Peniaga dari rumah beri jaminan jaga kebersihan makanan
Di tengah-tengah beberapa kejadian keracunan makanan baru-baru ini pula, para peniaga makanan kecil-kecilan dari rumah menegaskan mereka tetap menjaga dengan ketat tahap kebersihan makanan walaupun tidak perlu mendapatkan lesen dari pihak berkuasa.
SINGAPURA: Cik Juliana Abu Bakar meluangkan banyak masanya memasak di flat beliau setiap hari. Bukan saja untuk keluarganya, malah untuk orang luar juga.
Perniagaannya dari rumah, 'Badeema Cuisine', mendapat sehingga 12 tempahan seminggu. Perniagaan seperti ini merupakan salah satu perniagaan dari rumah yang semakin popular.
Di tengah-tengah beberapa kejadian keracunan makanan baru-baru ini pula, para peniaga makanan kecil-kecilan dari rumah menegaskan mereka tetap menjaga dengan ketat tahap kebersihan makanan walaupun tidak perlu mendapatkan lesen dari pihak berkuasa.
Seperti Cik Juliana sendiri, walaupun sibuk di dapur, beliau tidak pernah leka untuk memastikan makanannya bersih.
"Itu adalah amanah, jadi saya kena pastikan kebersihan (makanan). Apa sahaja yang masuk ke dalam perut mereka, saya pastikan tak kotor," kata Cik Juliana.
Antara yang diamalkannya termasuk memakai sarung tangan, membasuh tangannya dengan kerap dan menggunakan span berbeza apabila mencuci papan memotong.
Beliau mengamalkan rutin ini selepas menghadiri kursus kebersihan makanan.
PERKARA YANG PERLU DIELAK BAGI PENIAGA DI RUMAH
Dalam pada itu, seorang pakar sains makanan berkata salah satu kesalahan yang dilakukan para peniaga di rumah adalah gagal untuk mencair bekukan makanan sepenuhnya atau memakai barang kemas ketika memasak.
"Apabila menyediakan makanan, orang yang menyediakan makanan mesti menjaga kebersihan sendiri dan kebersihan alam sekitar. Misalnya, gunakan papan memotong yang berlainan bagi bahan mentah dengan makanan yang sudah dimasak. Ini akan mengurangkan risiko yang menyebabkan pencemaran makanan," kata Timbalan Pengarah Sekolah Kimia & Sains Hayat NYP Richard Khaw.
Beliau menambah, penyedia makanan dari rumah sepatutnya menggunakan termometer makanan bagi memastikan tahap keselamatan makanan yang tinggi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.