Skip to main content

Singapura

Peniaga di Bazar Geylang Serai beri potongan harga sehingga 20 peratus, habiskan stok malam Raya

Anggaran Waktu Membaca:
Para peniaga di Bazar Geylang Serai menawarkan potongan harga bagi menghabiskan stok mereka pada malam terakhir ini (20 Mac).

Dengan ramai yang bersesak-sesak ke bazar itu bagi membeli kelengkapan dan bagi persiapan akhir, para peniaga seperti Pengasas Bersama Adrianna Yariqa, Nurlida Yusof mahu menghabiskan bekalan yang tersedia.

"Memang kalau boleh, saya ingin menghabiskan stok sebanyak mungkin. Malam ini, kami menawarkan diskaun sekitar 20 peratus," kata Cik Nurlida.

Perkara yang serupa juga dilakukan beberapa peniaga lain termasuk pengasas Grey by Ortehnhill, Trisno Ishak dan anak Pemilik Asia Time Marketing, Muhammad Farid Arfah.

Mereka juga melanjutkan waktu gerai mereka dibuka sehingga 2 pagi bagi memenuhi keperluan para pengunjung yang mencari barangan keperluan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.

BAZAR KEJIRANAN JADI TUMPUAN PERSIAPAN HARI RAYA

Sementara itu, suasana menyambut Lebaran dan Ramadan di Singapura meriah dengan lambakan bazar merata negara.

Sejak dua minggu terakhir menjelang Lebaran, suasana di bazar-bazar serata Singapura sudah mula sibuk dengan lebih ramai pengunjung datang untuk berbelanja.

Ia bukan sahaja terhad kepada persiapan untuk beraya tetapi juga bagi mencari juadah berbuka.

Ini juga disebabkan hampir semua bazar yang terletak di kawasan kejiranan seperti di Bukit Gombak, Hab Tampines Kita (OTH), Kampong Gelam dan Admiralty ditutup lebih awal iaitu kira-kira seminggu sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Bukan sahaja lebih dekat dengan rumah, bazar-bazar di kawasan kejiranan ini menjadi tumpuan kerana menawarkan lebih banyak tawaran makanan tradisional sebagai juadah berbuka puasa untuk penduduk.
Related article image
Bazar di Bukit Gombak menawarkan pelbagai aneka makanan tradisional.
Bazar di Bukit Gombak misalnya popular di kalangan penduduk di kawasan barat negara kerana makanan serta kuih-muih tradisional yang ditawarkannya.

Oleh itu, ia menjadi pilihan penduduk seperti Encik Rauuf Bahanan setiap kali Ramadan.

"Sebenarnya saya datang ke sini untuk beli makanan untuk buka puasa dan saya sedang mencari makanan tradisional. Sebenarnya bazar lain tidak mempunyai banyak makanan tradisional. Ia lebih kepada makanan moden," kata Encik Rauuf.

Begitu juga dengan Cik Suhailah Raffei.

"Saya selalu datang sini kerana saya tinggal berdekatan. Di sini terdapat macam-macam makanan. Orang selalu mengatakan ini merupakan Geylang di sebelah barat (Geylang of the West)," kongsi Cik Suhailah.

Menurutnya lagi, antara juadah yang sentiasa dicari olehnya di bazar Bukit Gombak adalah kuih-muih dan makanan tradisional seperti pengat pisang.

Selain menyediakan keperluan Ramadan dan Syawal, bazar-bazar itu juga menceriakan lagi suasana.

SUASANA BERBEZA, TUJUAN YANG SAMA

Bazar di kawasan kejiranan juga memudahkan penduduk datang berkali-kali untuk mendapatkan keperluan Hari Raya mereka.

Menurut seorang pengunjung Bazar Raya Utara yang terletak di Admiralty, Cik Suryanie Ismail, bazar tahun ini menyediakan lebih banyak tawaran berbanding tahun lepas.

"Datang ke bazar setiap tahun memang seronok, dan kemeriahannya masih sama seperti tahun lepas. Jadi perbezaannya mungkin pada vendor-vendor atau kedai-kedai yang berlainan pada tahun ini serta aktiviti-aktiviti lain yang ada di sini," kongsi Cik Suryanie.

"Kalau pergi ke bazar apabila sudah menghampiri Hari Raya, suasana keterujaannya sedikit berbeza kerana Hari Raya semakin dekat. Jadi, kita semua mula mencari barang. Pada awalnya, mungkin beberapa minggu pertama kita sekadar melihat-lihat tetapi apabila semakin dekat dengan Hari Raya, kita mula membeli dengan lebih serius," tambahnya lagi.
Related article image
Bazar-bazar di sekitar kawasan kejiranan menjadi tumpuan kerana menawarkan beraneka makanan.
Seorang lagi pengunjung Bazar Raya Utara, Mohamed Hamka mengatakan bahawa menjelang Hari Raya, bazar seperti ini menawarkan potongan harga.

"Ia lebih kepada suasana orang ramai yang berpusu-pusu untuk mendapatkan tawaran atau promosi seperti baju Raya yang lebih murah, songkok, capal dan sebagainya," kata Encik Mohamed.

"Selain itu, ia juga lebih kepada makanan, di mana orang membeli barangan saat-saat akhir sebelum Hari Raya bermula secara rasmi untuk persiapan berkumpul bersama semua orang," tambahnya lagi.

BAZAR KAMPONG GELAM TARIK PERHATIAN WARGA TEMPATAN SERTA DARI LUAR NEGARA

Selain kawasan kejiranan, bazar di tengah-tengah Kota Singa juga tidak kurang hebatnya.

Bazar di Kampong Gelam itu bukan sahaja menarik perhatian warga tempatan tetapi juga mereka yang dari luar negara.

"Seronok sebenarnya suasananya yang meriah, lebih-lebih lagi ramai umat Islam yang berbuka puasa. Mencari 'takjil' juga menjadi satu pengalaman yang sangat menyeronokkan, tambahan pula ini kali pertama saya datang ke sini," kata seorang pelancong dari Indonesia kepada BERITA Mediacorp.
Related article image
Suasana di sekitar Bazar Kampong Gelam.
Walau bagaimana pun, ada juga pengunjung seperti Muhammad Nor Hafiez Abdul Jimar yang berharap bazar tersebut dengan menghidupkan suasana Hari Raya dengan memainkan lebih banyak lagu Raya.

"Pada pendapat saya, bazar sekarang tidak terlalu banyak memainkan lagu Raya. Mereka lebih banyak memainkan lagu-lagu lain. Saya merasakan adalah lebih baik jika lagu Raya dimainkan kerana kita semua sedang menantikan Hari Raya, bukan lagu-lagu lain," kongsi beliau.

Bagi para pengunjung, bazar bukan sahaja tempat membeli-belah tapi juga untuk para peniaga musiman menimba rezeki, titik pertemuan bagi para penduduk beramah mesra dan juga wadah untuk mencerminkan adat dan budaya.
Sumber : BERITA Mediacorp/hd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita