mudah hidup berjauhan daripada orang-orang tersayang dan perlu bekerja keras setiap hari. Saya pernah hidup susah, jadi saya tahu bagaimana perasaannya," kata Encik Lee.

PERKARA KECIL

Encik Lee membuka kedainya, Louis Durian and Fruits pada 2020 di tengah-tengah pandemik COVID-19. Beliau bekerja sebagai seorang pembantu gerai di beberapa kedai durian sepanjang tujuh tahun lalu dan impiannya adalah untuk membuka kedainya sendiri.

"Saya sedar apabila Singapura memasuki tempoh pemutus rantaian pada 2020, penjualan durian meningkat. Ramai orang teringin untuk memakan durian dan mereka membeli secara online. Perniagaan online saya meningkat dan saya mahu memanfaatkan permintaan yang meningkat itu," kata Encik Lee.

Encik Lee berkata disebabkan oleh sekatan perjalanan yang diperketatkan baru-baru ini, ramai rakyat Malaysia tidak mampu untuk pulang kerana perlu menanggung sendiri perbelanjaan untuk menjalani kuarantin 14 hari di Singapura dan Malaysia.

Saya dapat rasakan keperitan mereka, walaupun setakat memberikan mereka makanan percuma, saya harap ia akan membuat mereka berasa gembira di tengah masa-masa sukar ini," katanya.

Encik Lee berkata beliau mendapatkan makanan itu dari seorang teman penjaja yang menjual nasi lemak halal dan yang beliau agihkan dengan air minuman.

Kesemua 100 bungkus nasi lemak habis yang beliau agihkan kepada para pemandu teksi pada hari Sabtu berikutnya habis masa lima jam.

'KEBAIKAN HATINYA BUATKAN SAYA KENANG KAMPUNG HALAMAN'

Antara warga Malaysia yang datang ke gerai Encik Lim untuk mengambil nasi lemak ITU adalah Mohd Amin Fauzi, 28 tahun yang bekerja di sebuah syarikat pengeluaran di Yishun.

Apabila dihubungi melalui Facebook, Mohd Amin memberitahu Mediacorp beliau menghargai baik budi Encik Lee.

"Saya sedang dalam perjalanan pulang daripada syif bekerja dan saya memutuskan untuk singgah selepas melihat catatan Facebooknya," kata Mohd Amin.

"Saya terkejut kerana bungkusan nasi lemaknya besar, lengkap dengan nasi, telur, ikan bilis, sambal dan juga ada ikan goreng," katanya.

"Budi baik beliau membuatkan saya terkenang pada kampung halaman, bagaimana warga Malaysia bersedia membantu satu sama lain tidak kira apa jua kesukaran yang dihadapi," katanya.

Encik Lee memberitahu Mediacorp bahawa beliau berharap dapat melakukan lebih banyak pengagihan serupa jika meraih hasil tambahan.

"Saya gembira dapat berkongsi apa sahaja yang saya ada bersama orang lain," katanya. 

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan