Peniaga digesa manfaat sumber pemerintah: Zaqy
Manfaatkan sumber-sumber pemerintah yang sedia ada untuk meluaskan perniagaan mereka hingga ke peringkat global.
SINGAPURA: Manfaatkan sumber-sumber pemerintah yang sedia ada untuk meluaskan perniagaan mereka hingga ke peringkat global.
Ini termasuk geran, bimbingan dan nasihat perniagaan.
Demikian nasihat Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia Zaqy Mohamad kepada para peniaga Melayu/Islam di acara Illuminate 2023, anjuran Dewan Perniagaan Dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) pada Rabu (25 Okt).
Acara tahun ini menampilkan hampir 30 pakar industri yang mahir dalam pelbagai bidang termasuk kemampanan, keusahawan sosial, menarik bakat, kewangan, dagangan global, e-dagang, pemasaran dan penciptaan kandungan.
GUNA MEDIA SOSIAL UNTUK KEMBANGKAN PERNIAGAAN
Antaranya ialah Pengasas Bersama syarikat Screenbox dan personaliti media sosial, Sujimy Mohamad yang mempunyai pengalaman lebih tiga dekad dalam bidang media dan pemasaran.
Beliau berkongsi bagaimana para usahawan boleh memanfaatkan media sosial dalam strategi perniagaan mereka.
"Hari ini kita memerlukan media sosial untuk merancakkan perniagaan kita. Di situlah kita berbual, bergaul, berinteraksi dengan kita punya pelanggan. Dan di situ kita boleh mencari sokongan, cari pelanggan baharu, mencari cerita-cerita yang boleh kita sebarkan, khusus untuk perniagaan kita," kata Encik Sujimy.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Seorang lagi peniaga yang berkongsi pengalaman luasnya ialah ketua pegawai eksekutif syarikat hartanah, PropNex Realty Encik Ismail Gafoor.
Beliau menekankan pentingnya bagi para peniaga, terutama yang baharu, untuk melakar strategi perniagaan dan pemasaran yang baik, serta mendapatkan bimbingan dan nasihat daripada pakar atau yang lebih berpengalaman tentang cara-cara untuk memajukan perniagaan.
200 PENIAGA HADIR ACARA TAHUN INI, NAIK BERBANDING TAHUN LALU
Edisi ke-5 acara itu berlangsung dari 10 pagi hingga 5 petang di Akademi PSB di Marina Square.
Para peserta yang hadir terdiri daripada pemilik syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME) dan para peniaga dari rumah (HBB).
Antara 200 peniaga yang hadir hari ini ialah Encik Adil Ashroff yang menceburi dalam bidang logistik maritim.
"Encik Ismail Gafoor mengajar kami tentang kerjasama dan bagaimana kerjasama dengan pemimpin yang betul boleh membawa syarikat yang biasa ke tempat lebih tinggi termasuk menawarkan 'Initial Public Offering (IPO)'," kata Encik Adil, seorang Ketua Pegawai Operasi (COO) di syarikat Griffin Kinetic.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Cik Faizah Jaaffar yang baharu setahun menubuhkan syarikatnya, Bonfya, sangat mengalu-alukan panduan untuk meningkatkan lagi perniagaannya.
"Satu cabaran yang kita hadapi adalah untuk mencari apa yang buat kita beza daripada peniaga-peniaga lain, persaingan kita. Daripada program ini kita cuba dapat beberapa idea untuk membezakan kami daripada para pesaing kami," kata Cik Faizah, Pengarah Urusan, syarikat Bonfya.
Para peserta juga berpeluang bertukar-tukar pandangan tentang cara-cara untuk mengembangkan perniagaan mereka di luar negara.
Ini turut disokong, tetamu terhormat Encik Zaqy Mohamad.
"Ia juga adalah masa yang baik untuk kita memanfaatkan sumber-sumber yang diberikan dan terdapat tumpuan besar sekarang tentang bagaimana kita boleh mengembangkan syarikat-syarikat Singapura, mudah-mudahan ke rantau ini atau lebih jauh jika boleh.
"Jadi bagi agensi-agensi seperti Enterprise Singapore, pertimbangkan mereka sebagai rakan kerja strategik yang boleh memberikan anda sumber yang diperlukan, bimbingan pakar dan juga bantuan kewangan menerusi geran untuk membantu perniagaan anda berkembang," kata Encik Zaqy, yang juga penasihat DPPMS.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Sesi lain yang diadakan termasuk peluang untuk peniaga membina rangkaian, kelas pakar atau Masterclass dan juga perbincangan meja bundar.
Menurut DPPMS, sambutan yang diterima untuk acaranya tahun ini lebih baik berbanding tahun lalu.
Ia berharap untuk menarik lebih ramai lagi peniaga baharu untuk acara-acara akan datang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.